Thursday, 31 August 2017

KEMBARA HAJI 2017 - WUKUF DI ARAFAH

Artikel sebelum ini :
Kembara Haji 2017 - Abraj Al Janadiriyyah

WUKUF DI ARAFAH 1438H (2017M)



KAWASAN MASYAA'ER
Masyaa'er bermaksud Lambang Kebesaran Allah s.w.t. meliputi kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina. 

1. Padang Arafah ialah tempat himpunan pertama berkeluasan 13 km dan jarak dari Masjidilharam ialah 20 km. 

2. Muzdalifah : Tempat singgah berhenti waktu Malam terletak di antara Arafah dan Mina. Dari Arafah 8 kam manakala dari Mina 6.9 km. 

3. Mina : tempat himpunan kedua untuk melaksanakan perkara Wajib Haji. 



Perjalanan dari Masjidil Haram ke Arafah (18.07 KM)

Wukuf di Arafah adalah kemuncak ibadah Haji. 

Pada tahun 2017, jumlah jemaah haji Malaysia meningkat sebanyak 12,000 orang  berbanding dengan jumlah 30,200 orang yang yang diumumkan pada awal musim haji. Ini adalah berdasarkan kepada hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi. 

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata jemaah Haji Malaysia yang berada di Tanah Suci pada Musim Haji 1438H adalah 42,200 orang. Sehingga 31 Ogos 2017, dilaporkan 20 jemaah Haji meninggal dunia di Tanah Suci dan daripadanya, 3 orang meninggal pada hari Khamis 31 Ogos 2017 (Hari Wukuf). Lembaga Tabung Haji akan melaksanakan Badal Haji untuk mereka pada tahun hadapan. 

Sehingga tarikh hari Wukuf (31 Ogos) dilaporkan 12 Jemaah Haji masih lagi dirawat di Mekkah, dari jumlah itu 4 orang masih lagi koma manakala 8 orang lagi sedang dipantau kesihatan mereka. Bagi mereka yang uzur dan tidak dapat melaksanakan ibadah wukuf yang merupakan Rukun Haji TH akan mengembalikan wang RM9,980.00  dan mereka akan diberi keutamaan untuk melaksanakan ibadah haji tahun hadapan (2018). 


Mengenai penetapan Hari wukuf, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa semua tarikh tahun hijrah termasuk penetapan Hari Wukuf dan Hari Raya Aidiladha bergantung kepada kalendar ummul qura' (kalendar hijrah) yang diguna pakai bersama dengan kerajaan Arab Saudi.
Mengikut Kalender Ummul Qura Hari Wukuf pada tahun 2017 (1438H), 9 Zulhijjah itu jatuh pada 31 Ogos 2017 iaitu hari Khamis. 

Dalam kegembiraan Rakyat Malaysia yang berada di Tanahair menyambut Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos dan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha keesokan hari, tidak kita lupakan Hari Kemerdekaan Negara tahun 2017  jatuh pada hari Wukuf buat yangmengerjakan ibadah Haji. Pada hari ini semua jemaah haji akan berkumpul di Arafah yang merupakan kemuncak ibadah Haji. 

Wukuf di Arafah adalah Rukun Haji yang dilakukan dengan berada di Padang Arafah mulai daripada tergenlincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (31 Ogos 2017) sehingga sebelum Fajar 10 Zulhijjah. 

Kesemua 42,200 Jemaah Haji Malaysia tahun 2017 akan menyertai lebih 2 juta umat Islam seluruh Dunia bergerak ke arah Arafah untuk menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak Haji pada 31 Ogos 2017. 

Arafah yang terletak kira-kira 25 km dari Masjidilharam. Pada musim haji 1438H kali ini sebanyak 280 bas disediakan bagi membawa jemaah Haji dari 14 Maktab penginapan membabitkan keseluruhannya 840 perjalanan. 

Lain - Lain Info:

PERGERAKAN KE ARAFAH - MAKTAB 87
Bagi kami para Jemaah Haji dari Maktab 87 Abraj Al Janadiriyyah diarahkan bergerak ke Arafah sehari lebih awal iaitu pada 30 Ogos 2017. 





Taklimat diberikan sebelum bergerak ke Padang Arafah





Menunggu bas untuk bergerak ke Arafah. 

               Menaiki bas menuju Padang Arafah

 2 bekas anggota ATM wanita dalam Maktab kami (Maktab 87 Abraj Al Janadriyyah)

Haji Hamid rakan sebilik saya di Madinah

PADANG ARAFAH
Di Arafah semua jemaah ditempatkan dalam khemah baru yang pertama kali digunakan pada musim haji kali ini. Khemah yang lebih besar dan kukuh bagi menahan angin kencang serta kalis api dengan setiap satu khemah dapat memuatkan 150 sehingga 240 orang jemaah. Kali ini kipas berwap turut dipasang disetiap khemah dengan setiap maktab disediakan 150 unit. 
Keadaan cuaca di Arafah pada musim haji kali ini adalah agak panas dengan purata suhu sekitar 40 darjah celsius. 
Pada musim haji kali ini, buat julung kali, jemaah disajikan dengan menu gabungan Melayu dan Arab yang lebih menepati selera mereka.

SEDIKIT INFO MENGENAI ARAFAH
Arafat juga dikenali sebagai Arafah. Arafat ialah nama untuk mufrad (singular) dengan lafaz jamak (plural). Dalam Al-Quran ia disebut sebagai "Arafat". 
Arafah dan Arafat merupakan nama bagi tempat ini, disebut dengan kata jamak walaupun tempatnya satu kerana semua sudut tempat ini dinamakan Arafah. 

Arafah merupakan salah satu masy'ar (tempat ibadat) haji diluar batas Tanah Haram Mekkah, jadi Arafah adalah merupakan Tanah Halal. Jaraknya kira-kira 22 km dari sebelah tenggara Masjidilharam. Wukuf di Arafah merupakan Rukun Haji yang utama,sesiapa yang meninggalkannya maka hukumnya adalah seperti tidak melakukan haji. Jika seseorang telah berniat haji tetapi tidak sempat untuk berwuquf maka terlepaslah hajinya pada tahun tersebut. 

Padang Arafah merupakan daerah terbuka dan luas yang terletak di sebelah timur luar kota suci Makkah, disinilah umat Islam menunaikan rukun wukuf. Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun haji, bagi mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam a.s. dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis. Mereka telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali. Tempat pertemuan mereka adalah di Gunung Arafah tepatnya di Jabar Rahmah bererti "Gunung Rahmat". Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah. 

Di Arafah ini juga adalah tempat Jibrail mengajar Nabi Ibrahim a.s. tentang manasik (amalan) Haji. 






Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bererti berhenti seketika di padang itu. Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan munkar mereka semasa di dunia.

WADI URANAH
Suatu lembah yang terletak di akhir Tanah Haram, iaitu sebelum sampai ke Arafat, merupakan sempadan diantara Tanah Haram dan Tanah Halal. Disini Rasulullah s.a.w. menyampaikan Khutbah terakhir baginda pada tahun ke 10 Hijrah. Hari ini sebahagian daripadanya berada di bahagian hadapan Masjid Namirah. 

Masjid Namirah dihadapan Wadi Uranah

Plan kedudukan Jemaah Malaysia di Arafah


Para Petugas TH dalam operasi Masyair - memastikan khemah-khemah Jemaah Haji Malaysia berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum ketibaan para Jemaah Haji, Semoga Allah memberkati segala penat lelah para petugas ini yang bekerja tanpa mengira waktu demi keselesaan para Jemaah, usaha dan penat lelah mereka Allah sahaja yang dapat membalas .. Aamiin











Ketibaan Para Jemaah Haji di Arafah pada 30 Ogos 2017

Tag pengenalan jemaah Haji ketika di Arafah dan Mina


Beginilah keadaan para Jemaah Haji ketika berada di Khemah di Arafah. 





Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melawat khemah penempatan jemaah Haji Malaysia di Arafah. 

Keadaan khemah yang sesak serta keadaan cuaca yang panas, walaupun berada di dalam khemah, bahang panas tetap terasa. Inilah ujian dan cabaran paling berat bagi jemaah Haji, malah boleh menggugat keimanan kita sebagai insan yang lemah di sisi Allah s.w.t , di sinilah Allah menguji kesabaran kita sebagai Tetamu Allah. Namun syukur ke Hadrat Allah s.w.t berkat doa kami para jemaah Haji, kami dapat tempuhi segala rintangan dan kesukaran ketika berada di Arafah dengan tabah dan tenang hati, terima kasih dan syukur kepada Allah kerana menjadikan kami tenang dan tabah dalam suasana yang begini......



  


Beginilah keadaan kami di Khemah Arafah...keadaan cuaca panas yang agak terik... walaupun ada kipas berwap...namun bahang kepanasan masih terasa... namun kami semua redha dan tenang menghadapi keadaan ini... Syukur kepada Allah s.w.t.






KEISTIMEWAAN HARI ARAFAH
Di antara keistimewaan Hari Arafah adalah:
1. Diluputkan dosa setahun dan dosa pada tahun akan datang. 
2.Doa paling mustajab - para jemaah dinasihatkan agar mengambil kesempatan untuk menadah tangan memohon doa kepada Allah s.w.t. kerana Hari Wukuf adalah waktu berdoa yang paling mutajab dan paling dekat untuk dimakbulkan. Terdapat beberapa hadis sahih mengenai mustajabnya doa di hari Arafah antaranya ialah :

Rasulullah s.a.w bersabda : "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah."
(Hadis Riwayat Ibn Malik)

Waktu yang paling mustajab untuk berdoa di Arafah ialah bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu Maghrib. 
Hari Arafah di Malaysia pada tahun 2017 jatuh pada 31 Ogos 2017 mulai jam 12.21 tengahari (Khutbah Arafah). 

Walaupun Wukuf dan doa mustajab adalah khususiyyat (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah, namun bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka boleh mengambil peluang dari kelebihan Hari Wukuf di Arafah untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing, tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. 

Hari Arafah hari istimewa.
Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda; "Tidak ada suatu hari dimana Allah Taala paling banyak membebaskan hambaNya dari Neraka selain dari hari Arafah (9 Zulhijjah)." (HR. Muslim)

- Pujian Allah bagi orang yang wukuf di Arafah.
“Sesungguhnya Allah SWT. memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penduduk langit dan berkata kepada mereka : “ Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.“.(HR. Ahmad)

- Digalakan berpuasa kepada yang tidak menunaikan haji.
Dari Abu Qatadah Al-Anshari -radhiallahu anhu- dia berkata:
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ , فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah ditanya mengenai puasa hari Arafah (9 Zulhijjah)? maka Rasulullah 
shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab : Dikaffarah (diampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (HR. Muslim no. 1162) 



  


 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan Khutbah Arafah 2017




 Para Jemaah Haji akan berdoa di Hari Arafah di luar kawasan khemah bersama isteri dan keluarga







Kesemua jemaah haji Malaysia akan berada di Arafah sehingga malam 31 Ogos.
Jemaah haji, kemudian akan melakukan mabit (bermalam) di Muzdalifah dan melontar di Mina sehingga 13 Zulhijjah.
Di Mina Jemaah Haji akan melontar Jamrah Kubra pada 10 Zuljijjah (1 September) sebelum melontar ketiga-tiga Jamrah iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. 
Seterusnya jemaah akan melakukan tawaf dan saie haji serta bertahalul.

No comments: