Friday 15 February 2019

BEZAKAN DIRI KITA DARI IBLIS

Semua kita melakukan dosa. Namun sepatutnya beza kita dengan Iblis seperti bezanya bapa kita Adam dibandingkan Iblis. 

Iblis itu apabila derhaka kepada Allah, dia mencari alasan menghalalkan tindakannya yang menyanggahi arahan Allah. 

Sementara Adam apabila dia melanggar arahan Allah, dia akur kesalahannya dan mohon keampunan. Maka, kita wajar mengikut jejak langkah bapa kita Adam. 

Setiap kita memang pendosa, namun jangan cuba menghalalkan dosa. Menghalalkan dosa merupakan satu ketakaburan di hadapan Allah. 

Justeru itu Allah melaknat Iblis dan menghukumnya sebagai kufur. Sementara Adam diampunkan dan ditabal sebagai khalifah di bumi. 

Maka, fahamilah perkara ini. Mencuri merupakan dosa. Tapi mencuri kemudian menggunakan nama Allah dan Islam untuk 'menghalalkan' perbuatan curi itu jauh lebih besar dosanya. 

Ia satu pendustaan menggunakan Allah dan agamaNYA. Bahkan boleh membawa kerosakan akidah kerana menghalalkan apa yang haram di sisi Allah.

Rasuah merupakan dosa. Tapi rasuah kemudian menggunakan nama Allah dan Islam untuk 'menghalalkan' perbuatan rasuah itu jauh lebih besar dosanya. 

Ia satu pendustaan menggunakan Allah dan agamaNYA. Bahkan boleh membawa kerosakan akidah kerana menghalalkan apa yang haram di sisi Allah. 

Demikianlah semua dosa yang ALLAH dan RasulNYA mengharamkan kita melakukannya, termasuklah berbohong dalam perkara yang tidak dibenarkan.


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Mufti Perlis.

Copy and paste: Whatsapp Group Haji 2/2017
15/2/2019: 9.34 pm

No comments: