MAZLINA
ABDUL MAJID
01
September 2018 3:00 AM
SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan
Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada
Persekutuan Tanah Melayu.
Persoalannya, bagaimana asal usul Malaysia tercipta? Berdasarkan
catatan sejarah, ia bukan ilham Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman seperti
yang disangka oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Arkib Malaysia juga secara
asasnya tidak mempunyai dokumen rasmi yang menyatakan siapa individu yang
mereka nama Malaysia. Bagaimanapun, terdapat pelbagai andaian dan teori yang
dizahirkan seperti yang tercatat dalam beberapa penulisan seperti buku, rencana
mahu pun peta.
Sebagai contoh, dalam sebuah rencana berjudul Sur:Es Iles Du Grand Ocean (On The
Island of The Great Ocean) yang diterbitkan dalam Bulletin De La Societe de Geographie pada
tahun 1832 yang ditulis oleh penjelajah Perancis, Dumont d’Urville.
Urville mencadangkan agar
Lautan Pasifik Selatan dinamakan Oceania yang dibahagikan kepada empat bahagian
iaitu Polynesia, Melanesia, Micronesia dan Malaisie. Perkataan Malaisie
kemudian ditukar kepada Malaysia oleh seorang ahli geografi Amerika Syarikat,
Thomas G. Bradford (1835).
Satu lagi sumber ialah sebuah
peta yang dilakar oleh Alexander Keith Johnston pada tahun 1845 yang diberi
tajuk South Eastern
Peninsula and Malaysia.
Johnston berkata, Malaysia sebenarnya merangkumi Semenanjung
Melayu dan Kepulauan Melayu (termasuk Sumatera, Tanah Jawa, Tanah Melayu, Pulau
Pinang, Singapura, Kemboja, Siam, Burma, Brunei dan Filipina). Ujar beliau,
Malaysia juga merujuk kaum Melayu mempunyai kuasa dominan pada ketika itu dan
peneroka pertama di Tanah Melayu.
Selain itu, nama Malaysia turut
disebut dalam buku bertajuk Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule(1937)
hasil tulisan Rupert Emerson dan The
People of Malaysia (1945), tulisan Fay Cooper Cole.
Berdasarkan dua buah buku itu, Malaysia ialah Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) yang
meliputi Tanah Melayu, Hindia Timur, Borneo termasuk Filipina.
Duit syiling aluminium pada
zaman pendudukan Jepun (1942) juga menjadi pendebatan tentang asal usul nama
Malaysia. Syiling 20 sen itu difahamkan dikeluarkan pada tahun 1942. (Namun
tertulis 2602, merujuk kepada kalendar Jepun).
Seperti yang ditulis oleh
seorang penyelidik dalam buku bertajuk The
Japanese Occupation Of Malaya (Singapore), Kementerian Kewangan di
Jepun mengesahkan bahawa nama Malaysia pada duit syiling itu mewakili nama umum
penduduk Malaya pada masa itu.
Semasa penjajahan, Jepun
dikatakan mengiktiraf Melayu sebagai pribumi.
Bagaimanapun, terdapat satu
penulisan yang telah mengutarakan plot teori yang sangat menarik dan berpatutan
untuk dibincangkan.
Penulis yang tidak menyatakan
namanya berkata, lazimnya, nama-nama utama di dunia akan berakhir dengan
perkataan land (bahasa
Inggeris), tan (bahasa
Parsi) dan ia (bahasa
Latin). Tiga perkataan berbeza itu, semuanya bermaksud tanah.
Antaranya ialah Scotland (tanah
bangsa Scott), England, Thailand, Iceland, Pakistan (tanah suci), Afganistan,
Kazakhstan, Algeria (tanah bangsa Algiers), Rusia, India dan Columbia.
Nama Malaysia pula ialah
gabungan Malays dan ia. Daripada hujah
tersebut, barangkali andaian itu ada logiknya kerana Malays-ia bermakna Land Of Malays (tanah
bangsa Melayu).
Catatan perjalanan
Bilakah nama Malaysia secara
rasminya digunakan? Adakah selepas merdeka atau sebelum? Pada tahun 2009,
seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara Sabah, Prof. Madya Mat Zin Mat Kib
telah memperbetulkan kenyataan Arkib Negeri Sabah.
Mat Zin berkata, penggunaan
nama Malaysia telah mula digunakan sejak tahun 1889 bukannya pada tahun 1929
seperti yang direkodkan oleh Arkib Negeri Sabah. Kenyataan itu adalah
bersandarkan sebuah artikel dalam akhbar The
British North Borneo Herald bertarikh 1 Januari 1889.
Artikel yang bertajuk Geographical Notes in Malaysia and
Asia yang ditulis J.E Tenison Woods memberi maklumat ringkas
mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei,
Sandakan dan Sulu pada tahun 1883 hingga 1886.
Penemuan itu, ujar Mat Zin
telah membuktikan nama Malaysia digunakan lebih awal daripada tarikh
kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
“Ia turut menunjukkan (nama
Malaysia) telah digunakan secara meluas oleh orientalis Barat bagi merujuk
kawasan Semenanjung Tanah Melayu,” katanya.
Sekiranya kajian Mat Zin
diiktiraf, ini menunjukkan nama Malaysia telah digunakan sejak 129 tahun lalu!
No comments:
Post a Comment