Saturday, 25 June 2022

NERAKA DIPAGARI DENGAN SYAHWAT, SYURGA DIPAGARI DENGAN TAAT.

SUMBER: USTAZAH ASMA' HARUN GROUP

KITAB RIYADUSSOLIHIN SIRI 162

TARIKH: 15 JUN 2022
BAB: MUJAHADAH
MUHASABAH KEMATIAN

Setiap kematian perlu diambil iktibar untuk kebaikan diri sendiri. Apabila berlaku kematian atau musibah kepada orang Islam khususnya dan yang bukan Islam umumnya, kita dilarang untuk menghina mahupun mencaci, merendah-rendahkan atau membongkar aib mereka. Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ، وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hamba-Nya selagi mana dia suka menolong saudaranya.”
(HR Muslim, hadis sahih)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW juga memberi amaran kepada mereka yang suka membuka aib saudaranya. Baginda SAW bersabda dengan tegas:
يَا مَعْشَرَ مَنْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يُفْضِ الْإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تُعَيِّرُوهُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ
Maksudnya: "Wahai sekalian orang yang telah Islam dengan lisannya namun keimanan belum tertancap di hatinya, janganlah kamu menyakiti kaum muslimin dan jangan pula kamu mengejek mereka. Jangan pula kamu menelusuri dan membongkar aib mereka. Maka barangsiapa yang mencari-cari aib saudara seIslamnya, nescaya Allah akan mencari aibnya. Dan barangsiapa yang diselidiki aibnya oleh Allah, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun di dalam rumahnya sendiri."
(HR Tirmidzi, hadis hasan)

Perkataan Aurat / Aurah itu sendiri membawa maksud aib. Sebab itu aurat perlu ditutup. Jika kita membuka aurat, kita membuka aib kita.

Hari ini, selain orang membuka aib orang lain, kita (manusia) ramai juga membuka aib sendiri (aurat).

Beruntunglah orang yang diberi peluang oleh Allah dan dia sendiri menginsafi dan berusaha bertaubat dan menutup aibnya.

Jadi apabila kita menerima khabar kematian, bukan semudahnya kita nak mengukur itu adalah kematian yang Husnul Khotimah atau pun Su’ul Khotimah, apatah lagi jika kita nak meletakkan sesuatu kematian sebagai mati syahid, walaupun ada tanda-tandanya.

Berdoa dan berharaplah agar kematian kita dalam keadaan diampunkan, dirahmati Allah dan khusnul khatimah bukan su’ul khatimah.

Selain pahala jariah, ada juga dosa jariah. Dosa yang mengalir setelah kita mati kerana dosa maksiat kita masih dapat dilihat, aurat masih ditayangkan di media sosial.

Beringatlah dengan nikmat kehidupan sekarang untuk ketenangan dan keredhaan Allah dalam kehidupan yang abadi kelak. Kita pasti akan mati, kita hidup sementara menunggu mati, kemudian hidup kembali yang kekal abadi. Jika kita terlalu gembira dengan nikmat sekarang, ingat, hidup ini sementara menunggu mati untuk dibangkitkan kembali.

Muhasabah diri, apabila kita dalam ujian tapi diredhai Allah (masih taat perintah dan meninggalkan larangan Allah), ia jauh lebih baik daripada dalam nikmat tapi dimurkai Allah.

Nasihat Saidina Umar al-Khattab r.a. yang berkata:
حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا
Maksudnya: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia.”
(Tuhfah al-Ahwazi)

Mungkin selepas ini giliran kita. Kematian itu akan tiba, tidak lambat tidak cepat walau sesaat. Kalau gembira pun, ingat kematian, biarlah gembira ini dalam redha Allah. Dalam apa keadaan, Allah pandang hati kita, sama ada kita ikhlas atau tidak. Bagaimana hati kita saat diberi ujian dan nikmat.

Sebab itu apabila ditanya pada sahabat Nabi SAW, Ubay bin Ka’ab apakah maksud takwa? Takwa itu adalah apabila kamu berjalan di satu jalan yang penuh dengan duri. Bagaimana kamu berjalan di satu jalan yang berduri. Sudah pasti aku berjalan dengan berhati-hati supaya kaki tidak terkena duri. Begitulah takwa, apabila hendak melakukan sesuatu pasti dilakukan dengan berhati-hati.
Kalau nak komen di mana-mana media sosial mestilah berhati-hati kerana apa yang ditulis akan menjadi suatu catatan yang kekal.

MULUT AKAN DITUTUP DAN TANGAN BERCAKAP
Firman Allah SWT:
ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Maksudnya: "Pada waktu itu Kami kuncikan mulut mereka dan tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi apa yang mereka usahakan."
(Surah Yasin, ayat 65)

HADIS 101 - NERAKA DIPAGARI DENGAN SYAHWAT, SYURGA DIPAGARI DENGAN TAAT
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
حُجِبَتْ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ وَحُجِبَتْ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ
Maksudnya: "Neraka dikelilingi dengan syahwat (hal-hal yang menyenangkan nafsu), sedangkan syurga dikelilingi perkara-perkara yang tidak disenangi (nafsu)."
(HR Bukhari, hadis sahih)

Syurga dipagari perkara yang tidak menyenangkan syahwat. Sebagai contohnya, mudah mengantuk apabila baru nak memulakan bacaan Al-Quran, tapi apabila membuka media sosial terus segar mata.

Sepanjang hidup berapa lama kita berdiri untuk urusan dunia dan juga akhirat. Selama mana kita di dunia ini kita berdiri kerana Allah, hanyalah solat kita berdiri kerana Allah. Berapa lama kita berdiri kerana Allah? Berapa lama juga kita berdiri untuk perkara luar solat kita dalam pelbagai urusan?

Sesiapa yang berdiri lama dalam solat, InshaAllah sekejap berdiri di Mahsyar kelak. Di Mahsyar kelak ada yang sanggup dicampakkan ke neraka, kerana tidak mampu menahan kesakitan berdiri lama di Mahsyar. Ada juga yang berdiri sekejap sekadar solat sunat 2 rakaat. Maksudnya, ada yang dibangkit di Mahsyar, berdiri sekejap sahaja tanpa dihisap dan terus masuk ke syurga.

Ada juga yang berdiri di Mahsyar 20 tahun, ada yang beratus tahun bahkan ada yang berdiri di Mahsyar selama 50 ribu tahun. Dan seperti diketahui, 1 hari di Mahsyar menyamai 1000 tahun didunia. Tanya pada diri berapa lama kita berdiri di dunia untuk Allah. Sebab itu ada orang yang berdiri lama apabila solat.

Kemanisan dapat dirasai jika terbiasa solat lama, membaca ayat ayat al-Quran yang panjang di dalam solat.

Bacalah ayat al-Quran yang panjang didalam solat walaupun surah surah lazim yang berulang, sebagai motivasi bagi kita untuk berdiri sekejap di Mahsyar. Hal ini kerana, berdiri di padang Mahsyar ini tidak sama seperti mana kita berdiri di dunia ini. Berdiri dalam tempoh yang lama, dalam keadaan ketakutan, kerana neraka di hadapan, syurga pula perlu meniti di titian sirat. Sebab itu padang Mahsyar adalah suatu azab yang sangat perit.

Ambillah pakaian yang sederhana yang tidak membuatkan kita leka, yang tidak membuatkan kita rasa megah. Sebaik-baik pakaian adalah pakaian takwa, iaitu apabila kamu memakai akan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Daripada Muaz bin Anas r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ اللِّبَاسَ تَوَاضُعًا لِلَّهِ وَهُوَ يَقْدِرُ عَلَيْهِ دَعَاهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ مِنْ أَيِّ حُلَلِ الْإِيمَانِ شَاءَ يَلْبَسُهَا
Maksudnya: "“Barangsiapa yang meninggalkan pakaian (yang cantik dan mahal) disebabkan tawadhu’ (merendahkan diri) di hadapan Allah, sedangkan dia sebenarnya mampu, nescaya Allah memanggilnya pada hari kiamat di hadapan segenap makhluk dan disuruh memilih jenis pakaian mana saja yang dia kehendaki untuk dipakaikan.”
(HR Tirmidzi, hadis hasan)
Firman Allah SWT:
یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰرِی سَوۡءَ ٰ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰلِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰلِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: "Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)"
[Surah al-A'raf 26]

Kesimpulannya, pembelajaran Ilmu dan hadis ini menambahkan cinta kita pada akhirat, mengurangkan cinta kita pada dunia serta menambahkan bahagia dalam hati kita. Majlis ilmu adalah penawar bagi hati kita.
Wallahua’lam.
----------------------------------------
Sahabat, jemput ikuti video penuh kuliah Riyadhus Shalihin Siri 162 melalui link dibawah
Asma' Binti Harun

Copy and paste: 25/6/2022 > 26 Zulkaedah 1443H: 9.09 pm

No comments: