SUMBER : ISLAM ITU INDAH
Fikiran kita begitu mudah melompat dari satu perkara ke satu perkara. Apabila tangan mula mengangkat takbir dalam solat atau ketika duduk di tikar sejadah membaca doa dan zikir sekalipun, fikiran boleh melayang memikirkan hal-hal yang berlaku hari ini – dihon sewaktu masuk simpang, abang kedai salah beri pesanan dan 1001 macam babak kehidupan lagi.
Sehingga mungkin terbit soalan di benak, bernilaikah zikir yang diucapkan dalam keadaan hati yang lalai. Fikir kita, ia sekadar di bibir, tidak meresap jauh ke dalam diri atau memberi kesan pada sanubari.
Tetapi, sebagai umat Islam, mengingati Allah adalah amalan yang digesa walau dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring. Bermakna, zikir tidak boleh ditinggalkan. Dalam apa jua keadaan pun kita masih perlu berusaha mengingati Allah.
Syeikh Ibn Ataillah Al-Iskandari Rahimahullah berkata:
Maksudnya: “Janganlah engkau tinggalkan zikir hanya kerana gagal menghadirkan hati bersama Allah ketika berzikir, kerana lalai daripada berzikir lebih bahaya daripada lalai ketika berzikir. Mudah-mudahan (kerana sebab itu) Allah akan mengangkat darjatmu daripada berzikir yang lalai kepada zikir yang sedar”.
(Rujuk Syarah Hikam al-Ataiyyah hal. 55)
Justeru, sebagai umat Islam, kita diingatkan untuk tidak meninggalkan zikir sekalipun hati tidak benar-benar fokus dengan zikir yang diucapkan. Ia adalah lebih baik daripada tidak berzikir langsung.
Tidak mustahil apabila kita melazimi zikir berkali-kali, akhirnya rasa khusyuk datang dan Allah mencampakkan kesedaran dalam hati.
Orang yang berzikir tetap mendapat pahala walaupun tidak mengetahui maknanya, namun sudah tentu jalan yang lebih baik adalah menambah baik kualiti amalan zikir dengan memahami dan menghayati apa yang diucapkan.
Copy and paste: 4/4/2023 > 13 Ramadan 1444H: 12.02 pm
No comments:
Post a Comment