Wednesday, 9 August 2017

KEMBARA HAJI 2017 - TAKLIMAT DAN KURSUS HAJI

Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana tanpa diduga pada 2 Ogos 2017 saya telah menerima panggilan talipon dari Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM bahawa saya dan isteri  telah terpilih untuk menunaikan ibadah Haji ke Mekkah di bawah kuota Veteran ATM. 
Tidak dapat saya gambarkan betapa gembiranya saya kerana saya sangat-sangat tidak menyangka akan terpilih tahun ini kerana saya baru sahaja mendaftar Haji pada tahun lepas (2016). 
Syukur Ya Allah kerana Engkau telah memilih aku dan isteri untuk menjadi tetamu Mu pada musim Haji tahun ini.

Ibadah Haji adalah Rukun Islam yang kelima, wajib dikerjakan oleh umat Islam yang berkemampuan dari segi perbelanjaan dan kesihatan untuk sampai ke Baitullah,di Tanah Suci Mekkah, sekali dalam seumur hidupnya. 

Haji yang wajib dilakukan hanya sekali iaitu haji yang dilakukan buat kali pertama. Haji yang dilakukan buat kali kedua, ketiga dan seterusnya bukanlah lagi haji wajib. Ia hanya Haji Sunat.

Dalil Wajib Haji:

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 196:
"Dan Tunaikanlah Haji dan Umrah kerana Allah Taala."

Firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 97:
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan Siapa yang kufur (ingkar untuk Ibadat Haji) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (Tidak Berhajat kepada sesuatu pun) dari sekalian makhluk."

Pada musim Haji 1438H, Tabung Haji telah memperkenalkan slogan "Hadir ku sebagai Dhuyufurrahman, Kembaliku dengan Kemabruran" bertujuan agar semua jemaah Haji dapat menghayati falfasah ibadat haji iaitu menjadi insan yang suci, bersih seolah-olah bayi yang baru dilahirkan ibunya - bersih dan suci dan noda dan dosa. 

SEJARAH RINGKAS HAJI

  • 5 Hijrah : ibadat Haji diwajibkan
  • 6 Hijrah : Rasulullah s.a.w mengerjakan Umrah dengan disertai oleh 1500 orang sahabat namun rombongan Baginda telah di tahan di Hudaibiyah.
  • 7 Hijrah : Baginda melaksanakan Umrah Qada
  • 9 Hijrah : Rasulullah s.a.w. mengutuskan Saidina Abu Bakar r.a. disertai seramai 300 orang pergi menunaikan Haji. 
  • 10 Hijrah : Rasulullah s.a.w menunaikan fardhu Haji ke Mekah. Baginda memulakan perjalanan pada 25 Zulkaedah bersama isteri-isteri Baginda diikuti 124,000 para muslimin. 
TAKLIMAT HAJI 2017
Saya dan isteri telah hadir ke taklimat Haji anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan juga Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) di Masjid Khalid Ibn Walid di Jalan Padang Tembak Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2017 dan 16 Ogos 2017. 

Masjid Khalid Ibn Walid terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur siap dibina pada tahun 2011 menggantikan masjid yang lama. 
Mengambil sempena nama sahabat Nabi s.a.w. yang juga merupakan panglima Tentera Islam yang tidak pernah tewas dalam seratus peperangan yang dipimpinnya. 







Taklimat Ustazah dari Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT)
 


Segala urusan Pendaftaran dan juga Visa serta juga pemeriksaan kesihatan telah dijalankan di Masjid Khalid ibn Walid atas usaha JHEV dan juga KAGAT. Terima kasih kepada JHEV dan KAGAT kerana usaha murni setaf mereka dalam menyantuni Dhuyufurrahman (Tetamu Allah)  adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai harganya kerana mereka telah bertungkus lumus siang dan malam untuk menghubungi Veteran Veteran ATM yang terpilih melalui kuota Haji 2017. Semoga Allah s.w.t jualah yang akan membalas segala jasa dan pengorbanan mereka yang bekerja tanpa mengira penat lelah. 

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA MENTERI PERTAHANAN
Satu Majlis Ramah Mesra dan meraikan bakal jemaah Haji 1438H telah diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di Kementerian Pertahanan pada 16 Ogos 2017. 
Hadir di Majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn. 





Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn



Setiap bakal Jemaah Haji Veteran ATM telah menerima cenderahati dari YB Menteri Pertahanan dan isteri yang berupa set penjagaan kesihatan ketika di Tanah Suci. 


Cenderahati dari Menteri Pertahanan dan Isteri untuk Bakal Jemaah Haji Veteran ATM dan Warga ATM

Selesai Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Pertahanan, bakal Jemaah Haji kembali semula ke Masjid Khalid Ibn Walid untuk meneruskan Sesi Pemeriksaan Kesihatan yang dijalankan oleh Kor Kesihatan Di Raja ATM. 
Oleh kerana terlalu ramai bakal jemaah Haji membuat pemeriksaan kesihatan di sini, saya dan isteri telah membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Swasta walaupun terpaksa mengeluarkan duit sendiri, namun saya tak kisah kerana hendak segera menyelesaikan urusan kesihatan. 

PEMERIKSAAN KESIHATAN KEPADA BAKAL JEMAAH HAJI DI BAWAH KUOTA MENTERI PERTAHANAN

KUALA LUMPUR, 16 OGOS 2017
Lebih kurang 1,000 bakal jemaah haji di bawah kuota Menteri Pertahanan yang terdiri daripada ATM, Veteran ATM, kakitangan awam MinDef dan Pejabat Menteri Pertahanan berkumpul di Masjid Khalid Al Walid sejak pagi tadi untuk pemeriksaan kesihatan termasuk suntikan vaksin percuma yang disediakan oleh Bahagian Perubatan Kesihatan ATM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Tabung Haji.
Terdapat 2 jenis vaksin yang diberi kepada bakal jemaah haji di Masjid Khalid Al Walid iaitu vaksin Pneumococcal Polysaccharide Conjugate Vaccine (13-Valent Adsorbed) yang berperanan untuk mencegah radang paru-paru. Manakala vaksin kedua ialah Meningococcal yang berperanan untuk mencegah jangkitan pada otak.


Selesai segala urusan Visa dan Pemeriksaan kesihatan kami dinasihatkan menunggu surat tawaran dari Lembaga Tabung Haji yang akan diedarkan kemudian. Tarikh penerbangan hanya akan diberitahu setelah menerima tawaran menunaikan Haji dari Lembaga Tabung Haji


Urusan Dokumentasi di Pejabat TH KL Sentral (IFiC) di jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur

KURSUS HAJI
Pada 17 Ogos 2017 saya dan isteri telah menghadiri kursus Haji 2017 di Masjid Khalid ibn Walid yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). 
Saya tidak ingat nama Ustaz yang memberi ceramah pada kursus tersebut. 
Objektif Kursus Haji adalah untuk memberi pendedahan dan panduan Haji kepada Bakal Haji serta perkara berkaitan dengan pengurusan Haji dan juga penjagaan kesihatan. Juga untuk memberi pendedahan dan persediaan awal sebelum bakal Haji berangkat ke Tanah Suci agar memperolehi Haji yang mabrur. 















Perkarangan Masjid Khalid ibn Walid, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur





No comments: