Tuesday, 16 April 2019

SIAPAKAH KHIDIR?

Kisah mengenai insan yang dikenali sebagai "Khidir" telah diceritakan oleh Allah swt dalam surah al-Kahfi daripada ayat 60 sehingga ayat 82.
Walau bagaimanapun, Allah swt tidak pula memberitahu bahawa insan tersebut adalah Khidir. Allah swt hanya menyebut sebagai "seorang hamba di antara hamba-hamba Kami" untuk merujuk kepada insan yang dikenali sebagai "Khidir" ini.
Dalam ayat 60 sehingga 82, Allah swt menceritakan bagaimana Nabi Musa as pergi mencari ilmu dengan seorang yang sangat alim dan tinggi ilmunya. Ilmu yang tinggi itu dianugerahkan oleh Allah swt kerana ketaqwaan dan kezuhudannya.
Insan yang dikenali sebagai Khidir itu telah memberi kita seribu satu pengajaran dalam pencarian ilmu terutama ilmu akhirat.
SIAPAKAH KHIDIR YANG SEBENARNYA?
Daripada istilah bahasa, "Khidir" memberi makna "yang kehijau-hijauan". Adalah menjadi satu kemungkinan bahawa Khidir ini hanyalah nama gelaran sahaja yang diberikan oleh Rasulullah saw sebagaimana yang terjadi pada nama Zulkarnain, Luqmanulhakim dan Ashaabul Kahfi.
Perlu diingatkan bahawa al-Quran tidak menitikberatkan nama seseorang melainkan kisah-kisah mereka yang perlu diambil iktibar.
Walau bagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan untuk kita mengkaji siapakah sebenarnya "Khidir".
Telah menjadi perdebatan daripada zaman sahabat diikuti tabiin dan diikuti pula Tabi’ut Tabiin tentang siapakah insan yang digelar Khidir as.
Rasullulah saw dalam sabdanya menyatakan "insan berilmu" dalam surah al-Kahfi adalah Khidir.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra daripada Rasulullah saw mengenai Khidir as, baginda bersabda,
“Dia dinamakan Khidir kerana apabila dia duduk di atas farwah (permukaan bumi) yang putih (tidak bertanaman), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu menumbuhkan tanaman yang menghijau.”
Sheikh al-Arna-uth mengatakan hadis ini sahih menurut periwayatan Imam Bukhari dan Imam Muslim.
"Farwah" menurut sesetengah ulama hadis mendefinisikan sebagai "rumput kering" atau "tanaman yang sudah kering". Pendapat ini dipopularkan oleh ulama hadis terkenal, Abdurrazaq.
Namun pendapat masyhur adalah Farwah bermaksud "permukaan bumi". Hadis di atas bertaraf sahih dan turut diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab masyhurnya, Sahih Bukhari.
KHIDIR SEORANG NABI
Para ulama sepakat memartabatkan Khidir sebagai nabi atas dalil daripada surah al-Kahfi, ayat 82,
“Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh, maka Rabbmu menghendaki agar mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Rabbmu; DAN BUKANLAH AKU MELAKUKANNYA ITU MENURUT KEMAHUANKU SENDIRI. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya."
Maksud ayat di atas adalah penjelasan Khidir mengenai TIGA perbuatannya semasa Musa as berguru dengannya.
Khidir bertegas mengatakan bahawa perbuatan yang dilakukannya bukan kerana daripada dirinya sendiri, akan tetapi datang daripada Allah swt Yang Maha Bijaksana.
Selain dalil daripada ayat di atas, firman Allah swt sebelum ini pun menjadi dalil bagi kenabian Khidir iaitu,
"Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah KAMI BERIKAN KEPADANYA RAHMAT DARI SISI KAMI, DAN YANG TELAH KAMI AJARKAN KEPADANYA ILMU DARI SISI KAMI." (Al Kahfi, ayat 65)
DAKWAAN TENTANG INDIVIDU YANG BERNAMA "KHIDIR"
1. Ibnu Abu Hatim
Mendakwa bahawa Khidir as adalah anak atau keturunan Qabil. Qabil adalah anak Nabi Adam as yang telah membunuh Habil.
2. Ibnu Abbas dan Hamka
Mendakwa Khidir as adalah anak sulung kepada Nabi Adam as. Menurut Hamka, Khidir yang beliau maksudkan sebagai "anak sulung Nabi Adam" dianugerahkan Allah swt dengan umur yang tiada penghujungnya sehingga dimatikan ketika bersama-sama berjuang dengan Nabi Isa dan al-Mahdi membunuh Dajjal laknatullah.
Khidir juga tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dilihat dengan kasyaf yang biasa dianugerah Allah swt kepada para Nabi dan walinya.
3. Tabari
Mendakwa Khidir as adalah rakan seperjuangan Nabi Ibrahim as di Babylon (Iraq) ketika berdakwah kepada Namrud. Ketika Nabi Ibrahim berhijrah keluar daripada Babylon, Khidir as turut serta bersama-sama Nabi Ibrahim dan keluarganya.
Tabari juga mendakwa ayah dan ibu Khidir berketurunan Parsi dan Rom. Ini bermakna Khidir as berasal daripada perkahwinan campuran antara Parsi dan Rom.
Tabari juga menyatakan bahawa Khidir as adalah salah seorang panglima kanan Zulkarnain.
Ketika Zulkarnain mencari Air Kehidupan (Water of Life) dan menjumpainya, Zulkarnain menolak untuk meminumnya dan memberi kepada Khidir as. Disebabkan itulah Khidir as dianugerahkan kehidupan yang abadi (atas kekuasaan Allah swt).
Dalam al-Quran, terdapat ayat yang menyatakan Air Kehidupan ini iaitu ketika ikan yang dibawa oleh Musa as dan pesuruhnya (dipercayai Nabi Yusha' as) melompat keluar daripada bakul setelah terkena percikan air di tempat yang dikenali "pertemuan dua laut".
[Maka tatkala mereka sampai ke pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu.] (Al Kahfi, ayat 61)
[Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada muridnya, "Bawalah ke mari makanan kita; sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini".] (Al Kahfi, ayat 62)
[Muridnya menjawab: "Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali".] (Al Kahfi, ayat 63)
[Musa berkata: "Itulah (tempat) yang kita cari". Lalu keduanya kembali mengikuti jejak mereka semula.] (Al Kahfi, ayat 64)
4. Abdallah bin Shawdhab
Mendakwa Khidir as adalah individu daripada Parsi dan sering berjumpa dengan Nabi Elyas as setiap tahun terutama di bulan Ramadhan dan musim haji di Mekah.
Nabi Elyas as adalah antara empat orang individu yang masih belum wafat iaitu Idris as, Isa as, Khidir as dan baginda sendiri.
5. Ibnu Ishq
Mendakwa Khidir as adalah Nabi Aramiyah bin Khulfiyah as (Jeremiah as). Nabi Aramiyah as adalah rasul yang diutuskan oleh Allah swt ketika pemerintahan Raja Josiah bin Amon yang memerintah Judah. Walau bagaimanapun, Tabari menolak dakwaan Ibnu Ishq.
6. Ibn al-Kalbi
Mendakwa Khidir as adalah keturunan Nabi Harun as.
7. Muhammad bin Ayub
Mendakwa Khidir as adalah anak lelaki kepada anak perempuan Firaun. Namun, siapakah Firaun yang Muhammad bin Ayub dakwa sebagai datuk kepada Khidir as, tidak pula dinyatakan.
8. Naqqash
Mendakwa Khidir as adalah anak kepada Firaun. Sama seperti Muhammad bin Ayub, tidak dinyatakan Firaun mana yang beliau dakwa sebagai ayah kepada Khidir as.
9. Muqatil bin Sulayman
Mendakwa Khidir as adalah Nabi Elias as.
10. Ibnu Qutaybah
Beliau mendakwa Khidir as adalah nama lain bagi individu bernama Ama’il bin Eliphaz (Yafaz) bin Esau bin Ishak as.
11. Wahb bin Munabbih, Ibnu Kathir, al-Alusi, Imam Nawawi dan Ibnu Qutaybah
Wahb bin Munabbih mendakwa Khidir as adalah nama lain bagi individu bernama Baliya bin Malikan bin Peleg bin Eber (Hud as) bin Shelah bin Arpachshad bin Sam bin Nuh as. Namun, Imam Nawawi memberi nama Baliya bin Kaliman dan bukannya Baliya bin Malikan.
Ulama zaman kini mendakwa insan yang didakwa oleh dua tokoh ulama salafi ini adalah insan yang sama.
Ibnu Qutaybah turut mendakwa Khidir as adalah insan yang bernama Malikan selain dakwaannya Khidir as adalah insan bernama Ama’il.
TEMPAT PERTEMUAN KHIDIR DAN MUSA
"Maka tatkala mereka sampai ke PERTEMUAN DUA BUAH LAUT itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu." (Al Kahfi, ayat 61)
Pendapat paling utama tentang pertemuan Khidir dan Musa berdasarkan firman Allah swt di atas adalah di Teluk Aqabah iaitu pertemuan antara Laut Merah dan Laut Putih.
Walau bagaimanapun terdapat pendapat yang mengatakan ia berlaku di pertemuan dua laut di Jordan.
Ibnu Kathir pula mendakwa ia berlaku jauh di sebuah laut di Tangier, Maghribi iaitu pertemuan Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean.
Tidak terhenti di situ, pendapat yang terbaru adalah ia berlaku di pertemuan dua lautan iaitu Lautan India dan Lautan Atlantik.
Walau apapun pendapat yang dikemukakan, ia tidak menyalahi syariat Islam kerana Allah swt langsung tidak menyatakan di mana pertemuan dua lautan itu berlaku.
Tidak menjadi satu kesalahan untuk memberi teori yang terbaik bagi membolehkan umat Islam terus memahami isi kandungan al-Quran.
KESIMPULAN
Tiada penjelasan yang kukuh mengenai siapakah sebenarnya Khidir. Namun apa yang pasti, Khidir merupakan seorang yang memiliki ilmu yang sangat tinggi sehingga melebihi seorang rasul yang digelar Kalamullah iaitu Nabi Musa as.
Kisah mengenai Khidir as dan Musa as sangat banyak iktibarnya. Malah daripada kisah ini juga pelbagai teori mula muncul seperti teori wujudnya Air Kehidupan di pertemuan dua laut, teori ilmu ladunni, teori kehidupan abadi dan sebagainya.
Walau siapa pun Khidir as, apa yang pasti adalah kita sebagai umat Islam wajib mengambil panduan daripada surah al-Kahfi ini dalam mencari ilmu akhirat terutamanya.
Wallahua'lam...
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
16 April 2019: 9.28 pm

No comments: