Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji. Tanpa wukuf, ibadah haji akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW yang ditanya mengenai ibadah haji bersabda, haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).
Sejarah berbeza pendapat berkaitan nama Arafah di mana ada yang berpendapat perkataan Arafah berasal daripada pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya, Hawa, yang diturunkan ke bumi berasingan dan akhirnya bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang Padang Arafah.
Ada juga yang menyatakan ia berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail, yang lama berpisah. Ada juga berpendapat perkataan Arafah adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim menghayati perintah Allah SWT yang tersirat dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail.
Hari Tarwiyah
Hari wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud Hari Renungan di mana Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut, akhirnya Baginda memahami maksud mimpi itu.
Ada pula kisah mengatakan Nabi Ibrahim telah diajar oleh Malaikat Jibril cara menunaikan manasik haji di situ. Apabila selesai, maka Jibril bertanya: "Adakah engkau tahu?" Maka jawab Ibrahim: "Ya, aku tahu."
Bolehlah diertikan bahawa di Arafah, manusia mengenali Tuhannya dan mereka datang ke tempat itu untuk mengakui dosanya serta memohon keampunan. Justeru, apa juga ibadah pada hari itu tidak diragukan kerana ia hari yang dibanggakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.
Arafah antara hari yang dimuliakan oleh Allah SWT kerana ketika itulah berkumpulnya semua jemaah haji dalam keadaan penuh khusyuk mengabdikan diri kepada-Nya. Mereka menadah tangan berdoa supaya dosa mereka diampunkan dan segala amalan diterima di sisi Allah SWT.
Arafah adalah peluang terbaik untuk menumpukan sepenuh hati ibadah kita kepada Allah SWT kerana Padang Arafah antara tempat yang paling mustajab doa. Jemaah haji juga sentiasa menghabiskan masa membaca al-Quran, berwirid, berzikir, solat sunat dan bermuhasabah diri.
Rasulullah SAW bersabda: "Tiada hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya lebih dicintai Allah daripada 10 hari pertama dari bulan Zulhijah". Mereka (sahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah, bukankah berjihad di jalan Allah lebih utama darinya?" Baginda SAW bersabda: "Bukanlah berjihad di jalan Allah itu lebih utama darinya, kecuali seseorang yang berjuang dengan dirinya dan hartanya, lalu ia kembali dengan tangan yang kosong tiada ganjaran." (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)
Ganjaran haji tanda berjihad
Ini menunjukkan ganjaran haji mestilah diperoleh sebagai tanda seseorang itu benar-benar berjihad di jalan Allah SWT. Kemuliaan 10 Zulhijjah telah diakui Baginda SAW dalam sabdanya: "Tidak ada hari yang lebih mulia di sisi Allah, dan tidaklah paling disukai Allah di dalamnya melainkan dari hari yang sepuluh, maka perbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir." (Riwayat Tabrani )
Segala perkara dan pelaksanaan ibadah adalah berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai (Arafat) dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Baqarah ayat 199)
Kedudukan wukuf di Arafah pada sisi Allah SWT adalah suatu amalan yang sangat besar impaknya kerana suasana perhambaan amat jelas. Justeru, mereka berhak mendapat kelebihan daripada Allah SWT. Kekuatan ibadah dalam wukuf dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT serta dimanfaatkan oleh orang lain.
Ulama bersepakat ibadah wukuf di Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula daripada waktu gelincir matahari (Zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (Subuh) pada hari kesepuluhnya. Saban tahun umat Islam menghadiri perhimpunan ini bagi mengingati perhimpunan dihadiri Rasulullah SAW dan menyampaikan amanat kepada umatnya.
Mereka seolah-olah berada dalam kelompok manusia yang membanjiri padang Arafah untuk sama-sama menjiwai cara ibadah haji dilaksanakan Baginda SAW yang dikenali sebagai Hajjatul Wada' atau haji terakhir dihadiri lebih daripada 124,000 sahabat.
Di situlah Allah SWT menurunkan ayat mengenai selesainya urusan agama Islam dan penerimaan terhadap wadah yang dibawa Baginda SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredai Islam itu jadi agama bagimu." (Surah al-Maidah, ayat 3)
Khutbah wada' di kaki Jabal Rahmah
Baginda SAW menyampaikan khutbah wada' di kaki Jabal Rahmah memberi peringatan, nasihat dan amanat kepada jemaah haji mengajak mereka berpegang kepada agama Allah SWT dengan cara yang sebenar serta menyatakan kerugian akibat perpecahan sesama sendiri.
Baginda SAW turut menjelaskan dasar agama Islam, menghapuskan ciri-ciri kesyirikan dan jahiliah, menyatakan mengenai kehormatan darah manusia, harta dan maruah serta kewajipan mempertahankan ketiga-tiganya.
Baginda SAW juga menegaskan pengharaman riba, selain memberi amanat dan wasiat kepada suami supaya memelihara isteri di samping menyatakan tanggungjawab, hak yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan mereka serta tanggungjawab perlu ditunaikan isteri terhadap suami mereka.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan berpuasa pada hari jemaah berwukuf kerana peluang daripada Allah SWT sentiasa diberikan kepada mereka yang berada jauh di ufuk dunia. Hari itu antara hari digemari oleh isteri Baginda SAW, Aisyah.
Rasulullah SAW telah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Rasulullah SAW bersabda: "Diampunkan dosa setahun lalu dan setahun akan datang."
(Riwayat Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)
Sumber: Berita Harian
Copy and paste: 26 July 2020 / 4 Zulhijjah 1441H: 7.36 am
No comments:
Post a Comment