Tuesday, 8 August 2017

Siri Menjawab Kristian 3

Siri Menjawab Kristian #3
[Nabi Muhammad Selalu Beristighfar 100 Kali Sehari, Itu Menunjukkan Dia Tidak Maksum!]
Persoalan ini juga terkenal yang sering ditanya oleh misionari Kristian. Mereka mempersoalkan, sekiranya nabi Muhammad seorang rasul dan dia maksum serta dijamin ke syurga, mengapa baginda perlu beristighfar (meminta ampun) lagi? Dan tidakkah itu menunjukkan bahawa baginda itu seorang yang berdosa? Malah dikatakan baginda beristighfar sebanyak 70 dan 100 kali sehari untuk meminta ampun kepada Allah.
Jawapan:
1) Jika dikatakan nabi Muhammad meminta ampun kepada Allah itu dikira baginda seorang pendosa, bagaimana pula dengan Jesus yang meminta ampun kepada Allah di dalam Bible? Tidakkah itu juga menunjukkan beliau juga berdosa? Diceritakan di dalam Bible, ketika pengikut Jesus meminta beliau mengajar untuk mereka berdoa, Jesus berdoa:
“Ampunkanlah dosa kami kerana kami pun mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami. Dan janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai” (Lukas 11: 4)
Jesus juga meminta ampun kepada Allah. Lalu adakah itu menunjukkan beliau juga berdosa? Logik yang sama juga perlu misionari jawab terhadap nabi Muhammad.
2) Umat Islam beriman bahawa semua rasul adalah maksum (bersih daripada dosa). Walaupun begitu, kesilapan mereka sebagai seorang manusia itu tetap ada termasuk nabi Muhammad, ini kerana baginda juga adalah seorang manusia, firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahawa Sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa”. (surah al-Kahfi : 110)
Para nabi juga tidak terlepas dari sifat manusia yang ada lemah dan melakukan kesilapan, akan tetapi kesilapan mereka itu dibimbing dengan teguran dari Allah dan mereka meminta ampun. Sepertimana berlaku kepada nabi Adam yang diampun setelah makan buah khuldi.[1] Nabi Yunus yang diampun setelah meninggalkan kaumnya.[2] Nabi Musa yang meminta ampun diatas perbuatan yang tidak tersengaja memukul seseorang sehingga meninggal.[3] Kelebihan para rasul ini mereka terjaga dan terpelihara dari dosa serta setiap kesilapan mereka akan mendapat bimbingan Allah. Ini dikenali sebagai maksum.
3) Nabi Muhammad juga pernah ditegur oleh Allah di atas beberapa kesilapannya, sepertimana baginda solat jenazah Abdullah Ibn Ubai yang merupakan bapa munafiq yang memerangi baginda dalam diam. Setelah itu Allah menegurnya dengan turunnya ayat larangan untuk solat jenazah orang munafiq:
“Janganlah sekali-kali kamu solat (jenazah) seorang yang mati dari mereka (munafik), dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di atas kuburan mereka. Sesungguhnya mereka telah kafir pada Allah dan utusannya dan mereka mati dalam keadaan fasik.” (Surah At-Taubah: 84).
4) Berkenaan dengan nabi meminta ampun itu sememangnya ada disebut di dalam hadis shahih yang mana baginda akan beristighfar (memohon ampun) sebanyak 70 dan 100 kali sehari. [4] Itu tidak bermaksud nabi Muhammad seorang pendosa. Ini kerana antara perkara utama diutuskan nabi Muhammad itu adalah dijadikan sebagai tauladan dan contoh untuk manusia mengikutinya. Disebut di dalam al Quran yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. (Surah Ali Imran: 31)”
“Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.” (Surah an Nisa: 80)
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu” (Surah al Ahzab: 21)
“Katakanlah, "Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul” (Surah an Nur: 54)
Ayat-ayat ini jelas menunjukkan bahawa nabi Muhammad itu adalah utusan yang menjadi contoh ikutan bagi manusia. Apabila nabi Muhammad SAW itu beristighfar sebanyak 70 dan 100 kali sehari itu bukan menunjukkan baginda berdosa. Akan tetapi baginda ingin menunjukkan suri tauladan kepada umatnya, walau baginda maksum akan tetapi baginda tetap meminta ampun kepada Allah, agar umatnya mencontohi perbuatannya itu. Nabi beristighfar sebanyak 70 dan 100 kali sehari tidak bermaksud umatnya perlu beristighfar 10 kali ganda lebih banyak dari baginda. Umatnya tetap digalakkan beristighfar sebanyak mana baginda beristighfar. Ini kerana nabi Muhammad itu adalah contoh untuk umatnya mengikutinya.
5) Jika diandaikan nabi Muhammad tidak meminta ampun dan beristighfar kepada Allah kerana baginda menggunakan alasan yang memang dirinya tidak perlu untuk beristighfar kerana sudah maksum. Lalu bagaimana umatnya yang melakukan dosa untuk meminta ampun? Contoh siapakah yang perlu mereka ikuti? Situasi itu akan merumitkan buat umatnya.
Begitu juga boleh dilihat dalam situasi yang lain sepertimana baginda pernah terlupa rakaat solat.[5] Jika diandaikan baginda tidak pernah terlupa dalam solat, harus bagaimana kita sebagai manusia yang lemah yang kadang kala terlupa rakaat solat samada terlebih atau terkurang. Dimanakah kita mahu mencari contoh dan rujukan untuk memperbaiki solat yang terlupa itu? Itulah hikmahnya nabi Muhammad itu menjadi tauladan dan rujukan kita di dalam segenap segi.
Kesimpulan
Kesilapan seorang rasul tidak membawa kepada dosa. Ini kerana kesilapan itu ditegur dan dipandu oleh Allah. Analoginya sebuah rumah dikatakah bersih, bukan bermaksud rumah tersebut tidak pernah kotor. Akan tetapi ketika ada kotoran maka segera dibersihkan.
Oleh itu tidak bermaksud apabila nabi Muhammad yang juga maksum apabila baginda meminta ampun itu menunjukkan dia berdosa. Akan tetapi ingin menunjukkan kepada kita bagaimana cara untuk meminta ampun kepada Allah. Ini kerana baginda itu adalah suri tauladan untuk dicontohi.
Selain itu, terdapat perkara yang menarik untuk diperhatikan. Perkara ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa nabi Muhammad ini sememangnya seorang rasul. Jika ada orang menuduh nabi Muhammad mencipta agama ini dengan kehendak dirinya, nescaya saat baginda terlupa rakaat solatnya (terpendek 2 rakaat) baginda tidak akan bangkit semula untuk tambah rakaat solatnya yang tertinggal dan dengan sifat egois boleh untuk baginda mendakwa bahawa syariat sudah diubah atau dengan alasan-alasan lainnya. Akan tetapi perkara ini tidak berlaku kerana baginda sedang mematuhi perintah Allah. Setiap segi perbuatan baginda itu tidak terlepas untuk umatnya mengikutinya. Sesuailah dengan firman Allah yang mengutuskan nabi Muhammad sebagai suri tauladan untuk diikuti.
Nota kaki:
___________________________________
[1] Surah al A’raaf: 23
[2]Surah al Anbiyaa’: 87
[3] Surah Al Qashash: 16
[4] 70 kali istighfar Shahih Bukhari no 6307 & 100 kali istighfar dalam shahih muslim no 2702 
[5] Nabi Muhammad juga pernah melakukan kesilapan yang mana kesilapan itu diperbetulkan segera. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan nabi Muhammad pernah terlupa rakaat solatnya. Seperti dalam shahih Bukhari menceritakan bahawa nabi Muhammad SAW bersama sahabat solat pada waktu siang (zohor atau asar) lalu baginda hanya solat dua rakaat sahaja dan terus memberi salam. Ada seorang sahabat bernama Dzulyadain bertanya kepada nabi: Ya Rasulullah, apakah anda lupa atau solat tadi memang diqasarkan?” Baginda bersabda: “Saya tidak lupa dan solat tadi tidak pula diqasarkan.” Maka Rasulullah bertanya kepada para sahabat lain : “Apakah benar yang dikatakan oleh Dzulyadain?” Para sahabat menjawab: “Benar.” Maka baginda pun menuju kembali ke tempatnya semula dan menyempurnakan baki rakaatnya, kemudian memberi salam baginda melakukan sujud shawi. (Shahih Bukhari no 482)

TEAM R&D MRM

Sumber: Facebook - Multiracial Reverted Muslim
8.8.2017 : 10.12 am

No comments: