Oleh Mastika > 28 Mac 2023
Posted by Rozza Zainal > PERISTIWA N' SEJARAH
MARY CELESTE merupakan nama sebuah kapal yang masih menimbulkan misteri sehingga ke hari ini. Kehilangan kesemua anak kapal yang ghaib entah ke mana terus menjadi tanda tanya.
Mary Celeste adalah sebuah kapal dagang yang didaftarkan di bawah kerajaan British pada tahun 1861. Pada saat ia mula dilancarkan, kapal ini bernama Amazon. Setelah ia bertukar pemilik, kapal ini diubah suai dengan imej baru dan dinamakan sebagai Mary Celeste.
Pada 7 November 1872, Mary Celeste belayar dari New York menuju ke Genoa, Itali. Diketuai oleh Kapten Benjamin Brigss, kapal ini membawa 10 orang kru termasuk kapten bersama isteri dan anaknya, dengan lebih 1,700 tong arak. Namun, Mary Celeste tidak pernah sampai ke lokasi yang ditujui.
Hampir sebulan kemudian iaitu pada 4 Disember, Mary Celeste ditemui terapung tanpa arah berdekatan antara Azores dan pesisir pantai Portugal. Kapten David Morehouse yang mengemudi kapal Dei Gratia menemui kapal ini semasa melalui perairan tersebut.
Berasa hairan dengan keadaan Mary Celeste yang mencurigakan, Kapten David dan krunya mendekati kapal tersebut. Apa yang aneh, tiada sesiapa di dalam Mary Celeste. Tidak ada sebarang tanda kapal itu diserang atau dirompak. Tiada kerosakan, malah susun atur barangan atas kapal itu juga tersusun dan kemas. Jadi, ke mana penghuni kapal Mary Celeste menghilang?
Teori paling logik yang dikaitkan ialah berkemungkinan kru kapal Mary Celeste telah keluar dari kapal tersebut menaiki bot keselamatan. Ini kerana, hanya bot tersebut yang didapati hilang dari kapal itu.
Namun, mengapa mereka keluar dari kapal tersebut? Apa yang telah berlaku? Sekiranya mereka menyelamatkan diri dengan menaiki bot tersebut, sudah tentu mereka masih hidup. Tetapi anehnya, seorang pun daripada anak kapal itu tidak pernah ditemui. Ini termasuk nakhodanya, Kapten Benjamin Brigss bersama isteri dan anaknya yang berusia dua tahun yang turut sama dalam pelayaran itu, juga didapati hilang.
Disebabkan itu, banyak teori lain turut dikaitkan dengan kehilangan misteri ini. Antaranya, berlaku kebocoran yang berisiko menyebabkan letupan membuatkan nakhoda mengarahkan mereka semua meninggalkan kapal itu. Namun, teori itu ditolak kerana tiada sebarang tanda letupan atau kebakaran pada Mary Celeste.
Teori lain menyatakan Kapten Briggs mengarahkan untuk meninggalkan kapal tersebut kerana takut ia tenggelam, mungkin kerana berlaku kerosakan dan cuaca buruk seperti yang tertulis dalam buku log. Namun, itu masih tidak dapat menjelaskan ke mana mereka semua pergi setelah meninggalkan Mary Celeste.
Tak kurang juga yang mengaitkan kru kapal Dei Gratia yang membunuh penghuni kapal Mary Celeste. Namun teori itu tidak masuk akal. Tambahan pula kapal Dei Gratia yang menemui Mary Celeste dalam keadaan terumbang ambing di lautan.
Spekulasi lain mengatakan kru diserang wabak penyakit lalu mereka terjun ke dalam laut. Ada pula yang mengaitkan misteri kehilang kru Mary Celeste ini dengan penculikan makhluk asing atau serangan sotong gergasi.
Apa pun teori yang dikemukakan, sehingga kini kehilangan anak kapal Mary Celeste masih menjadi misteri walau sudah 150 tahun peristiwa itu berlalu. Tiada jawapan pasti, ke mana mereka semua menghilang.
______
Sumber artikel : UtusanTV
No comments:
Post a Comment