Oleh : Lebai Kampung > Institute of Traditional Islamic Studies.
Kita sebagai umat akhir zaman bukan hanya didepani dengan masalah propaganda dari kaum kafirun dan umat yang mahu murtad tetapi jauh daripada itu agenda halus yang mahu mempluralkan segalanya, sebagai contoh; propaganda pluralisme bangsa dengan mengatakan semua bangsa adalah sama dan menyamaratakan semua walaupun berlainan kulit, bahasa dan latarbelakang tetapi diwar-warkan sebagai bangsa Malaysia.
2. Terbaru, agenda mempluralkan parti - tanpa peduli soal ideologi dan matlamat parti, dikatakan sama kerana semua mahu membangunkan negara. Kebelakangan ini kelihatan ketara agenda pluralkan agama. Walaupun asalnya ia merupakan agenda pertama dan utama namun golongan Islam adalah kumpulan yang paling sukar namun tidak mustahil untuk menerima ajaran satu kepercayaan ini.
3. Soal mempluralkan agama, mungkin boleh dimulakan dengan perkara paling fundamental bagi semua agama yang menjadi tembok tebal mengapa agenda pluralisme pasti gagal. Kita beriman dengan ayat: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.” (Surah Ali Imran: ayat 19)
4. Rukun Iman dalam Islam kita percaya (1) kepada Allah (2) kepada para Malaikat (3) kepada kitab-kitab (4) kepada para Rasul (5) kepada Hari Kiamat (6) kepada Qada dan Qadar. Manakala Kristian cukup dengan percaya “Jesus adalah anak tuhan”.
5. Bagi umat Islam “solat” adalah wajib dan berdosa meninggalkannya malahan boleh murtad siapa yang mengatakan tidak wajib. Kewajiban mendirikannya pada setiap hari sebanyak 5 waktu. Manakala agama Kristian tidak ada solat, mereka cuma menjadikan rutin berkumpul di gereja seminggu sekali pada hari Ahad dengan berdoa beramai-ramai.
6. Ibadat “puasa” pula, Islam telah menetapkan puasa sebulan di bulan Ramadan. Dalam agama Kristian ia tiada ketentuan. Sesiapa boleh berpuasa pada bila-bila masa yang disukai. Ada juga yang mengamalkan berpuasa (menahan diri daripada) makanan tertentu seperti tidak makan daging, susu dan sebagainya. Begitu juga dalam agama Kristian tidak ada “zakat fitrah atau zakat harta”. Mereka juga tidak ada ibadat menunaikan “Haji dan Umrah”. Justeru, bagaimana boleh seorang itu mengatakan ada persamaan Islam dengan Kristian?
7. Dalam bab “Tauhid” pula, amat jelas sekali pencanggahannya; umat Islam bertauhidkan Allah itu Maha Esa (Tunggal) manakala agama Kristian berimankan kepada “Trinity” (tuhan dalam tiga), atau tuhan itu satu dengan 3 entiti iaitu bapa, anak dan roh kudus (holy spirit). Secara asasnya Kristian berkeyakinan bahawa tuhan mereka itu beranak-pinak, dengan percaya bahawa Jesus adalah anak Tuhan. Tuhan telah menjelma sebagai roh kudus masuk ke rahim Mary (Maryam) kemudiannya menjadi anggota (flesh) yang membesar sebagai Jesus yang juga tuhan tetapi anak tuhan.
8. Tentang “Kitab Suci” pula, umat Islam wajib beriman kepada kitab suci Al-Qur'an iaitu kitab yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan mukjizat di mana mendapat pahala jika membacanya. Antara keistimewaannya berbanding kitab yang lain ialah Al-Qur’an masih kekal asli hingga ke hari ini. Semua isi kandungannya tiada yang berubah sedikitpun dan bebas daripada penyelewengan sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini.
9. Namun orang Kristian mengatakan bahawa Kitab Suci Al-Qur'an juga sudah diubah, tapi tidak dapat memberi bukti di mana perubahannya. Injil atau Holy Bible ialah kitab suci bagi orang Kristian. Perkataan Bible diambil daripada perkataan Greek ‘Byblos’ yang membawa maksud 'buku'. Terdapat banyak versi Bible yang boleh didapatkan pada hari ini. Secara umumnya, kitab Bible bagi penganut Kristian terbahagi kepada 2 iaitu: Old Testament dan New Testament.
10. Banyak perbezaan antara Islam dengan Kristian baik dari segi amalan ibadat dan juga konsep ketuhanan; antaranya mandi wajib/junub, bersunat/khatan sedangkan Nabi Isa AS sendiri berkhatan, amalan azan dan iqamah pada bayi baru lahir, solat sunat, berzanji, marhaban, berselawat dan seumpamanya. Termasuk amalan mengadakan tahlil, cara mandi mayat dan solat jenazah, berkahwin yang mana golongan paderi tidak berkahwin. Sepatutnya orang yang alim agama harus ada isteri dan ramai anak. Islam ada hukum makanan halal dan haram. Islam membenarkan poligami.
11. Islam menganggap air zamzam ada keberkatannya. Manakala Kristian percaya kepada Holy Water. Kristian tidak melarang dan mengharamkan umatnya minum arak dan seumpamanya. Lebih dari itu paderi mereka pun minum arak. Bagi Islam babi itu najis dan haram tetapi Kristian menghalalkan makan babi.
12. Yang paling fundamental sekali ialah Islam beriktikad bahawa Nabi Isa AS sebagai seorang Nabi dan juga Rasul yang diberi kitab Injil. Baginda bukan anak Allah dan belum lagi wafat. Baginda tidak disalib dan telah diangkat oleh Allah ke langit kedua. Al-Qur'an menyebut: “Mereka tidak membunuh Isa dengan sesungguhnya”. Bertentangan dengan iktikad agama Kristian yang beranggapan Nabi Isa AS (Jesus) disalib bagi tujuan untuk menebus dosa seluruh umat Kristian. Oleh itu, semua umat Kristian tidak atau tiada dosa kerana semua dosa ditanggung oleh Jesus, termasuk pembunuh, perogol dan semua yang melakukan kesalahan.
13. Nabi Muhammad SAW tidak sesekali menanggung dosa-dosa umat Islam. Secara ilmiahnya, seseorang menanggung dosanya sendiri. Paderi boleh mengampunkan dosa. Mereka dianggap suci sehingga mampu dan boleh mengampun dosa-dosa penganut Kristian termasuk ibu-bapanya sendiri.
14. Kristian termasuk semua agama menolak peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW, mereka tidak percaya dan mengatakan ia karut-marut dan tak masuk akal (menafikan Sifat Allah Maha Berkuasa) dan dalam Islam ada hukum terhadap mereka yang murtad. Banyak lagi yang boleh dikarang untuk membahaskan perbezaan antara Islam dengan Kristian.
15. Maka dari itu, di manakah yang dikatakan ada banyak persamaan dan amalan pluralisme itu suatu yang suci dan mulia kerana toleransi dengan semua agama atas kepercayaan tuhan yang satu. Inilah kesesatan paling besar kerana mengatakan semua agama itu sama. Meletakkan semuanya sama adalah pegangan sesat fahaman komunis dengan menjadikan slogan “demi rakyat, untuk rakyat” adalah propaganda komunis era 50’an dahulu yang nampaknya digunapakai kembali oleh tokoh bergelar Bapa Pluralisme.
Wallahu a'lam.
Haji Rashidi bin Haris
@ Lebai Kampung
Copy and paste:
9/4/2023 > 18 Ramadan 1444H: 5.12 pm