Friday, 2 August 2019

Satu kampung Melayu tinggal sejarah demi pembangunan



Artikel aOleh Abdul Razak Ismail

klpos


KUALA LUMPUR: Kampong Haji Abdullah Hukum merupakan salah sebuah penempatan awal orang-orang Melayu di Kuala Lumpur telah diruntuhkan pada awal November baru-baru ini bagi memberi laluan kepada apa yang kononnya dikatakan "pembangunan". Sumber-sumber mengatakan bahawa perkampongan Melayu 'tengah bandar' yang berusia 200 tahun yang terletak bertentangan dengan ibupejabat TNB di Jalan Bangsar tersebut, akan dibangunkan bagi pembinaan kondominium, blok-blok bangunan pejabat dan komplek membeli belah. Ada maklumat mengatakan sebuah hub transit LRT/ monorail / tren komuter juga akan dibina di kawasan tersebut.

Kampong tersebut mengambil sempena nama Haji Abdullah Hukum (gambar), yang nama asalnya Muhammad Rukun, berasal dari Kerinchi, Sumatera, Indonesia dan datang ke Malaya pada usia 15 tahun bersama bapanya pada tahun 1800-an. Beliau telah diberi izin oleh Raja Laut pada masa itu merupakan Raja Muda Selangor untuk membuka tanah pertanian dan kampong-kampong baru di Bukit Nanas dan sebuah kampong di Sungai Putih (kemudiannya dinamakan Kg Hj Abdullah Hukum di Jalan Bangsar) seperti yang ada sekarang. Beliau menetap di kampong tersebut hingga menghembuskan nafas terakhir sekitar tahun 1930-an.

Pada era Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri sekitar 1960-an, kerajaan telah mengalakkan orang-orang Melayu luarbandar untuk berhijrah dan bekerja di bandar-bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur. Lantaran itu ramailah rakyat luarbandar telah bermastautin ke kawasan-kawasan setinggan yang berselerak dipinggir-pinggir pusat bandar Kuala Lumpur ketika itu. Dari masa ke semasa ekoran dari pembangunan pesat bandaraya Kuala Lumpur kawasan-kawasan setinggan tadi akhirnya terletak ditengah-tengah kawasan 'urban' perbandaran, dan inilah yang terjadi ke atas Kampong Haji Abdullah Hukum, perkampongan Melayu Pantai Dalam, Kampung Kerinci dan kampong-kampong lain dipersekitarannya.

Lebih 300 orang penduduk kampong telah dipindahkan oleh DBKL ke rumah-rumahpangsa miliknya di sekitar Kuala Lumpur. Mengikut kata Md. Zaman Md. Tasi Ketua Angkatan Muda Wilayah Persekutuan (juga bekas Ketua AMK Bahagian Lembah Pantai) bahawa ramai penduduk merasa kecewa kerana sebelum ini mereka telah 'dijanjikan' oleh beberapa orang wakil-wakil rakyat UMNO yang silih berganti sebelum ini untuk mendapati hakmilik lot-lot tanah di kampong tersebut. Sebaliknya apa yang terjadi ialah mereka 'tertipu' dan perkampongan tersebut di 'rampas' dari mereka dan kemudiannya diberikan kepada towkey-towkey komplek membeli-belah, pemaju-pemaju kondomium dan hartanah.

Hari ini nama Haji Abdullah Hukum kekal dalam kenangan sebagai antara orang Melayu terawal yang terlibat dalam membangunkan Kuala Lumpur. Penempatan orang Melayu 'dalam bandar' yang diasaskannya 200 tahun lalu sudah lenyap. Yang kekal hanyalah papan tanda ' Abdullah Hukum' di stesen LRT untuk tatapan anak cucu masa mendatang.

No comments: