SUMBER: ISLAM ITU INDAH
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah bersetuju bahawa kaedah bayaran dalam talian bagi zakat fitrah yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah untuk meringankan beban umat Islam.
Melihat kepada keadaan semasa dan juga kebolehadaptasi kita terhadap norma baru yang ditekankan kerajaan, kita perlu menjaga diri dan mengamalkan penjarakan sosial bagi mengelak daripada jangkitan wabak COVID-19 ini.
Kurangkan berada di tempat awam tanpa sebab yang mendesak. Ini merupakan salah satu usaha untuk memastikan keselamatan dan kesihatan diri terjaga.
Oleh yang demikian, bayaran zakat fitrah secara atas talian merupakan salah satu cara yang diperkenalkan kerajaan untuk memudahkan proses pembayaran terutamanya ketika berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.Namun, apabila melihat kepada caranya, tiada akad yang dilakukan seperti kebiasaan kita membayar zakat secara terus di tempat bayaran zakat.
Jadi, apakah status bayaran zakat yang dilakukan itu?
Apa Itu Ijab Qabul
Ijab dan qabul adalah suatu perbuatan untuk menunjukkan suatu keredaan dalam berakad antara dua orang atau lebih.
Lafaz ijab sendiri merupakan lafaz yang dinyatakan dalam ungkapan penyerahan. Lafaz qabul pula merujuk kepada ungkapan penerimaan.
Setelah ijab diucapkan oleh pembayar zakat dan diterima melalui lafaz qabul, ia biasanya akan diakhiri dengan bersalaman antara pembayar zakat dan penerima atau amil zakat.
Lafaz yang biasa disebut ialah – “Saya berzakat fitrah sebanyak … (jumlah bayaran) yang wajib bagi diri saya pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.”
Kemudian, ia akan disambut oleh penerima atau amil zakat dengan ungkapan – “Saya terima zakatnya sebanyak … (jumlah diterima) yang wajib bagi diri tuan tahun ini kerana Allah Ta’ala.”
Namun, berbalik kepada persoalan di atas, iaitu bayaran zakat secara atas talian – hukumnya adalah sah. Bayaran zakat tanpa ijab dan qabul serta bersalaman antara penerima dan pembayar adalah sah.
Hal ini adalah melihat kepada pendapat Mazhab Imam Syafi’e yang menyebut – “wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata.” (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)
Menurut Dr. Wahbah Zuhaili, syarat-syarat sah pemberian zakat itu ialah dengan sekadar berniat di hati. Ia cukup untuk menjadikan kewajipannya tertunai. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 3/1796)
Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata – Menunaikan zakat secara atas talian, ia adalah sah kerana niat sudah berlaku ketika itu dan pemindahan pegangan harta, iaitu wang juga sudah berlaku.
Kesimpulan
Tuntasnya, pembayaran zakat secara atas talian tanpa ijab dan qabul serta bersalaman adalah sah kerana sudah memenuhi syarat sah bayaran zakat, iaitu niat dan pindahan harta.
Wallahu a’alam.
Copy and paste: 14/4/2023 > 23 Ramadan 1444H: 6.43 pm
No comments:
Post a Comment