Wednesday, 17 April 2019

KISAH WARDEN KEJAM MENJADI ULAMA' BESAR

Ketika matahari mula terbenam di Andalusia pada tahun 1525, seorang pemuda melewati beberapa sel yang ada dalam sebuah tempat tahanan tidak jauh dari Granada, ibukota yang runtuh pada 1492 setelah diserang Sepanyol.
Nama pemuda itu adalah Adolf Roberto. Badannya yang tegap, gagah dan tinggi besar membuatkan seluruh tahanan muslim takut dan membongkok ketika dia melewati sel-sel mereka.
Adolf terus berjalan mengawasi para tahanan. Hingga beberapa langkah kemudian, dia mendengar suara yang cukup mengganggu telinganya. Dia meminta anak buahnya untuk mencari punca suara tersebut.
Setelah dikesan, suara itu berasal dari sebuah bilik tahanan yang ukurannya sekadar cukup untuk seorang. Di dalamnya ada orang tua yang badannya hanya tinggal tulang dan kulit. Beberapa lantunan suara lembut keluar dari mulutnya. Tetapi bagi Adolf, suara itu membuat telinganya gatal.
Adolf kemudian membentak orang tua itu, "Hai orang tua busuk! Hentikan kata-kata burukmu atau kau akan ku seret."
Orang tua itu tidak menghiraukan apa yang dikatakan Adolf. Dia tetap melantunkan suara-suara indahnya. Malah semakin lama, semakin khusyuk.
Lalu Adolf memerintah seorang anak buahnya membuka sel orang tua itu. Diseretnya tubuh lemah orang itu dari dalam ruang tahanannya.
Beberapa orang tahanan yang lain serentak berteriak, "Tenanglah wahai ustaz. Syurga Allah telah menantimu. Allahu Akbar!"
"Diam kamu semua!" Adolf cuba menghentikan bunyi bising para tahanan.
Dia berkata pada orang tua itu, "Ingat! Andalusia sekarang di bawah kekuasaan Kristian. Dan kau, aku tidak teragak-agak untuk membunuh kau sekarang."
"Bunuh saja aku. Aku tidak takut mati. Aku sudah lama merindukan Tuhanku, Allah," kata orang tua itu dengan tenang.
Tanpa rasa belas kasihan, dia mencucuh hujung rokoknya ke tubuh orang tua tersebut yang merupakan seorang ustaz. Namun si ustaz tidak rasa sakit.
Rasa tidak puas hati dengan seksaan yang dia lakukan, Adolf pun menendang dengan kasutnya yang seberat dua kilogram ke wajah pucat si ustaz hingga dia tersungkur. Darah pun berlumuran di seluruh wajah ustaz tersebut.
Tiba-tiba sebuah buku kecil keluar dari beg si ustaz. Spontan Adolf cuba mengambil buku tersebut.
"Kau orang najis! Haram kau memegang kitab suci ini!" teriak ustaz tersebut sambil mendakap buku itu dengan kedua tangannya erat-erat.
Adolf marah dan dipijaknya jari-jari lemah si ustaz. Suara tulang-tulang yang patah dari jari-jari ustaz terdengar menggetarkan hati, namun tidak bagi Adolf. Dengan tidak berdaya, si ustaz merelakan bukunya diambil oleh si warden yang bengis itu.
Adolf terkejut ketika melihat tulisan-tulisan asing yang ada pada buku tersebut. Dia merasakan pernah mengenali tulisan-tulisan itu. Sejenak dia berkata dalam hatinya, "Aku seperti pernah mengenali tulisan-tulisan ini. Tapi bila?"
Rasa ingin tahu yang dalam mula merasuki hatinya. Sebuah tanda tanya besar muncul di fikirannya. Dia cuba ingat kembali bila kali terakhir dia membaca tulisan-tulisan aneh itu. Tiba-tiba saja mulutnya berkata, "Alif, ba, ta, tsa."
"Ya, ya, aku ingat. Ketika aku kecil, aku pernah membacanya."
Di dalam fikirannya, Adolf melihat pemandangan paling mengerikan dalam hidupnya dimana umat Islam Andalusia dibunuh oleh orang-orang Sepanyol di sebuah kawasan lapang. Di sisi kiri kawasan lapang itu, terlihat wanita-wanita digantung pada tiang-tiang.
Sedangkan di tengah-tengah kawasan lapang terdapat longgokan kayu, tempat para pemuda disalib dan dibakar hidup-hidup. Pemandangan yang sungguh mengerikan muncul di kepalanya.
Seorang anak kecil berlari mendekati tubuh ibunya yang sudah tidak bernyawa digantung pada tiang kayu dengan tali. Sikapnya yang lurus mengalahkan ketakutan dari seksaan yang dilakukan oleh orang-orang Sepanyol terhadap keluarganya.
"Ibu, ibu, mari kita pulang! Semalam ibu berjanji ingin mengajarku alif ba ta tsa," kata anak itu. Dia tidak tahu bahawa ibunya telah meninggal.
Dia tidak mencari dan memanggil ayahnya. Dia tahu petang semalam ayahnya diseret oleh dua orang berseragam ketika sedang beribadah.
Kemudian anak itu menangis tersedu-sedu setelah tahu ibunya telah tiada.
Seorang tentera bertubuh tinggi mendekatinya dan bertanya, "Siapa nama kamu? Kenapa kau di sini?"
"Aku Ahmad Izzah. Aku menunggu ibuku."
"Nama yang buruk. Sekarang namamu ku ganti menjadi lebih baik, Adolf Roberto. Kau ikut aku ke gereja, biar kau dijaga oleh pendeta di sana."
Ahmad Izzah yang kemudian menjadi Adolf Roberto mengikut tentera itu ke gereja. Sejak itu dia dijaga dalam persekitaran Kristian.
Apabila sedar, Adolf teringat pada ayahnya. Dia ingat ayahnya ada tanda hitam di perut. Segera dia mengoyak baju si ustaz. Dicarinya tanda hitam di perut ustaz itu. Ternyata si ustaz memiliki tanda hitam di perutnya, sama seperti ayahnya dulu.
Adolf terus memeluk tubuh si ustaz dan menitiskan air matanya. Dia meminta maaf pada si ustaz yang ternyata adalah ayah kandungnya sendiri.
Sikapnya yang sombong dan kejam tiba-tiba hilang setelah dia bertemu ayahnya. Dia juga teringat bahawa buku yang direbutnya dari si ustaz adalah Al-Quran yang dulu selalu dibaca ayahnya ketika hendak menidurkannya.
Mendengar suara tangisan si warden, ustaz tersebut terkejut dan segera sedar bahawa yang ada di depannya adalah anak kandungnya, Ahmad Izzah. Dia pun menangis, terharu kerana dapat bertemu anaknya setelah terpisah berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Ayah, aku ingat alif ba ta tsa," Adolf mengeja huruf-huruf Arab yang diketahuinya seperti ketika dia kecil.
"Tunjukkanlah padaku jalan yang kau tempuh itu, ayah. Aku ingin kembali pada kebenaran," kata Adolf lembut.
Dengan susah payah dan nafas yang termengah-mengah, ayahnya yang sedang mendekati ajal berpesan pada Adolf,
"Anakku, pergilah kamu ke Mesir. Di sana ramai ustaz dan syeikh yang boleh mengajar mu tentang Islam. Di sana ramai kerabat kita. Katakan saja pada mereka kau kenal dengan Syeikh Ismail Al-Andalusy. Semoga Allah menunjukkan jalan yang lurus kepada mu."
Tiba-tiba si ustaz sedar bahawa ajalnya sudah semakin dekat. Dia pun mengucapkan syahadah dan pulang ke hadrat-Nya tepat ketika dia berada dalam puncak kerinduan dengan anaknya.
Adolf mengusap wajah ayahnya dan menangis sedih sekaligus terharu kerana tidak percaya atas kejadian yang dia alami ketika itu.
Setelah peristiwa mengharukan itu, Adolf Roberto, seorang warden penjara yang dikenali bengis dan kejam mengganti namanya menjadi "Ahmad Izzah" sesuai dengan nama yang diberikan ayahnya.
Dia pun bertaubat dan berjanji untuk memperjuangkan Islam sebagaimana ayahnya dulu ketika berjuang melawan kebiadaban tentera Kristian Sepanyol.
Ahmad Izzah pun pergi ke Mesir sebagaimana perintah ayahnya. Di sana dia bertemu ramai ustaz dan syeikh yang mengajarnya ilmu agama.
Kecerdasan yang dimilikinya membuatkan Ahmad Izzah cepat menyerap ilmu yang diberikan gurunya. Hanya dalam waktu beberapa tahun, dia sudah menghafal Al-Qur'an dan menjadi seorang syeikh terkemuka di Mesir.
Sejak itu, dia dikenali sebagai Syeikh Ahmad Izzah Al-Andalusy. Gelaran "Al-Andalusy" merupakan julukan yang diberikan gurunya kerana dia berasal dari Andalusia.
-Debu-
Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
17 April 2019: 10.57 am

No comments: