Wednesday, 23 August 2017

KEMBARA HAJI 2017 - PENERBANGAN KE JEDDAH

Artikel sebelum ini:
Kembara Haji 2017 -Taklimat dan Kursus Haji





Syukur Alhamdullillah saya telah menerima Surat Tawaran Haji pada 12 Ogos 2017. Saya dan isteri telah ke Pejabat Lembaga Tabung Haji di Menara TH Sentral di Jalan Stesen Sentral 5 Kuala Lumpur. 
Pada 19 Ogos 2017 saya dan isteri telah menerima surat Jadual Penerbangan ke Mekkah. Tarikh penerbangan telah disahkan pada 23 Ogos 2017 menaiki pesawat Flynas XY6330

Mengambil Surat Tawaran Haji di Pejabat TH di KL Sentral


PENERBANGAN KE JEDDAH - 23 OGOS 2017


Saya dan isteri melapor diri di Kompleks Jemaah Haji Kelana Jaya, Petaling Jaya pada jam 11.00 pagi dihantar oleh Abang Ipar serta kakak-kakak saya. Turut hadir di Kompleks Jemaah Haji Kelana Jaya ialah bekas Pengurus Awareness Program Yayasan Jantung Malaysia,  Hj Mohd Salehuddin Abd Malek bersama isteri. 

Di kompleks Jemaah Haji Kelana Jaya ini, kami diberikan tag nama pengenalan, bag sandang sumbangan Maybank dan juga beg bimbit sumbangan Bank Islam. 

Bagasi saya dan isteri untuk ke Tanah Suci


Bersama isteri dan kakak-kakak ku








Tuan Haji Mohd Sallehuddin Abd Malek turut hadir di Kompleks Jemaah Haji Kelana Jaya


Isteri bersama anak-anak




FLIGHT XY6330 KUALA LUMPUR KE JEDDAH

Saya dan isteri menaiki penerbangan Flynas XY6330 dan berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada jam 7 malam. 









BERNIAT DI MIQAT
Erti Miqat ialah Ketentuan tempat atau Masa untuk berniat Ihram atau umrah. Ia adalah sempadan Tanah Halal dan Tanah Haram yang ditentukan oleh Rasulullah s.a.w. Niat Ihram di Miqat adalah merupakan salah satu dari Wajib Haji. Apabila melintasi miqat, jemaah Haji perlu mengenakan kain ihram dan memasang niat. Setiap orang yang menuju ke Mekkah dengan tujuan Haji atau Umrah mesti berihram dengan niat dan dikenakan dam jika melanggar miqat. Miqat digunakan pakai bagi ibadah Haji dan Umrah. 

Kami berniat miqat apabila kapalterbang melintasi Qarn Al Manazil sebuah bukit di sebelah Timur terletak kira-kira 94 km dari Mekah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah (jika menaiki kapal terbang). Selalunya ia diumumkan dalam kapal terbang.Jemaah biasanya akan memakai awal-awal sejak dari rumah sebelum menaiki kapal terbang.Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Mekah setelah mendarat di Jeddah.

MIQAT UNTUK JEMAAH UMRAH DAN HAJI DARI MALAYSIA:
1. Niat berihram di Miqat.
Miqat ialah batasan atau sempadan tempat dan ketentuan masa yang ditentukan untuk berniat dan memakai ihram haji dan umrah.
Miqat ada dua jenis iaitu :-
i. Miqat zamani (ketentuan masa) Bermula 1 Syawal > 10 Zulhijjah.
ii. Miqat makani (ketentuan tempat)
Miqat makani ialah tempat-tempat yang telah ditentukan sempadannya, bagi seseorang itu memulakan berniat dan memakai ihram.
Antara Miqat yang sering dikunjungi jemaah Malaysia ialah:
QARNUL MANAZIL
89 km. dari Makkah bersempadan dengan Kuwait. Berniat Ihram bila melalui ruang angkasanya sebelum memasuki Makkah. Juga dibawa ketika menziarah Taif
BIR ALI/ ZULHULAIFAH
Sekiranya jemaah bertolak dari Madinah, akan berniat ihram di sini Lebih kurang 450 km dari Makkah 10 km dari Madinah.
JARANAH
Berdekatan dengan Mudzalifah, Mina. Selalu di bawah ketika menziarahi Jabar Rahmah, Jabar Nur, Jabal Thurs dan Sekitarnya.
HUDAIBIYAH
Terletak di arah barat daya 22km dari kota Mekah. Berlaku perjanjian bersejarah antara kaum Muslimin dan kafir Quraisy yang pada tahun ke-6 hijrah bulan zulkaedah
TANAIM
Masjid Aishah tapi lebih dikenali sebagai Masjid Tanaim. Merupakan tempat Miqat terdekat dengan Mekah dengan jarak sekitar 6km.


Tempat mula berniat ihram - Qarn Al Manazil

QARN AL MANAZIL, TEMPAT MIQAT JEMAAH HAJI DARI MALAYSIA
HAJI TAMATTUK
Saya dan isteri telah sepakat untuk melaksanakan Haji Tamattuk iaitu mengerjakan Umrah terlebih dahulu dalam bulan haji sebelum menunaikan haji. Ertinya saya dan isteri akan mengerjakan Umrah terlebih dahulu apabila tiba di Mekkah  pada bulan haji sebelum Wuquf di Arafah. Haji secara ini dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing.

Bayaran untuk dam Haji Tamattuk ini telah saya laksanakan pada 26 Ogos 2017 di Kaunter Kewangan, Hotel Abraj Al Janadiriyyah untuk saya dan isteri sebanyak Saudi Riyal 880.00 (SR440.00 seorang).



Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran adalah manasik atau kaedah yang digunakan semasa menunaikan ibadah Haji. Para Jemaah Haji hendaklah merancang terlebih dahulu cara yang macamana hendak digunakan. 

Sebaik-baik ibadah haji adalah Haji Ifrad kerana ianya tidak mencampur adukkan antara haji dengan umrah. Dalam Haji Ifrad, kita melepaskan / menunaikan ibadat haji terlebih dahulu. Setelah selesai barulah kita menumpukan ibadah kita kepada ibadah umrah  

Namun begitu bagi mereka yang tidak berkesempatan atau tidak berpeluang melakukannya ( Haji Ifrad ) maka pilihan yang terbaik baginya adalah Haji Tamattuk ataupun Haji Qiran. 

Untuk memahami lebih lanjut mengenai jenis-jenis Haji ini, eloklah merujuk kepada laman-laman web mengenai ibadah haji atau pun buku-buku mengenai ibadah Haji yang banyak menghuraikan lebih lanjut mengenai Jenis-jenis haji ini. 

Rujuk:
Lembaga Tabung Haji - Modul Kursus Haji


TIBA LAPANGANTERBANG KING ABDUL AZIZ JEDDAH, SAUDI ARABIA (24 OGOS 2017)

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah mengambil masa lebih kurang 8 jam dan kami telah selamat mendarat di King Abdul Aziz International Airport, Jeddah pada jam lebih kurang 11.00 malam.
Mengunjungi Jeddah seperti pulang ke kampung halaman bertemu asal usul, bertemu keluarga seagama kerana di sini bersemadinya jasad Hawa, wanita pertama yang Allah ciptakan di dunia ini.










Nampak ada jemaah Haji yang tidor dibawah.... kesian


Para Jemaah Haji berehat sementara menunggu untuk Pelepasan Kastam






Kesian isteri saya, kepenatan setelah 8 jam dalam penerbangan dari KL ke Jeddah


JEDDAH, SAUDI ARABIA
Jeddah dalam bahasa biasa bermaksud nenek, merujuk kepada Hawa, pasangan Nabi Adam yang dikatakan diturunkan Allah di Jeddah, dipertemukan semula dalam detik bersejarah di Jabal Rahmah, Padang Arafah.
Jeddah adalah merupakan pintu masuk ke Al-Haramain iaitu kota suci Makkah dan Madinah.
Laluan ke Tanah Suci adalah peringatan kepada kepulangan kerana ia adalah laluan yang pernah ditempuh oleh moyang kita Hawa untuk mencari kekasihnya Nabi Adam a.s.
Laluan ini juga adalah laluan para pendakwah dan pedagang terkemuka suatu ketika dulu seperti Abu Musa Al-Asyaari, Ziyad bin Lubaid dan Muaz bin Jabal.
Hari ini para jemaah akan melalui jalan yang sama pernah dilalui oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda serta para-para pendakwah, berulang alik bagi menyempurnakan panggilah Allah untuk menuju Allah Yang Maha Esa.








SEMPADAN TANAH HARAM MEKKAH
Tanah Haram Mekkah ialah jarak yang melingkungi Masjidilharam dari segenap penjuru. Allah s.w.t menjadikannya hukum Tanah Haram sama dengan Mekkah sebagai memuliakannya. Tanah Haram ini telah diharamkan oleh Allah s.w.t semenjak dijadikan bumi sehinggalah ke hari Kiamat. 
Orang pertama yang membuat tanda sempadan Tanah Haram ialah Nabi Ibrahim a.s. berpandukan petunjuk daripada Jibril a.s. 
Selepas pembukaan Kota Mekkah (Fathul Makkah), Rasulullah s.a.w telah melantik Tamim bin Asad al-Khuza'i agar memperbaharui tanda sempadan TanahHaram.

KELEBIHAN TANAH HARAM
  1. Bumi kelahiran Rasulullah s.a.w.
  2. Tempat kemuliaan, keselamatan dan Keamanan
  3. 120 Rahmat turun ke atas Kaabah setiap hari, 60 Rahmat untuk orang yang tawaf, 40 Rahmat untuk orang yang solat dan 20 Rahmat untuk orang yang memandang kaabah.
  4. Digandakan 100 ribu kali ganda bagi setiap solat yang dikerjakan di Masjid Haram. 
  5. Tiada waktu ditegah untuk mengerjakan solat sunat.
  6. Mekkah terpelihara dari wabak taun dan fitnah dajjal 
  7. Banyak tempat mustajab untuk berdoa. 
NAMA TANDA SEMPADAN TANAH HARAM

a) Al-Tan’im = 7.5km
b) Adhaat Libn = 16 km
c) Al-Syara’I = 16 km
d) Al-Hudaibiyyah = 22 km
e) Jamal Namirah (Zal al-Sulaim) = 22 km
- 15km mengikut jalan lurus pejalan kaki (pedestrian)

Dari King Abdul Aziz International Airport kami dibawa menaiki bas ke Hotel masing - masing. Saya dan isteri dalam kumpulan Maktab 87 ditempatkan di Hotel Abraj Al Janadiriyyah yang terletak lebih kurang 700 meter dari Masjidilharam.

JEMAAH VETERAN ATM MENINGGAL DUNIA




Sesampai di hotel kami telah dimaklumkan bahawa seorang Jemaah Haji Veteran ATM yang bernama Hamzah bin Hashim telah meninggal dunia di bilik penginapan beliau pada jam 5 pagi (waktu Arab Saudi) setelah baru sehari tiba di Mekkah. Beliau meninggal dunia dalam keadaan tidur dan masih berpakaian ihram. Jenazah telah disolatkan di Masjidilharam oleh pihak Tabung Haji dengan kerjasama Kerajaan Arab Saudi. AL FATIHAH buat Allahyarham Hamzah bin Hashim. 






Artikel seterusnya:



No comments: