Thursday, 23 June 2022

GANJARAN ORANG YANG DATANG AWAL KE MASJID UNTUK SOLAT JUMAAT

USTAZAH ASMA" HARUN

LAMANYA NABI SOLAT | BERUNTUNGNYA ORANG YANG MENGHIDUPKAN MALAM | GANJARAN ORANG YANG DATANG AWAL KE MASJID UNTUK SOLAT JUMAAT

KITAB RIYADUSSOLIHIN SIRI 163

TARIKH: 17 JUN 2022
BAB 11: MUJAHADAH

LAMANYA SOLAT NABI
1. KISAH IBNU MAS'UD BERNIAT MELAKUKAN SESUATU TIDAK BAIK PADA RASULULLAH SAW
Daripada Ibnu Mas'ud r.a. beliau berkata:
‎صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَطَالَ حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ قَالَ قِيلَ وَمَا هَمَمْتَ بِهِ قَالَ هَمَمْتُ أَنْ أَجْلِسَ وَأَدَعَهُ
Maksudnya: “Saya pernah solat bersama Rasulullah SAW pada satu malam, maka Baginda memanjangkannya sehingga saya ingin melakukan sesuatu yang tidak baik.” Beliau ditanya: “Apakah perkara tidak baik yang kau ingin lakukan itu?” Ibnu Mas’ud r.a. menjawab: “Saya berniat untuk duduk saja dan meninggalkannya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
2. KISAH HUZAIFAH SOLAT BERSAMA NABI SAW
Daripada Huzaifah, beliau berkata:
صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّي بِهَا فِي رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا يَقْرَأُ مُتَرَسِّلًا إِذَا مَرَّ بِآيَةٍ فِيهَا تَسْبِيحٌ سَبَّحَ وَإِذَا مَرَّ بِسُؤَالٍ سَأَلَ وَإِذَا مَرَّ بِتَعَوُّذٍ تَعَوَّذَ ثُمَّ رَكَعَ فَجَعَلَ يَقُولُ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ فَكَانَ رُكُوعُهُ نَحْوًا مِنْ قِيَامِهِ ثُمَّ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ثُمَّ قَامَ طَوِيلًا قَرِيبًا مِمَّا رَكَعَ ثُمَّ سَجَدَ فَقَالَ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى فَكَانَ سُجُودُهُ قَرِيبًا مِنْ قِيَامِهِ قَالَ وَفِي حَدِيثِ جَرِيرٍ مِنْ الزِّيَادَةِ فَقَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ
Maksudnya: "Pada suatu malam, saya solat (Qiamullail) bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda mula membaca Surah al-Baqarah. Kemudian saya pun berkata (dalam hati) Baginda akan rukuk pada ayat yang ke-100. Kemudian (100 ayat pun) berlalu, lalu saya berkata (dalam hati) Baginda akan membaca satu surah dalam satu rakaat. Namun (Surah al-Baqarah pun) berlalu, maka saya berkata (dalam hati) Baginda akan segera sujud. Namun, ternyata Baginda menyambung membaca surah an-Nisa' hingga selesai. Kemudian Baginda menyambung ke Surah Ali Imran hingga selesai. Apabila Baginda membaca ayat tasbih, Baginda bertasbih dan apabila Baginda membaca ayat yang memerintahkan untuk memohon, Baginda memohon. Dan bila Baginda membaca ayat ta'awwuz, Baginda memohon perlindungan. Kemudian Baginda rukuk. Dalam rukuk, Baginda membaca: "Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung." Dan lamanya Baginda rukuk hampir sama dengan berdirinya. Kemudian Baginda membaca: "Allah Maha Mendengar orang yang memuji-Nya." Kemudian Baginda berdiri dan lamanya berdiri lebih kurang sama dengan lamanya rukuk. Sesudah itu Baginda sujud, dan dalam sujud Baginda membaca: "Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi." Lama Baginda sujud hampir sama dengan lamanya berdiri. Sementara dalam hadis Jarir terdapat tambahan; Baginda membaca: "Allah Maha Mendengar akan orang yang memuji-Nya, Ya Tuhan kami bagi-Mu segala puji."
(HR Muslim, hadis sahih)

ADAKAH SALAH JIKA NAK JADI KAYA?
• Cari harta sebanyaknya tidak dilarang dalam Islam tetapi perlu seimbang dengan berapa banyak yang dikeluarkan untuk menyumbang kepada infaq, wakaf dan sedekah kerana menghimpun harta sebanyak mungkin adalah dilarang.
• Manusia yang tercela dan hina ialah manusia yang memperoleh bahagian dunia tetapi tidak memberi pinjaman kepada Allah iaitu bersedekah.
• Nabi Muhammad SAW sangat hebat dalam berniaga, bahkan Baginda SAW mula berniaga sejak sebelum berusia 12 tahun lagi.
• Baginda SAW telah melakukan eksport ke luar negara walaupun dengan unta (iaitu dari Mekah ke Palestin).
• Saidina Uthman bin Affan r.a. dikatakan di antara peniaga yang sangat berjaya. Walaupun beliau seorang jutawan, tetapi beliau juga seorang yang dermawan dan sangat zuhud di dunia.

BERUNTUNGNYA ORANG YANG MENGHIDUPKAN MALAM
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW:
‎وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الْفَرِيضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan solat yang afdal selepas solat fardu adalah solat malam.”
(HR Muslim, hadis sahih)
1. APA ITU QIAMULLAIL?
• Maksud qiamullail adalah menghidupkan malam, bermula daripada selepas Maghrib dengan pelbagai ibadah seperti mendirikan solat sunat, membaca al-Quran, mengalunkan zikir dan selawat, bersedekah dan sebagainya.
Syarat untuk melakukan tahajud adalah tidur walaupun sekejap, dan afdal didirikan pada jam 2 / 3 / 4 pagi. Lakukanlah solat tahajud walaupun sempat solat 2 rakaat sahaja sebelum azan Subuh.
Firman Allah SWT:
‎يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١﴾ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢﴾ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣﴾ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤
(Surah al-Muzzammil: 1-4)
Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah al-Quran dengan tartil.”
2. SAIDATINA AISYAH R.A. MENGGAMBARKAN SOLAT MALAM NABI SAW
• Saidatina Aisyah r.a. pernah berkata tentang lamanya solat Nabi SAW sehingga kaki Baginda bengkak dan merekah.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَفَطَّرَ قَدَمَاهُ فَقَالَتْ عَائِشَةُ لِمَ تَصْنَعُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَفَلَا أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا
Maksudnya: "Daripada Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW melakukan qiamullail hingga telapak dua kaki Baginda pecah-pecah. Lantas Aisyah bertanya kepadanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kamu melakukan ini padahal Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak suka jika aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”
(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
3. 3 PESANAN NABI MUHAMMAD SAW KEPADA IBNU MAS’UD R.A.
‎أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) mewasiatkan kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan (13, 14 dan 15 dalam bulan Islam), melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.
(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

GANJARAN ORANG YANG DATANG AWAL KE MASJID UNTUK SOLAT JUMAAT
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”.
(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

Kesimpulannya, kita hendaklah bermujahadah dan bersungguh dalam melaksanakan ibadah kerana sudah pasti akan memperoleh kejayaan dunia dan akhirat.
Kejayaan di dunia bukanlah bermakna memperoleh kakayaan harta benda, sebaliknya, memperoleh ketenangan hati dalam menerima ujian.
Jadilah khalifah di waktu siang hari dan hamba di waktu malam hari.
Wallahua’lam.
----------------------------------------
Sahabat, jemput ikuti video penuh kuliah Riyadhus Salihin Siri 163 melalui link di bawah:
Asma' Binti Harun
Copy and paste: 23/6/2022 > 24 Zulkaedah 1443H: 9.05 pm

No comments: