Tuesday, 8 August 2017

Siri Menjawab Kristian 2

[Jesus Akan Turun Akhir Zaman: Mengapakah Umat Islam Tidak Mengikut Kristian?]
Ada beberapa hujah yang sering kali digunakan oleh golongan misionari Kristian apabila mereka berdakyah kepada orang Islam. Terutama di dalam persoalan mengenai tajuk ini mereka ada beberapa kaedah cara mereka bertanya:
Dakwaan 1 : Golongan misionari akan mengatakan bahawa di dalam Islam, Jesus itu tidak wafat dan sekarang masih berada di langit, manakala nabi Muhammad telah wafat dan kuburnya ada di Madinah. Itu menunjukkan bahawa Jesus itu istimewa dan dia itu Tuhan.
Jawapan:
a) Kepercayaan bahawa Jesus tidak mati disalib dan diangkat ke langit adalah kepercayaan umat Islam yang disebut di dalam al Quran. Allah menyebut mukjizat ini di dalam surah An Nisa’: 157-159. Manakala dikalangan Kristian pula percaya sebaliknya di mana mereka percaya Jesus mati di kayu salib dan ia disebut di dalam Bible, buku Lukas 23: 44-56.
b) Sekira diperhatikan semula persoalan mereka, adakah Tuhan itu lemah sehingga mati di kayu salib? Dan harus mengapa mereka perlu menumpang khabar mukjizat yang Allah anugerahkan kepada Jesus di dalam al Quran yang mengatakan Jesus tidak mati disalib?
Ini menunjukkan bahawa mereka juga mengetahui bahawa jika seseorang itu tidak mati dan diangkat ke langit, itu dianggap sangat istimewa jika dibandingkan dengan seseorang yang mati di kayu salib.
Sehingga mereka tegar menggunakan surah an Nisa 157-159 untuk menjelaskan bahawa Jesus itu adalah Tuhan kepada umat Islam kerana dia tidak mati dan diangkat ke langit.
Sedangkan itu bercanggah dengan kepercayaan mereka. Suatu kelemahan yang jelas dan kontradik dengan kepercayaan mereka yang sedia anuti.
c) Umat Islam sudah jelas maklum peristiwa diangkatnya Jesus ke langit itu adalah kekuasaan Allah yang mahu perkara itu terjadi.
Malah di dalam al Quran sudah jelas bahawa Jesus menyatakan beliau hanyalah seorang rasul dan dia diangkat ke langit dengan kekuasaan Allah dan bukan dengan kehendaknya.
Malah perkara itu tidak boleh menjadi bukti bahawa dia adalah Tuhan kerana di dalam al Quran jelas mengutip perkataanya yang sendiri menolak bahawa dia adalah Tuhan (Surah Maryam 30-32).
Oleh itu, adalah sangat tidak relevan sekiranya misionari menggunakan al Quran untuk membuktikan bahawa Jesus adalah Tuhan kerana ia sudah jelas ada penafian dari Jesus sendiri.
Dakwaan 2 : Hujah seterusnya, golongan misionari mempersoalkan, di dalam kepercayaan Islam, Jesus akan diturun ke bumi di akhir zaman. Ini menunjukkan bahawa dia adalah utusan terakhir dan bukan nabi Muhammad. Persoalannya kenapa tidak ikut ajaran Jesus ?
Jawapan:
a) Jesus adalah seoran rasul yang tunduk patuh kepada perintah Allah (muslim) dan beliau bukan seorang Kristian.[1] Manakala perkataan Kristian itu sendiri diperkenalkan selepas zaman Jesus iaitu digunakan oleh Saint Paul dalam Kisah Para Rasul 11: 26.
Jesus adalah seorang muslim sepertimana Adam, Noah, Abraham, Moses, dan kesemua nabi adalah muslim. Jesus tunduk patuh kepada perintah Allah, malah di dalam Bible sendiri mengatakan beliau mengatakan Tuhan itu satu. [2] Jesus juga solat dan sujur menyembah Allah.[3]
Jesus juga berkhatan sepertimana umat Islam berkhatan.[4] Malah beliau juga berpuasa.[5] Malah tidak ada satupun ayat yang mengaku dirinya adalah Tuhan. Malah di dalam Bible, beliau juga tidak mendakwa dirinya menurunkan kitab injil kecuali hanya sebagai pembawa berita injil.
Ajarannya diseleweng setelah ketiadaan beliau.
b) Sekiranya Jesus diturunkan akhir zaman, beliau juga akan mengikut syariat nabi Muhammad SAW.[6] Malah diriwayatkan di dalam sebuah hadis dalam Shahih Muslim bahawa Jesus akan solat bersama dengan umat Islam di akhir zaman dengan mengikut syariat nabi Muhammad. [7]
Malah jika dilihat pada pokok asasnya, syariat mereka tidak jauh berbeza. Malah di dalam Bible masih banyak peninggalan syariat nabi-nabi terdahulu yang selari dengan syariat nabi Muhammad seperti ajaran tauhid, larangan arak, larangan makan babi, hukuman qisas dan banyak lagi.
Nabi Muhammad adalah nabi terakhir dan baginda juga membawa syariat yang terakhir dan syariat serta al Quran itu relevan sehingga kiamat.[8]
c) Jawapan bagi persoalan kenapa Jesus dipilih untuk diutuskan di akhir zaman dan bukan nabi Muhammad, itu sebenarnya adalah kehendak Allah yang tentukan sedemikian.
Yang menariknya adalah dapat dilihat bahawa di antara banyak-banyak rasul, hanya beliau sahaja satu-satunya rasul yang dianggap oleh orang terkemudian sebagai Tuhan. Malah golongan yang menganggap Jesus sebagai Tuhan (Kristian) adalah penganut agama yang teramai di dunia.
Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa beliau kembali untuk memperbetulkan fitnah terhadap beliau yang menuduh beliau sebagai Tuhan.
d) Disebut di dalam sebuah hadis Shahih mengenai akan turunnya Jesus ke dunia yang bermaksud:
“Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya. Akhir zaman nanti Isa bin Maryam akan turun di tengah-tengah kalian sebagai hakim yang adil. Beliau akan mematahkan salib…..” (Shahih Bukhari no 3448)[9]
Hadis ini mengisyaratkan bahawa kehadiran Jesus itu adalah untuk menafikan dirinya itu bukan Tuhan dan menafikan bahawa dirinya pernah disalib.
e) Kedatangan Jesus di akhir zaman bukanlah sebagai rasul baharu walaupun beliau turun selepas kewafatan nabi Muhammad. Analoginya seperti di dalam sebuah keluarga terdapat dua orang adik beradik.
Si abang sulong menghilangkan diri dari keluarga selama 20 tahun dan di dalam tempoh itu adiknya meninggal dunia. Adakah setelah kepulangan abangnya itu menyebabkan dia menjadi adik bongsu? Sudah tentu tidak kerana statusnya tetap abang sulong.
Begitu juga dengan status Jesus yang diturunkan akhir zaman, dia tetap sebagai rasul sebelum nabi Muhammad dan tidak menjadi rasul baharu.
Kesimpulan
Golongan misionari menggunakan hujah dari sudut kepercayaan muslim untuk berdakyah kepada orang muslim. Ini sebenarnya jelas tidak menguntungkan mereka.
Malah logik sebegini menyebabkan mereka perlu menerima bahawa dengan menganggap Tuhan mati di kayu salib itu adalah satu dakwaan yang sangat lemah.
Malah logik juga menolak bahawa Tuhan itu perlu mengorbankan dirinya untuk menebus dosa warisan.
Sekiranya golongan misionari Kristian mahu berdakyah dengan menggunakan kepercayaan Islam seperti Jesus akan datang di akhir zaman, mengapa hanya berhenti kepada teks Jesus diturunkan di akhir zaman sahaja sedangkan hadis itu terang-terang menyatakan kehadirannya itu disertakan dengan mematahkan salib.
Dengan kata lain, Jesus sendiri menolak kepercayaan bahawa dia adalah Tuhan dan mati di tiang salib.
Nota kaki:
_________________________
[1] Surah Maryam Bab 19 Ayat 30 dan dalam Bible, Yohanes 5:30
[2] Markus 12: 29, Markus 12: 32 & Yohanes 17: 3
[3] Matius 4: 17
[4] Lukas 2: 21
[5] Matius 4: 5

[6] إنَّا نسمَعُ أحاديثَ مِن يَهودَ تعجبُنا، أفترى أن نَكتُبَ بعضَها؟ فقالَ: أمتَهوِّكونَ أنتُم كما تَهوَّكتِ اليَهودُ والنَّصارى؟ لقد جئتُكم بِها بيضاءَ نقيَّةً، ولو كانَ موسى حيًّا ما وسِعَه إلَّا اتِّباعي
“Ketika Umar datang mengadap Baginda s.a.w., lalu berkata "(Ya Rasulullah) kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran - tuan, bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?"(mendengar yang demikian) Baginda s.a.w., bersabda

"Adakah kamu merasa ragu dan serba salah ( dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani yang telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam - dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari sebarang perkara syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain daripada menurutku." 
(Takhrij Mishkat al Masabih: 1/136)
[7] Shahih Muslim no 156, Shahih Ibn Hibban no 6819
[8] Surah Al-Ahzab 33: 40
[9]والذي نفسي بيدِه ، ليُوشِكن أن ينزلَ فيكم ابنُ مريمَ حكمًا عدلًا ، فيكسرَ الصليبَ ، ويقتلَ الخنزيرَ ، ويضعَ الجزيةَ ، ويَفيضَ المالُ حتى لا يقبلَه أحدٌ ، حتى تكونَ السجدةُ الواحدةُ خيرًا من الدنيا وما فيها . ثم يقولُ أبو هريرةَ : واقرؤوا إن شئتم : {وَإِن مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلاَّ لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا }

TEAM R&D MRM

Sumber: Facebook - Multiracial Reverted Muslim
8.8.2017 : 10.10 am

No comments: