Sejarah Bangsar ada berkait rapat dengan pengasas atau orang yang membuka kawasan tersebut suatu masa dahulu.
Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim (nama lain ialah Muhammad Rukun atau Arya Jaya) telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan Selangor pada tahun 1850. Haji Abdullah merupakan seorang juak-juak kepada Raja Mahmud bin Sultan Muhammad seorang kerabat dan Panglima Perang Selangor yang hebat pada zaman "keris dan pemuras".
Beliau telah mendapat kebenaran untuk membuka daerah Pudu dan Bukit Bintang untuk menanam sayur, tebu, pisang, sireh dan bersawah padi. Haji Abdullah merupakan penghulu di Pudu dan Bangsar selama 7 tahun.
Haji Abdullah juga telah membuka kebun di Bukit Nanas dan Sungai Putih. Di kawasan Sungai Putih terdapat sebuah perkampungan yang bernama Kampung Abdullah Hukum. Ada juga Kampung Kerinci yang mengambil nama suku Kerinci.
Haji Abdullah kemudian menjadi Penghulu Sungai Putih. Pada masa itu, kaum Cina dan India berserta kaum Melayu yang membuka Sungai Putih berada di bawah pemerintahan tradisional naungan Penghulu Haji Abdullah. Oleh kerana Haji Abdullah dapat menyatukan penduduk Sungai Putih nama kawasan tersebut digelar Bangsa iaitu tempat bangsa-bangsa hidup bersama. Nama Bangsar itu berasal dari perkataan Bangsa sebagaimana ditulis di dalam buku Selagi Hayat Dikandung Badan terbitan MPH.
Adapun pendapat dan catatan orang Eropah yang lain mengatakan nama Bangsar adalah dari estet kepunyaan dua pengusaha Eropah iaitu Bunge dan Grisar. Estet Bunge-Grisar lama-kelamaan disebut Bungsar oleh orang tempatan. Di dalam catatan Haji Abdullah ada menyatakan Sungai Seputih yang dibukanya telah menjadi "Bangsar Road".
Jika anda naik Putra LRT dan melalui Stesen Abdullah Hukum, ambilah sedikit masa untuk sedekahkan Al-Fatihah kepadanya. Sesungguhnya beliau dapat menyatukan bangsa-bangsa dibawah kepimpinan beliau dan itu adalah ciri-ciri pemimpin yang hebat!
Sumber:
Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum, oleh Adnan Haji Awang yang memetik Hikayat Kuala Lumpur, Selagi Hayat Dikandung Badan.
Penulis merupakan Timbalan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kuala Lumpur. Nikanuay Abdullah, Aziz Hitam, Megat Telanai, Red Sala, Khailani Abdul Jalil
Copy and paste:
24 Februari 2019: 1.40 pm
No comments:
Post a Comment