Monday, 13 August 2018

LGBT DALAM PERSPEKTIF AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM

“Dan Nabi Lut juga (Kami – [Allah – Tuhan yang Maha Esa] utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.” 
(Qur’an, Surah al-A’raf – 7:80-84)

Apabila kita membicarakan tentang isu-isu berkaitan LGBT, Islam sering mendapat kecaman hebat daripada ramai orang-orang bukan Muslim kerana ajarannya yang tidak “mesra” LGBT. Namun, hakikatnya, ramai yang telah terlepas pandang bahawa Islam sebenarnya bukanlah satu-satunya agama yang menentang sebarang perlakuan LGBT.
[Agama Yahudi]
Kisah Nabi Lut AS dan kaumnya yang mengamalkan hubungan sejenis turut terukir dalam kitab Taurat sepertimana yang terdapat pada hari ini, meskipun dalam versi cerita yang sedikit berbeza dengan apa yang diceritakan di dalam al-Qur’an;
“Apabila dua malaikat itu tiba di Sodom pada petang itu, Lot sedang duduk di pintu gerbang kota. Sebaik sahaja dia nampak mereka, dia bangun dan pergi berjumpa dengan mereka. Dia bersujud di hadapan mereka dan berkata, “Tuan-tuan, sila singgah di rumah saya. Tuan-tuan dapat membasuh kaki dan bermalam di rumah saya. Jika mahu, esok tuan-tuan dapat bangun awal dan meneruskan perjalanan.” Tetapi mereka menjawab, “Terima kasih, tetapi kami akan bermalam di sini saja, di padang kota.” Lot mendesak mereka, maka akhirnya mereka masuk bersama dengan dia ke dalam rumahnya. Lot menyediakan hidangan lazat dan membakar roti secukupnya, lalu mereka makan.
“Sebelum para tetamu itu tidur, orang Sodom mengepung rumah itu. Semua orang lelaki di kota itu, baik yang tua mahupun yang muda berada di situ. Mereka memanggil Lot dan bertanya, “Di manakah orang yang datang bermalam di rumahmu? Serahkan mereka kepada kami, supaya kami dapat bersemburit [berhubungan seksual] dengan mereka!” Lot keluar dari rumahnya lalu menutup pintu. Dia berkata kepada orang Sodom di situ, “Saudara-saudara, saya mohon, janganlah lakukan perbuatan sejahat itu! Dengarlah, saya mempunyai dua orang anak perempuan yang masih dara. Biarlah saya serahkan mereka kepada kamu, dan kamu boleh melakukan apa saja terhadap mereka. Tetapi janganlah apa-apakan tetamu saya, kerana saya wajib melindungi mereka.” Tetapi mereka berkata, “Pergi! Engkau orang asing mahu mengarah kami? Pergi! Jika tidak, kami akan mengajar engkau lebih berat daripada mereka.” Kemudian mereka menolak Lot dan maju untuk memecahkan pintu. Tetapi kedua-dua tetamu itu menghulurkan tangan dan menarik Lot masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu. Selepas itu mereka membutakan semua orang yang berada di luar, sehingga orang ramai itu tidak dapat mencari pintu rumah.
Kedua-dua tetamu itu berkata kepada Lot, “Jika kamu mempunyai anak lelaki, anak perempuan, menantu atau sanak saudara lain yang tinggal di dalam kota ini, bawalah mereka keluar dari sini, kerana kami akan memusnahkan tempat ini. TUHAN sudah mendengar tuduhan-tuduhan berat terhadap penduduk di sini dan Dia menghantar kami untuk memusnahkan kota Sodom.” Kemudian Lot memberitahu kedua-dua orang bakal menantunya, “Lekaslah keluar dari sini, kerana TUHAN akan memusnahkan tempat ini.” Tetapi mereka menyangka Lot bergurau sahaja. Pada waktu subuh, malaikat-malaikat itu mendesak Lot supaya lekas berangkat. “Cepatlah,” kata mereka. “Bawalah isterimu dan kedua-dua orang anak perempuanmu, dan pergilah dari sini, supaya kamu tidak mati apabila kota ini dimusnahkan.” Lot berlambat-lambat, tetapi TUHAN mengasihani dia; oleh itu kedua-dua tetamunya memegang tangan Lot, isterinya, serta kedua-dua orang anak perempuannya, dan membawa mereka ke luar kota. Selepas itu satu daripada malaikat itu berkata, “Larilah, selamatkanlah diri kamu! Jangan menoleh, dan jangan berhenti di lembah. Larilah ke pergunungan supaya kamu tidak terbunuh!” Tetapi Lot menjawab, “Janganlah suruh kami lari ke pergunungan. Memang tuan sudah banyak menolong saya dan menyelamatkan saya, tetapi pergunungan itu terlalu jauh. Jangan-jangan bencana akan menyusuli saya dan saya akan mati sebelum tiba di sana. Lihat, ada kota kecil yang tidak jauh dari sini. Benarkanlah saya lari ke sana supaya selamat.” Malaikat itu menjawab, “Baiklah, aku tidak akan memusnahkan kota itu. Cepat! Larilah! Aku tidak dapat berbuat apa-apa sebelum kamu sampai di sana.” Oleh sebab Lot mengatakan kota itu kecil, maka kota itu dinamakan Zoar.
Matahari sedang terbit ketika Lot tiba di Zoar. Tiba-tiba TUHAN menurunkan hujan belerang yang berapi ke atas Sodom dan Gomora. Kedua-dua buah kota itu dimusnahkan, termasuk seluruh lembah dan semua tumbuh-tumbuhan serta penduduk di situ. Tetapi isteri Lot menoleh, lalu dia berubah menjadi tiang garam.”
(Taurat, Bareshit 19:1-26)
Kitab Bareshit (dan keseluruhan Taurat) juga merupakan sebahagian daripada Perjanjian Lama dalam Bible/Alkitab, kitab suci agama Kristian. Maka ianya juga merupakan satu kisah yang turut diyakini oleh umat Kristian. Disebutkan lagi dalam kitab Taurat;
“Janganlah engkau tidur dengan lelaki sebagaimana caranya orang-orang bersetubuh dengan perempuan, kerana itu suatu perkara yang keji.”
(Taurat, Wayiqra 18:22)

Perlakuan homoseksual merupakan sesuatu yang amat berat sehingga ajaran kitab Taurat memperuntukkan hukuman yang begitu berat – yakni hukuman mati;
“Jika seorang lelaki bersetubuh dengan seorang lelaki lain, mereka melakukan perbuatan yang hina dan menjijikkan. Mereka berdua mesti dihukum mati; mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.” 
(Taurat, Wayiqra 20:13).

[Agama Kristian]
Sepertimana Islam, agama Kristian berdasarkan ajaran kitab sucinya, Bible/Alkitab, adalah agama yang begitu keras menentang sebarang perlakuan LGBT. Perkara ini bukan hanya didukung oleh ajaran-ajaran dalam bahagian Perjanjian Lama (yang juga merupakan kitab suci dalam agama Yahudi) kitab Bible/Alkitab (sepertimana yang telah disebutkan dalam kitab Taurat), tetapi turut didukung oleh ajaran-ajaran dalam bahagian Perjanjian Baru, malah oleh tokoh kedua terpenting dalam agama Kristian sendiri – Paulus;
“...Wanita melakukan hubungan jenis dengan sesama wanita, dan hal itu tidak sepatutnya dilakukan. Begitu juga halnya dengan lelaki; mereka tidak lagi melakukan hubungan jenis dengan wanita, melainkan berahi terhadap sesama lelaki. Lelaki melakukan hubungan jenis dengan sesama lelaki, dan hal itu memalukan. Oleh itu mereka menerima hukuman yang setimpal dengan dosa mereka.” 
(Bible, Roma 1:26-27)

“Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak melakukan kehendak TUHAN tidak akan menikmati Pemerintahan TUHAN [Syurga]. Janganlah tipu diri kamu sendiri. ...orang homoseksual, atau yang mencuri,...mabuk... – orang-orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan TUHAN [Syurga].” 
(Bible, 1 Korintus 6:9-10)

[Agama Hindu]
Secara umumnya, penganut Hindu mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang perbuatan LGBT – ada yang menolak, ada yang menyokong dan ada yang bersifat neutral. Kitab perundangan agama Hindu, Manusmriti misalnya memandang perbuatan homoseksual sebagai sesuatu yang harus disucikan dan menyeru mereka yang melakukannya untuk mandi membersihkan diri mereka;
“Mana-mana lelaki dvija (golongan berkasta Brahmin, Ksatria dan Vaisya) yang melakukan hubungan luar tabii dengan lelaki lain,... haruslah mandi dengan mengenakan pakaiannya.” 
(Undang-Undang Manu 11:175)

[Agama Buddha]
Kitab-kitab agama Buddha, selain mengenalpasti dua jantina lelaki dan perempuan, turut mengenalpasti dua golongan manusia dengan kecelaruan jantina, iaitu; ‘ubhatobyanjanata’ (khunsa) dan ‘pandaka’ (secara harfiahnya, ‘tiada telur’ – istilah yang biasanya digunakan bagi merujuk kepada lelaki lembut). Dalam padanan dunia moden pada hari ini, dua golongan ini amat berkait rapat dengan golongan LGBT.
Sebagai satu agama yang begitu mementingkan kehidupan monastik (dengan menjadi sami) sebagai satu jalan untuk mencapai Nirvana (pembebasan daripada kitaran kelahiran semula / kebahagiaan abadi), teks Buddha menjelaskan bahawa seseorang ‘pandaka’ tidak layak untuk ditahbiskan sebagai seorang sami, sebagaimana kata-kata Sang Buddha dalam kitab Pali (Tipitaka) – Vinaya Pitaka;
“Ketahuilah para bhikkhu [sami], bahawa seseorang pandaka itu tidak boleh ditahbiskan (sebagai seorang bhikkhu). Janganlah kalian mentahbiskan mereka, dan mereka (pandaka) yang telah ditahbiskan, haruslah ditarik kembali pentahbisannya.” 
(Petikan daripada Mahakandhaka – Mahavagga, Pabbajja)

Haruslah kita tahu bahawa Sang Buddha tidak memperincikan jenis pandaka yang dilarang untuk menyertai Sangha (komuniti sami), tetapi menyebutkan ‘pandaka’ secara umumnya, lantas merujuk kepada semua jenis ‘pandaka.’
[Kepercayaan Masyarakat Cina]
Masyarakat Cina secara tradisinya, begitu mementingkan zuriat keturunan, sebagai pewaris dalam jalur kekeluargaan. Meng Zi (孟子 Mencius), seorang tokoh, sarjana dan ahli falsafah paling berpengaruh dalam peradaban bangsa Cina selepas Konfucius (Kong Zi), dalam mengajarkan tentang falsafah ‘Xiao’ (孝 ketaatan kepada ibu bapa) yang merupakan falsafah teras dalam Konfucianisme, pernah menyebutkan dalam kitabnya;
“Adanya tiga perkara yang bertentangan dengan ketaatan kepada ibu bapa (iaitu menderhakai ibu bapa), dan tidak mempunyai zuriat keturunan merupakan hal yang paling utama.” 
(Meng Zi, Li Lou Shang 离娄上 – 4A:26)

Jelasnya, hubungan homoseksual tidak akan dapat menghasilkan anak secara naturalnya. Maka ini adalah jelas bertentangan dengan prinsip falsafah Konfucianisme yang menjadi teras dalam tamadun bangsa Cina.
Tradisi masyarakat Cina, terutamanya ajaran Dao, sering menjelaskan segala perkara dengan berpasang-pasangan, ertinya, dua perkara yang saling bertentangan antara satu sama lain tetapi pada masa yang sama, saling melengkapi, misalnya – ‘yin’ dan ‘yang’ (阴阳), gelap dan terang, malam dan siang, dingin dan panas, dan semestinya – perempuan dan lelaki. Perkara ini juga jelas disebutkan di dalam al-Qur’an bahawa segala ciptaan Tuhan itu berpasangan;
“Dan segala sesuatu Kami [Allah – Tuhan yang Maha Esa] ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.” 
(Qur’an, Surah adh-Dhariyat – 51:49)

Sebagaimana Tuhan tidak menciptakan siang dengan siang, atau gelap dengan gelap; begitu juga, Tuhan tidak menciptakan lelaki dengan lelaki, atau perempuan dengan perempuan. Sebagaimana kita memahami ‘siang dengan siang’ (siang selamanya di seluruh alam tanpa malam di mana-mana bahagian alam ini) sebagai sesuatu yang luar biasa, begitu juga haruslah kita fahami bahawa ‘lelaki dengan lelaki’ atau ‘perempuan dengan perempuan’ bukanlah sesuatu yang normal.
Melihat kepada hukum dan unsur alam lagi, seperti magnet (besi berani) misalnya, dua magnet dengan dua kutub yang berbeza akan saling menarik antara satu sama lain, manakala dua magnet dengan dua kutub yang sama akan sentiasa menolak antara satu sama lain. Begitulah perumpamaan hubungan sejenis yang tidak seimbang dengan ‘Dao’ dan hukum alam (law of nature). Maka, ‘yang dengan yang’ dan ‘yin dengan yin’ jelasnya bertentangan dengan falsafah ‘yin dan yang.’
* * *
Penulisan ini adalah sebahagian daripada petikan halaman 205-213 yang diambil daripada buku:
“TITIK PERSAMAAN ANTARA ISLAM & AGAMA LAIN”
Perbahasan lebih lanjut tentang agama-agama yang telah disebutkan tadi boleh dibaca dalam buku tersebut. Turut dibincangkan beberapa persoalan dan dakwaan seperti “hubungan sejenis itu normal kerana haiwan juga mengamalkan hubungan sejenis” dan “Islam menafikan ‘hak-hak’ kemanusiaan golongan LGBT?”
Tempahan buku boleh dibuat di;
Whatsapp: +6 013-5430843 (Klik: http://titikpersamaan.wasap.my)
Facebook Messenger: facebook.com/nobleunitypublishing
Emel: nobleunitypublishing@gmail.com

Maklumat lanjut boleh didapati di laman Facebook Noble Unity Publishing.
Beli sekarang:-

Copy and paste: FB Kebangkitan Bani Jawi (Nusantara)
13 Ogos 2018 : 09.05 pm

No comments: