Wednesday 5 April 2023

Keturah, Isteri Ketiga Nabi Ibrahim AS yang dikaitkan sebagai nenek orang Melayu?

SUMBER: THE PATRIOTS

Oleh: Helmi Effendy dan Nornizam Jamal

Terdapat banyak penulisan di internet yang telah dibaca sejak awal 2000 berkenaan dengan Keturah sebagai nenek moyang orang Melayu. Pendapat ini dikukuhkan lagi dengan pelbagai kuliah yang disampaikan oleh orang-orang akademik berkenaan dengan Keturah sebagai nenek moyang orang Melayu. Namun begitu, admin cuba menyelusuri sejarah Keturah ini dan adakah tepat telahan mengatakan bahawa Melayu berasal daripada Keturah?
Terdapat pihak yang mengatakan bahawa Keturah ialah ibu angkat Nabi Ishak AS yang berasal daripada Champa Kuno yang mana baginda merayu kepada bapanya, Nabi Ibrahim AS untuk menikahi Keturah setelah ibunya, Siti Sarah meninggal dunia. Benarkah begitu?
Menurut Kitab al-Muluk wa ar-Rusul, karya Imam Tabari bahawasanya terdapat tiga pendapat berkenaan dengan asal-usul Keturah ini. Menurut Ibnu Humayd-salamah-ibnu Ishaq, selepas kewafatan Siti Sarah, Nabi Ibrahim AS mengahwini seorang wanita Kanaan yang bernama Qaturah binti Yaqtan. Bersama baginda lahirlah enam orang putera iaitu Yagsan b. Abraham, Zamran b. Abraham, Madyan b. Abraham, Yasbaq b. Abraham, Suh b. Abraham, and Basar b. Abraham.
Manakala dua lagi pendapat yang tertulis dalam Kitab Imam At-Tabari ini ialah berasal daripada bangsa Arab iaitu Qantura binti Maftur daripada Kaum Aram Aribah (Kaum Arab sebelum Arab Ismailiah atau Musta’ribah) dan satu lagi pendapat namanya ialah Qantura binti Yaqtan iaitu Kaum Arab kebiasaannya. Setelah itu baginda Nabi Ibrahim AS berkahwin lagi dengan seorang wanita Arab yang bernama Hajur bin Arhir.
Daripada penulisan tersebut, ternyata imam tafsir ini tidak pernah mengaitkan Keturah berasal daripada Champa kuno, malahan beliau ialah wanita Kanaan ataupun Arab purba, yang mana kedua-dua bangsa Semitik ini masih ada keturunan mereka. Kajian DNA di antara mumia Kanaan dengan manusia moden mendapati peratus tertinggi DNA dalam bangsa Kanaan ialah dalam bangsa Arab Jordan hari ini.
Selain Imam At-Tabari, kitab sirah lain yang sering disebut-sebut ialah Kitab al-Kamil fi at-Tarikh karya Ibn Athir, walaupun hampir keseluruhan kitab itu berkisarkan tentang peristiwa di zaman Kerajaan Seljuk, Atabeg dan Ayyubi. Buku pertama karya Ibn Athir turut mengisahkan sirah dari Nabi Adam AS sehingga ke Kerajaan Seljuk dan Ayyubi, di mana beliau berkhidmat sebagai periwayat. Kisah Keturah dalam kitab Ibn Athir ini turut senada dengan Kitab at-Tabari iaitu Qaturah binti Yaqtan ialah wanita Kanaan.
Riwayat Keturah dalam Kitab Perjanjian Lama (Genesis) pula hanya satu frasa sahaja iaitu dinyatakan bahawa setelah kewafatan Sarah, Abraham mengahwini Keturah dan melahirkan enam orang anak. Midrash (kitab-kitab pertama dalam Talmud) pula berpendapat bahawa Keturah ialah orang yang sama dengan Hagar (Siti Hajar), namun periwayat Islam semuanya senada mengatakan bahawa selepas kewafatan Siri Sarah, Siti Hajar menyusul kemudiannya. Lalu, Keturah dan Hajur merupakan individu yang berbeza.
Seorang ahli akademik memetik nama sebenar Keturah ialah Imtali binti Yakfur. Namun begitu, dalam at-Tabari meriwayatkan bahawa nama ibunda Nabi Ibrahim AS ialah Anmuta dan ada juga pendapat mengatakan bahawa nama ibunda Nabi Ibrahim AS ialah Anmatala binti Yakfur, manakala pengkaji juga menyatakan nama ibunda baginda ialah Emtelai binti Karnabo. Percubaan untuk me’nusantara’kan nama Keturah ini tetap kabur kerana nama Anmatala atau Emtelai langsung tidak berbunyi Nusantara dan ia pekat dengan bahasa Semitik seperti Aramean atau Ibrani.
Anak-anak Keturah pula menjadi ketua-ketua suku bangsa-bangsa Semitik di Timur Tengah. Imam at-Tabari dan Ibnu Athir menukilkan bahawa Yaqsan bin Ibrahim berkahwin dengan Ra'wah binti Zamar bin Yaqtan, lalu melahirkan bangsa Berber manakala Madyan dan Medan kekal di suatu tempat yang mengekalkan nama Madyan di sana melahirkan keturunan Nabi Syuaib AS.
Jokshan pula merupakan bapa kepada Sheba dan Dedan yang dimana keturunannya akan membangunkan peradaban Arab terkenal di Yaman. Mereka membina kota di Selatan Semenanjung Arab. At-Tabari mengatakan bahawa isteri Adnan (nenek moyang bangsa Qurasy) yang bernama Mahdad binti Laham ialah anak cucu kepada Jokshan.
Senang cerita, dari sumber-sumber Arab dan Yahudi ini, kita tahu bahawa generasi pertama daripada Keturah ini adalah orang-orang semitik yang membentuk kabilah Arab yang berbeza daripada Ismailiah dan Qahtan. Tiada kaitan langsung dengan Bangsa Melayu. Keturah dan anak-anak mereka juga adalah figura yang diagungkan di Timur Tengah. Kaitan Keturah dengan Bangsa Melayu amat menyimpang daripada logik akal kerana di zaman tersebut.
Oleh itu, tuntutan-tuntutan yang menyatakan bahawa Keturah adalah nenek moyang orang Melayu adalah tidak tepat dan menyimpang daripada sejarahnya yang tersendiri. Kenyataan ini turut disokong oleh kajian DNA yang terkini iaitu MtDNA Melayu yang kaya dengan DNA Austronesia dan Austroasiatik, bukan DNA Mediterranean ataupun Semitik. MtDNA ialah kajian DNA sepihak ibu sahaja kerana MtDNA diwarisi kepada wanita sahaja. Jika bangsa Melayu berasal daripada Keturah, maka pasti DNA Melayu kaya dengan DNA Semitik.

Oleh: Helmi Effendy dan Nornizam Jamal
RUJUKAN:
At-Tabari, Tarikh Ar-Rusul wa al-Muluk (The History of at-Tabari), terjemahan oleh William M. Brinner (1987), State University of New York Press
Ibn Athir, Al-Kamil fi at-Tarikh (Edisi Bahasa Arab), al-Maktaba al-Assrya, Beirut, 2008
--
Kami ulas sejarah Keturah dengan panjang lebar dalam buku kami, KITAB TAMADUN YAHUDI. Kalau anda nak teliti keturunan Keturah, dan sejarah anak-anak keturunan mereka, bolehlah beli buku kami, KITAB TAMADUN YAHUDI yang tengah diskaun di Shopee: http://bit.ly/3MkDT6b

Copy and paste: 5.4.2023 > 14 Ramadan 1444H: 12.30 pm