Thursday, 23 June 2022

3 SEBAB AMALAN MENJADI SIA-SIA

Ustazah Asma' Harun

Bayangkan, kita merasakan diri kita telah berusaha untuk memperbanyak amalan di dunia ini sebagai bekalan di akhirat. Mungkin, kita banyak bersedekah, membaca al-Quran dan melakukan amal sunat yang lain.

Namun, saat berada di padang mahsyar, segala kebaikan yang kita sangkakan boleh menjadi penyelamat di akhirat, semuanya berterbangan menjadi debu. Allahu Akbar.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا
Maksudnya: “Dan Kami bicarakan (persembahkan) apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”
(Surah al-Furqan: 23)
Nauzubillah min zalik.

Sahabat, mari kita amati semula, apakah penyebab amalan kita menjadi sia-sia? Antaranya;
1. MERASA UJUB DENGAN AMALAN SENDIRI
Imam Ghazali berkata, ujub itu adalah mengagungkan diri, atau menganggap agung amal yang dilakukan.
Daripada Anas bin Malik R.A, katanya, sabda Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ شُحٌّ مُطَاعٌ وَهَوًى مُتَّبَعٌ وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu merasa kagum pada dirinya.”
(HR al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman)
2. BERAMAL KERANA MANUSIA
Antara perkara yang paling ditakuti dalam beramal soleh adalah niat ketika melakukannya. Kerana niat itu menentukan amalan kita diterima Allah SWT atau sebaliknya.
Daripada Tsauban r.a.:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا قَالَ ثَوْبَانُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ قَالَ أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ وَيَأْخُذُونَ مِنْ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا
Maksudnya: “Daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda, “Sungguh saya telah mengetahui bahawa ada suatu kaum dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah, lalu Allah menjadikannya debu yang berterbangan." Tsauban berkata, “Ya Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka kepada kami, dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak menjadi seperti mereka tanpa kami sedari." Baginda bersabda, "Sesungguhnya mereka itu adalah saudara kamu dan daripada golongan kamu. Mereka solat malam sepertimana kamu mengerjakannya, tetapi mereka adalah kelompok manusia yang apabila mereka bersendirian dengan perkara yang Allah haramkan, mereka melakukan perkara haram itu.”
(HR Ibnu Majah, hadis sahih)
3. MENYAKITI HATI ORANG LAIN
Setiap hari kita berjumpa dan berinteraksi dengan orang sekeliling. Kadang kala, mungkin tanpa sedar kita ada tergurau kasar, terkeluar kata-kata kesat yang menyakiti hati mereka. Berjagalah dalam bermuamalah, bimbang kita termasuk dalam golongan muflis yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW ini.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau mengatakan bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Lalu sahabat menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta.” Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia. Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Allahu Akbar. Sahabat, ayuh kita muhasabah semula. Adakah kita pernah melakukan perkara-perkara ini tanpa kita sedari? Jika ada, sama sama kita kembali bertaubat kepada Allah dan mohon agar sentiasa dalam rahmat-Nya dan dijauhkan daripada sifat begini. Allahumma ameen.

Amalkan doa ini agar Allah menerima amal kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Moga ia menjadi bekal buat kita di akhirat nanti.
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
(Surah al-Baqarah 2: 127)
SILAKAN SHARE, SEMOGA BERMANFAAT BUAT UMMAH

Asma’ binti Harun
===========================================
Sahabat yang berminat untuk dapatkan karya Ustazah Asma' Harun iaitu Hijrahku ini Sebenarnya Untuk Siapa

Sila tekan link di bawah untuk pembelian :
SHOPEE:

Copy and paste : 23/6/2022 > 24 Zulkaedah 1443H: 8.50 pm

No comments: