Persoalan tentang siapakah Melayu dan dari
manakah asal usulnya sering kali menjadi perdebatan ramai. Ada yang berpendapat
bahawa bangsa Melayu itu sendiri tidak wujud. Melayu dikatakan terlahir
daripada perkahwinan campur antara "penduduk tempatan" dengan
saudagar-saudagar Cina, India, Arab dan Siam yang singgah di Semenanjung Tanah
Melayu untuk berdagang semasa zaman kemahsyuran empayar-empayar di Tanah
Melayu. Spekulasi tentang siapakah "penduduk tempatan" inilah yang
kerap kali menjadi bahan perdebatan antara ahli akademik, pakar sejarah, ahli
politik dan tidak terkecuali para keyboard warriors di laman-laman sosial.
Melayu sebenarnya bukanlah satu bangsa yang
hanya wujud di Malaysia tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama di Kepulauan
Melayu (Malay Archipelago). Kepulauan yang terletak di antara Lautan India dan
Lautan Pasifik ini mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke barat dan 1,300
batu dari utara ke selatan dan merupakan kepulauan yang terbesar di dunia.
Kepulauan Melayu dibentuk oleh beribu-ribu buah
pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi,
Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia. Sebelum berlakunya banjir
besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih kurang 10,000 tahun
yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas Sunda dipercayai
bersambung sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan dan interaksi
manusia di atasnya.
Akibat daripada kejadian banjir besar ini,
sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka ini
dipercayai telah memulakan penempatan baharu di Asia Timur dan Kepulauan
Pasifik .
Teori Out of Taiwan oleh Peter Bellwood
menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan
dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu dan membawa
bersama mereka teknologi penanaman padi. Memandangkan bahasa Melayu merupakan
salah satu cabang bahasa Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap sebagai
berasal dari Taiwan.
Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal dari
Yunnan atau selatan negara China juga dipercayai timbul daripada pemahaman
bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada kumpulan
manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan seterusnya ke
Asia Tenggara (arah pergerakan utara ke selatan).
Populasi lebih awal
Walau bagaimanapun,kepercayaan yang bertapak
sekian lama ini telah berjaya digugat apabila bukti daripada kajian DNA
menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan Asia Tenggara adalah sebaliknya. Kajian
menggunakan Single Nucleotide Polymorphisms (SNPs) yang telah diterbitkan dalam
majalah Science yang bertajuk, Mapping Human Genetic Diversity in Asia pada
tahun 2009 menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan
manusia dari Afrika ke Asia.
Dalam kajian ini, sebanyak 50 peratus haplotype
yang ditemui (kumpulan SNPs pada satu kromosom yang diwariskan bersama-sama
dipanggil haplotype) dalam populasi Asia Timur hanya terdapat dalam populasi di
Asia Tenggara. Ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara merupakan sumber utama bagi
takungan genetik populasi di Asia Timur seperti China dan Taiwan. Bukti ini
seterusnya menyokong bahawa pergerakan manusia di Asia adalah dari arah selatan
ke utara.
Analisis filogenetik menggunakan penanda SNPs
telah meletakkan Orang Asli Semang dan orang Melayu pada cabang yang lebih awal
berbanding populasi di Asia Timur yang secara langsung menunjukkan bahawa Orang
Asli Semang dan Melayu adalah satu populasi yang lebih "awal"
berbanding populasi di China dan Taiwan.
Selain bukti daripada kajian menggunakan SNPs,
penjujukan penuh DNA mitokondria juga telah membuktikan bahawa Orang Asli di
Semenanjung Malaysia (Semang) adalah berasal daripada kumpulan manusia moden
terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika. Pergerakan ini berlaku lebih
kurang 60,000 - 75,000 tahun dahulu melalui jalan darat di sepanjang pesisir
pantai melalui India ke Asia Tenggara dan seterusnya ke Australasia (Tajuk
penerbitan: Single, rapid coastal settlement of Asia revealed by analysis of
complete mitochondrial genome; Science 2005).
Pada zaman ini, kemungkinan besar laluan ke arah
utara terhalang oleh cuaca yang ekstrem, bentuk muka bumi yang berbukit bukau
dan kawasan gurun. Laluan pantai yang lebih landai dan cuaca yang kurang
ekstrem mungkin antara faktor kenapa kumpulan manusia yang bergerak ke arah
selatan berjaya tiba di Asia Tenggara.
Kajian serupa yang dilakukan ke atas 10
sub-etnik Melayu (Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng,
Rawa, Champa dan Pattani) menggunakan DNA mitokondria menunjukkan sejumlah
orang Melayu juga mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun (Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) dan turut berkongsi haplogroup
(kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli.
Penemuan ini membuktikan bahawa orang Melayu
juga berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari Afrika lebih
kurang 60,000-75,000 tahun dahulu yang kemudiannya menjadi penghuni terawal di
Kepulauan Melayu. Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA telah
membuktikan bahawa kesemua sub-etnik Melayu mempunyai persamaan genetik yang
sangat tinggi (Edinur et al, 2009; NurWaliyuddin et al., 2014).
Penemuan ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan
tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di Kepulauan Melayu.
Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal dari susur galur yang sama dan
berkongsi keturunan yang sama. Namun demikian, pada hari ini, mereka telah
dipisahkan oleh sempadan geografi dan politik dan hasilnya mereka terlihat
sebagai populasi yang berbeza.
Pemisahan ini walau bagaimapun tidak dapat
menafikan hubungan mereka yang telah dibuktikan secara genetik, sama seperti
hakikat kewujudan mereka di Kepulauan Melayu sejak 60,000 tahun dahulu. Mungkin
bagi sesetengah pihak, pengetahuan tentang sejarah dan asal usul sesuatu bangsa
tidak penting. Kenapa kita perlu bersusah payah memahami kejadian yang berlaku
beribu-ribu tahun dahulu?
Adakah perjalanan dan pengalaman yang dilalui
oleh nenek moyang kita masih relevan untuk dipelajari? Harus diingat, pandangan
kita tentang sejarah sebenarnya membentuk pandangan kita tentang masa hadapan.
Gagal menghayati sejarah bermakna kita gagal menghargai dan menghormati usaha
keras nenek moyang kita, sedangkan hasil darinya kita nikmati hari ini.
Copy and paste
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/dna-dan-asal-usul-melayu-1.163353#ixzz5eI40Qvdf
© Utusan Melayu (M) Bhd
1/2/2019: 10.38 pm
No comments:
Post a Comment