MAZLINA
ABDUL MAJID
07 Julai 2018 3:00 AM
MEMILIKI sebuah
empayar yang ternama, pusat perdagangan terkaya dan memiliki barisan pemimpin
yang bijaksana hingga berjaya membentuk sebuah kota kosmopolitan yang teragung
pada abad ke-15, membuatkan nama Melaka termasyhur dalam sejarah ketamadunan
dunia.
Bukan sahaja Sulalatus Sulatin dan Hikayat Hang Tuah malah Ming Chronicle, Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires, The Book of Duarte
Barbosa (1880) termasuk Eredia’s
Description of Malacca catatan Manuel Godinho de Eredia merupakan dokumen historiografi
signifikan bercerita tentang keunggulan Melaka.
Secara faktanya,
kewujudan Kesultanan Melayu Melaka merupakan asas pembinaan negara dan bangsa
kita. Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin berkata, Melaka digambarkan mempunyai
masyarakat yang tersusun, berperaturan serta mempunyai sistem pentadbiran dan
politik yang tersendiri.
Namun, sayangnya
selepas penat lelah tujuh Sultan mempertahankan kegemilangan empayar, Sultan
Mahmud Shah merosakkan segalanya.
Barangkali Sultan
Mahmud Shah tidak pernah terdetik bahawa tindakannya yang menahan rombongan
Lopez de Sequiera atas hasutan pedagang Arab dan India, membawa bencana kepada
Melaka. Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque dengan kapal perangnya, Flor de La Mar telah menyerang bandar dan pelabuhan
Melaka bagi membalas dendam.
Sebenarnya, banyak
penulisan mengukuhkan tujuan Portugis menawan Melaka kerana membawa misi
keagamaan iaitu meneruskan Perang Salib. Perlu diingat, pada ketika itu,
peranan Melaka dalam kalangan dunia Islam sangat penting. Kekuatannya sebagai
pelabuhan utama perdagangan rempah utama dan terkaya telah menjadi pengukuh
kepada ekonomi kerajaan-kerajaan Islam. Faktor kepesatan itu sekali gus telah
menjadikan Melaka sebagai pusat dakwah agama Islam utama.
Serangan Portugis
Albuquerque yang
menerima pendidikan dalam bidang matematik dan pintar dalam berperang pernah
berkata: “Kota ini adalah sumber paling besar bagi rempah, ubatan dan
kekayaan dunia, dengan mengusir orang Islam keluar dari Melaka, api umat Islam akan dipadamkan dan jika kita
mengambil Melaka, orang Islam tak akan mempunyai negara untuk menyara mereka.”
Portugis yakin dapat
menawan Melaka kerana mereka dilengkapi senjata yang lebih moden seperti
senapang dan meriam. Namun, terdapat percanggahan apabila ada berpendapat,
kelengkapan alatan perang Melaka jauh lebih hebat. Mungkin fakta ini harus
dikaji semula kerana mana mungkin Melaka yang pernah digelar Venice of East ditawan dengan mudah?
Dalam buku Seni Berperang karya Sun Tzu, ahli falsafah China itu
ada menyebut bahawa ‘senjata’ paling ampuh dalam sebuah perang adalah strategi.
Ternyata, percaturan Albuquerque yang menyerap prinsip Gosel, Glory, Gold dan kelicikannya yang menghantar Rui
Aroujo dan mengupah ‘orang dalam’ seperti saudagar keturunan Jawa, Utimutiraja
untuk mengintai kelemahan Melaka berhasil. Secara kebetulan, para pedagang
bukan Islam dari India dan China sudah sekian lama tidak berpuas hati dengan
kenaikan cukai telah membantu Portugis.
Sikap Sultan Mahmud
yang zalim, berfoya-foya, mengamalkan rasuah serta mengabaikan agama telah
menyebabkan Melaka mempunyai ramai musuh dalam selimut.
Baginda juga dikatakan
gagal mengawal tindakan keterlaluan beberapa pembesar termasuk rakyat yang
belot dan membocorkan rahsia kekuatan tanah air sendiri. Plot kucar-kacir
Melaka mencapai kemuncak apabila Tun Mutahir dan keluarganya dibunuh oleh
Sultan Mahmud gara-gara baginda termakan kata-kata fitnah Raja Mendeliar
kononnya Bendahara Melaka ke-7 itu cuba merampas kuasa.
Bukan itu sahaja,
Sultan Mahmud turut melucutkan jawatan Laksamana Khawaja Hassan. Ketiadaan
Khawaja menyebabkan tiada angkatan laut yang dapat mempertahankan Melaka.
Kelemahan kuasa tentera menjadi ketara selepas kehilangan Hang Tuah dan Hamzah
Datuk Bongkok.
Sesetengah pedagang
asing yang berdagang di Melaka diibaratkan duri dalam daging.
Khianat
Mereka bukan sahaja
tidak mengenang jasa malah berpaling tadah apabila bekerjasama dengan Portugis
di saat Melaka dihimpit kesusahan. Paling ketara, ribuan tentera Jawa yang
dibayar gaji tiga bulan lebih awal untuk membantu Melaka tetap mengkhianati
Melaka. Utimutiraja dikatakan telah menyeru kepada kaumnya dengan
berkata: “Tidak perlu bersungguh menggadaikan nyawa untuk pertahankan
harta orang lain.”
Sejarah merumuskan
pemerintahan Sultan Mahmud yang lemah menjadi antara faktor utama Melaka jatuh
di tangan Portugis. Baginda selalu memikirkan Melaka terlalu kebal hingga
terlupa untuk memperkukuhkan pertahanan kotanya.
Albuquerque sendiri
pernah berkata: “Melaka adalah sebuah kota yang besar, ia kelihatan sukar
ditawan. Hal ini akan menjadi kenyataan jika Sultan memiliki sebuah kota lain
yang dia boleh perkukuhkan. Namun, dia tidak memilikinya. Jika Sultan
kehilangan Melaka, dia akan mengalami kehilangan mutlak.”
Memang benar,
kelalaian itu telah meranapkan segalanya hingga Sultan Mahmud terpaksa
meninggalkan sebuah empayar hebat yang dibina sejak 111 tahun lamanya.
Sebenarnya, banyak
iktibar daripada kisah klasik yang pedih ini. Pemimpin tidak boleh dipilih
dalam kalangan yang lemah. Terbukti, pemimpin seperti itu ditambah dengan sikap
mementingkan diri sendiri, korupsi dan tidak amanah akan membawa kecelakaan
kepada negara. Pemimpin yang mempunyai karakter sebegini harus disanggah agar
peristiwa kejatuhan empayar Melaka tidak berulang.
Seperkara, jangan
fikir kuasa politik yang dipegang tidak akan ditewaskan selamanya. Semakin
gemilang sesebuah kerajaan, semakin ramai musuhnya.
Kita juga hendaklah
sentiasa berhati-hati dalam menjalinkan hubungan dengan kerajaan luar. Lihat,
apa yang terjadi kepada Melaka, akibat khianat pedagang luar, Melaka dijajah
dalam tempoh masa kurang dua minggu berperang. Jangan disebabkan fitnah, kita jatuh
sekali lagi. Apabila kita tersungkur, ia akan mengambil masa yang panjang untuk
bangkit semula.
Copy and paste: Kosmo online
1/2/2019: 8/47 am
No comments:
Post a Comment