Tuesday, 6 August 2019

KAPAL SAMUDRARAKSA


Kapal Samudraraksa yang kini dipamerkan di Borobudur, Magelang, Indonesia menjadi bukti kehebatan pelayar Melayu zaman silam meneroka setiap pelosok dunia terutama pada era kegemilangan Empayar Srivijaya sekitar abad ke-7.
Samudraraksa yang dibina semula dalam tempoh enam bulan berdasarkan ukiran asal pada dinding Candi Borobudur, turut mampu membelah lautan dalam pelayaran selama tujuh bulan menuju ke Ghana sebaik pembinaannya selesai sekitar 2002.
Selepas menyempurnakan pelayaran ke Afrika Selatan, komponennya diceraikan sebelum dihantar semula ke Indonesia untuk dipasang dan dipamerkan di muzium di Borobudur.
Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Asyaari Muhamad, berkata pembinaan semula Samudraraksa dibuat berdasarkan idea pelawat British yang mahu melihat sama ada imej kapal yang diukir pada dinding candi itu benar-benar boleh belayar.
“Pelayaran kapal itu yang turut disertai 30 krew berjaya sampai ke Ghana, sekali gus membuktikan kapal Melayu memang sudah lama berlayar jauh ke seluruh dunia.
“Kepakaran pelayaran yang dimiliki membolehkan berlakunya pelbagai aktiviti perdagangan di alam Melayu pada zaman lampau,” katanya dalam Siri Wacana ATMA: Memartabat Warisan Arkeologi Maritim di Malaysia di UKM di sini.
Acara kendalian Pengarah Akademi ATMA, Prof Dr Supyan Hussin itu turut disertai Pengarah Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN), Ruzairy Arby dan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi Jabatan Muzium Malaysia, Samsol Sahar.
Asyaari berkata terdapat empat hingga lima panel khusus di Candi Borobudur yang menampilkan imej mengenai pelayaran awal di Asia Tenggara.
Selain Samudraraksa, imej kapal lain yang terdapat di candi Borobudur juga sering digunakan sebagai perbandingan dalam pengkajian sejarah maritim di Asia Tenggara, termasuk ketika penemuan sebuah perahu di kawasan paya bakau di Pontian, iaitu The Pontian Boat.
Tegas Asyaari, pengkaji pada masa itu cuba membandingkan perahu yang ditemui pengkaji British, IHN Evans pada 1926 dengan beberapa penemuan bot purba di Asia Tenggara terutama daripada segi saiz dan bentuknya.
CA Gibson Hill dalam tulisannya pada 1956 turut mengupas secara terperinci mengenai penemuan bot purba berkenaan yang dianggarkan dibina sekitar abad ke-3 hingga ke-5 Masihi berdasarkan kajian karbon yang dilakukan.
“Meskipun perahu berkenaan ditemui dalam keadaan amat rapuh dan hampir rosak keseluruhannya, ia masih dapat dibentuk semula.
“Penemuan The Pontian Boat adalah sebahagian daripada bukti kajian arkeologi maritim mengenai pelabuhan purba, perahu dan kapal purba di rantau ini,” katanya.
Menurut Asyaari, meskipun arkeologi maritim adalah sesuatu yang menarik terutamanya dalam pengkajian tinggalan budaya berkaitan laut tetapi ia masih lagi dianggap sebagai bidang baharu di negara ini.
Oleh itu katanya, kajian arkeologi maritim negara sebelum ini lebih banyak dilakukan penyelidik luar seperti Sten Sjostrand, Michael Hatcher dan Michael Flecker.
“Meskipun bidang ini dianggap baharu, negara kita sebenarnya sudah memiliki kepakaran gabungan mereka dari institusi dan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan 100 peratus kajian arkeologi bawah air dilakukan sendiri.
“Tapak kapal karam Bidong antara contoh tapak pertama yang dikaji sepenuhnya oleh pakar tempatan. Setakat ini 25 peratus daripada keseluruhan tapak itu sudah kita terokai,” katanya.
Asyaari berkata, kekuatan kepakaran dalam bidang arkeologi maritim perlu terus diperkukuhkan dengan memastikan kursus berkaitan diwujudkan pada peringkat universiti dalam masa terdekat.
“Kita sebenarnya sangat kekurangan ahli arkeologi dalam bidang ini justeru sangat penting memastikan adanya pelapis baharu atau kita akhirnya terpaksa kembali bergantung kepada pengkaji luar seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ruzairy berkata terdapat sejumlah 832 tapak arkeologi di negara ini dengan 143 daripadanya tapak bawah air dengan paling banyak terletak di Melaka diikuti Johor dan Pahang.
Katanya, JWN kini dalam usaha mengumpul lebih banyak lagi tapak termasuk di Sabah dan Sarawak. Warisan bawah air di negara ini katanya masih berada pada peringkat yang baik dan menjadi tanggungjawab JWN memastikan setiap tapak arkeologi bawah air di negara ini terjaga, terkawal serta dinaiktaraf.
“Tapak ini perlu diberi suntikan untuk dijadikan tapak pelancongan dan kebanyakan daripadanya sudah dinaikkan sebagai arkeologi pelancongan.
“Paling utama ialah usaha semua pihak memartabatkan warisan maritim dan arkeologi bawah air ini kerana nilai sejarahnya yang tinggi selain kepentingannya kepada tanah air,” katanya.
Sumber : Berita Harian
6/8/2019: 8.15 pm

No comments: