Saturday, 25 June 2022

RAMAI DAH BERI TEGURAN, TAPI SEMUANYA DIABAIKAN DEMI TRENDING NO. 1 DAN PUBLISITI MURAHAN?

SUMBER: USTAZAH ASMA' HARUN GROUP

Kita tidak pasti apa yang bermain dalam fikiran mereka tetapi bagaimana video muzik dengan aksi yang sangat melampau sebegitu berani ditayangkan saat menjelangnya 10 hari terakhir bulan Ramadan. Bukan saja tidak ada sekelumit pun rasa malu, bahkan berbangga pula dengan tingginya viewers yang berjaya dicapai. Allahu Akbar.

Harus faham, orang yang sampaikan teguran bukan buat kerja Tuhan atau bukan ingin tumpang populariti sesiapa, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam. Kita memikirkan masyarakat dan generasi anak-anak kita yang telah dirosakkan minda dan akhlak oleh sebahagian influencer, selebriti, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.
Sepatutnya waktu akhir-akhir Ramadan begini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memohon keampunan dan rahmat Allah SWT, tetapi perkara sebegini pula yang dinaikkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
1. INI BUKAN KALI PERTAMA, IA SENGAJA DIULANG-ULANG UNTUK RAIH PUBLISITI
Inilah barah yang makin kronik dalam masyarakat, terutama mereka yang inginkan pengaruh dan seumpamanya. Kalian teruja apabila tontonan di media sosial meningkat, BERBANGGA MENJADI TRENDING #1 walaupun dengan cara yang bertentangan dengan agama. Dulu pernah ditegur, diberi nasihat dan sebagainya, namun masih berulang hal yang sama tanpa ada secebis pun rasa sesal.
Sengaja dilakukan secara terbuka atas tujuan “marketing”. Hanya kerana ingin nama menjadi no.1 di dunia sementara, harga dan maruah diri sebagai seorang lelaki Muslim sanggup digadaikan begitu saja. Astaghfirullah.

2. WATAK LELAKI YANG BERSOLEK, BERGINCU DAN MEMAKAI PERHIASAN WANITA DIANGKAT DAN DITONJOLKAN SECARA TERBUKA
Bukan maksud hendak merendahkan golongan lelaki lembut, tetapi jangan sekali-kali mengangkat budaya yang dilarang oleh Allah dan Rasulullah, iaitu lelaki yang menyerupai perempuan.
Video ini terang-terangan menampilkan penari iringan yang solekannya seperti wanita, maaf ia sungguh memalukan!
Daripada Ibnu Abbas r.anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاء
Maksudnya: “Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Sungguh dukacita ini bertambah, dalam waktu yang sangat berharga dalam bulan Ramadan, dengan pelbagai tanda akhir zaman dan kiamat yang semakin hampir, janganlah kalian menjadi sebahagian daripada penyubur Fitnah Akhir Zaman.

3. BERBAJU MELAYU TETAPI MENARI DENGAN LENGGOK TARIAN YANG AMAT MEMUALKAN
Baju melayu dan songkok merupakan pakaian yang melambangkan sifat lelaki sejati, namun bila dibuat lenggok badan yang melampau bagi seorang lelaki, lebih tidak menyenangkan bila berbaring ramai-ramai sambil membuat aksi yang memualkan, memang tercemar imej sebagai lelaki.

4. NORMALISASI LIBERAL YANG MEMBAHAYAKAN.
“Open minded lah sikit…”
Sedar atau tidak, inilah jarum-jarum halus ideologi liberal yang mula dicucuk masuk ke dalam pemikiran masyarakat kita. Cara berfikir yang tidak mahu terikat dengan agama ini amat berbahaya. Apa jua tindakan ingin dihalalkan atas dasar pemikiran yang terbuka walaupun ia sangat jauh daripada syariat Islam.
Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan kita supaya berfikir dengan akal yang sihat, tetapi jangan sampai menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama.
Renungilah sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman. Rasulullah SAW bersabda:
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا: يا رَسُولَ اللّٰهِ، آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قالَ: فَمَنْ
Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”
(HR Muslim, hadis sahih)
*Dhob – biawak padang pasir
Benar, Islam juga menggalakkan perkembangan seni di dalam agama itu sendiri selagi mana ia bermanfaat, namun mesti dalam lingkungan syariat yang tujuannya untuk memelihara kebaikan ummah, bukan sehingga mendatangkan kesan yang negatif kepada masyarakat.
Allahu Akbar. Jangan menjadi golongan yang sangat menyesal kerana tak sedar yang dia sedang berada dalam bulan Ramadhan tetapi tidak memanfaatkannya bagi merebut rahmat dan keampunan Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin”.
Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Siapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin.
Dan siapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada mereka. Kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin.
Dan barang siapa yang disebut kepadanya dan dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.
(HR Ibnu Hibban, hadis sahih)
Tuan Puan,
Muflis di dunia masih ada orang yang boleh bantu kita dari segi kewangan, tetapi muflis akhirat akan ditanggung akibatnya sendirian. Ia perjalanan yang takkan mahu dilalui oleh sesiapa pun kerana azabNya Maha dahsyat.

5. BUKAN TUJUAN TEGURAN INI NAK ME“NERAKAKAN” ORANG
Tentang Neraka dan Syurga itu kerja Allah, namun sebagai hambaNya kita wajib mengetahui ciri-ciri ahli Syurga dan Neraka supaya kita lebih berusaha ke arah memenuhi kriteria ahli Syurga dan menjauhi ciri ahli Neraka.
Di bulan Ramadhan ini kita doakan yang baik-baik buat mereka, semoga mereka diberi kelembutan hati, diampunkan dosa, diberi cahaya hidayah untuk berubah dan diberi pengakhiran yang baik. Setiap orang melakukan kesalahan dan layak bertaubat, bahkan Allah SWT mencintai pendosa yang memohon keampunan daripadaNya.
Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan ialah mereka yang (segera) bertaubat.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)

6. VIRAL BUKAN UKURAN TINDAKAN ITU DIBERKATI. ISTIDRAJ ITU BENAR
Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat secara nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
(HR Ahmad, hadis Hasan)
Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya.
Allah SWT berfirman:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Qalam 68: 44)
Semoga kita semua sentiasa dalam taufiq hidayahNya, serta tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat keampunan dan rahmat sepanjang bulan Ramadhan ini, insyaAllah.
Asma' binti Harun & Tim Penyelidikan

Copy and paste: 25/6/2022 > 26 Zulkaedah 1443H: 9.26 pm

No comments: