Tuesday, 7 June 2022

Keistimewaan Dalam Bulan Bulan Islam. Subhanallah


1. Muharram

Muharram bererti diharamkan. Bulan Muharram, bulan pertama dalam kiraan tahun Qamariah (Hijriah) dan salah satu dari empat bulan yang dihormati.

1 Muharram adalah permulaan kiraan tahun hijrah, maka pada tarikh ini setiap umat Islam disunatkan membaca doa awal tahun. Waktunya ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Mahgrib. Doa tersebut ialah:

“Segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam, rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan atas penghulu kami nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah jua Tuhan yang kekal selama-lamanya sedia lagi ada, tiada permulaan, kelebihan-Mu Maha Besar dan Kemurahan-Mu amat limaph yang sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada-Mu pertolongan mengalahkan runtunan nafsu ammarah (nafsu yang mendorong kepada jalan-jalan kejahatan). Kami mohon juga kepada-Mu Ya Allah rasa sedia ada ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Mulia, Ya Allah Tuhan sebaik-baik yang mengurniakan rahmat dan juga sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian, segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbiran seluruh alam”.

Hari ‘Asyura
Muharram mengandungi pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan Islam sejak Nabi Adam alaihissalam dijadikan oleh Allah subhanahu wataala. Satu kelebihan dalam bulan Muharram ialah pada hari kesepuloh yang dikenali sebagai hari ‘Asyura. Pada hari tersebut, umat Islam disunatkan berpuasa.

Al-Imam at-Tarmizi telah meriwayatkan dari Abu Qutadah bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya”.

Kelebihan berpuasa di bulan Muharram sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

“Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram”.

2. Safar
Safar bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumahtangga mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan keatas musuh-musuh mereka.


Menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka melakukan amalan-amalan karut sebagai cara menolak bala yang dipercayainya itu. Selama berpuluh atau mungkin beratus tahun lamanya mereka telah mengamalkan madi-manda dan berpesta yang dikenali dengan “mandi safar” pada hari Rabu minggu yang terakhir dalam bulan Safar ini. Kebanyakan umat Islam pada masa ini khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat kedua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dibenteras dengan kerasnya oleh agama Islam, sebagaimana telah difirmankan oleh Allah subahanahu wa ta’ala dalam surah at-Taubah ayat 51:
Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal”.

Oleh yang demikian umat Islam hendaklah membuang sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan syirik.

3. Rabiul Awal
Rabiulawal adalah bulan ketiga mengikut kalendar Islam. Rabiulawal bererti musim bunga yang pertama. Ia amat terkenal dikalangan masyarakat Islam kerana didalam bulan inilah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dilahirkan iaitu pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi. Perlantikan menjadi Rasul pada 9 Rabiulawal bersamaan 610 Masehi dan kewafatan baginda Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam pada 12 Rabiulawal, tahun 11 Hijriah.

Sebagai Hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya dan Rasul-Nya hendaklah mengingati hari kelahiran Junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dengan memperbanyakkan zikir dan selawat tanda bersyukur kepada Allah diatas limpah kurnia-Nya mengutus Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang membawa manusia kejalan kebaikan dan menegah daripada jalan kejahatan. Kewajipan kita sebagai umat baginda ialah menyambung perjuangan baginda itu dengan menyeru manusia kepada jalan Allah dan menegah daripada perbuatan mungkar.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam surah Ali-Imraan ayat 31-32:

Terjemahannya:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad); “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir”.

4. Rabiul Akhir
Rabiul Akhir adalah bulan keempat mengikut kalendar Islam. Rabiul akhir juga dikenali sebagai “Rabius Thani” ertinya musim bunga yang kedua.

Amalan-amalan sunat di bulan Rabiul Akhir adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain. Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuk bulan Rabiul Akhir yang menjadi amalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh. Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim. Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun. Yang penting adalah niat yang disertakan keikhlasan.

5. Jamadil Awal
Jamadil Awal adalah bulan kelima dalam kalendar Islam. Jamadil Awal bererti musim sejuk yang pertama.

Amalan-amalan sunat di bulan Jamadil Awal adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain. Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuk bulan Jamadil Awal yang menjadi amalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh. Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim. Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun. Yang penting adalah niat yang disertakan keikhlasan.

6. Jamadil Akhir
Peperangan Zi Qarad adalah peristiwa penting yang berlaku pada Jamadilakhir, bulan dalam kalendar Islam sekarang. Kehebatan tentera Islam pada zaman Rasulullah juga tercatat dalam Peperangan Yarmuk pada tahun ke-13 Hijrah antara tentera Rom dan Islam. Tentera Rom disertai lebih 100,000 orang kalah kepada tentera Islam yang hanya 30,000 orang dalam peperangan itu. Tentera Islam dipimpin oleh Khalid bin Al Walid dan Abu `Ubaidah. Kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Ada pandangan yang mengatakan peperangan itu berlaku pada Rejab tahun ke-15 Hijrah.

7. Rejab
Rejab bermaksud Ta’azim.
Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Islam. Rejab bererti kebesaran. Bulan ini merupakan bulan yang mulia dalam Islam sejak zaman Jahiliah lagi. Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan haram yang empat.

Di dalam bulan ini kita disuruh memperbanyakkan amal ibadat, dan menjauhkan diri dari melakukan perbuatan maksiat dan kemungkaran.

Amalan puasa di dalam bulan Rejab adalah salah satu cara menambah pahala amal ibadat kita untuk menjauhkan diri dari segala maksiat. Sesungguhnya barangsiapa yang mendahagakan dirinya dengan berpuasa di dalam bulan Allah subhanahu wa ta’ala (bulan Rejab) maka ia memperolehi ganjaran dari Allah subhanahu wa ta’ala. Selain itu kita juga digalakkan membaca istighfar sebanyak-banyaknya dan melakukan ibadat-ibadat sunat yang lain.

8. Syaaban
Syaaban adalah bulan kelapan dalam kalendar Islam. Syaaban ertinya berpecah-belah dan bulan ini dinamakan sedemikian kerana suku-suku Arab berpecah-belah pergi mencari air. Dalam bulan ini telah terjadi peristiwa penting dalam sejarah Islam iaitu peralihan Kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Ka’bah di Masjidil Haram. Semenjak peristiwa itu, sembahyang ditunaikan dengan menghadap Ka’bah sebagai Kiblat.
 Syaaban merupakan salah satu bulan yang mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan Rejab dan Ramadhan yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah di dunia dan di akhirat, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, dari Aisyah radhiallahu ‘anha kira-kira bermaksud:

“Bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan berpuasa di dalam bulan Syaaban kemudian meneruskannya di dalam bulan Ramadhan”.

Oleh sebab itu tidak hairanlah seandainya ramai umat Islam yang sebelumnya susah untuk berpuasa sunat, kembali mengerjakan ibadat tersebut pada bulan Syaaban. Amalan-amalan yang baik dilakukan pada bulan ini ialah bersedekah, bersembahyang sunat, bertasbih, memohon keampunan daripada Allah subhanahu wa ta’ala, berwirid dan lain-lain amalan yang boleh membantu mendekatkan diri kepada Allah.

Nisfu Sya’ban
Pada malam Nisfu Sya’ban (pertengahan bulan Sya’ban), kita digalakkan menambah amal ibadat dengan membaca al-Qur’an dan surah Yaasin untuk menghidupkan lagi malam tersebut.

Al-Imam Ibnu Majah meriwayatkan dari Ali radhiallahu ‘anhu katanya: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: terjemahannya:

“Apabila tiba malam pertengahan Sya’ban maka hendaklah menghidupkan malam itu (dengan beramal ibadat) dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya allah subhanahu aw ta’ala turun pada waktu itu lantaran terbenamnya matahari ke langit dunia dan berfirman: “Siapa yang memohon keampunan makan Aku akan mengampunkannya, siapa yang meminta rezeki maka Aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala Aku akan melepaskannya, adakah kamu…..adakah kamu (berturutan pertanyaan dari Allah subhanahu wa ta’ala) sehinggalah terbitnya fajar subuh.”

9. Ramadhan
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan”. 
-Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :”Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu”. 
– Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu”. 
– Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar)”. Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: “Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah”. Baginda S.A.W bersabda : “Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam)”.
-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya”. 
-Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

10. Syawal
Kemuncak dari segala kegembiraan bulan puasa ialah kedatangan Hari Raya Fitrah. Ketika itu semua golongan tua atau pun muda serta kanak-kanak lengkap dengan persiapannya masing-masing.

Sebenarnya Hari Raya Aidil Fitri dirayakan bertujuan untuk meraikan kejayaan orang yang telah berjaya berhadapan dengan bulan Ramadhan. Mereka akan berhimpun di masjid untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya berjemaah sambil berzikir, bertakbir, bertahlil dan bertasbih.

Al-Imam at-Tabarani telah meriwayatkan dari Anas bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang kira-kira maksudnya:

“Hiasilah hari raya kamu itu dengan takbir”

Islam telah memberikan panduan tersendiri tentang cara merayakan hari raya bagi umatnya dengan tujuan semuanya tetap menjadi ibadat. Maka bagi orang Islam yang inginkan pahala dalam menyambut hari raya itu, mestilah menyambutnya secara Islam iaitu dengan membuat amalan-amalan yang disunatkan dan mengisi malam hari raya menurut Islam bukanlah dengan bersuka-suka yang boleh mendatangkan keburukan atau membazir seperti membakar mercun, membakar bunga api dan lain-lain, tetapi hendaklah menghidupkan malam hari raya dengan ibadat seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan bertakbir sebanyak mungkin.

Dalam bulan Syawal banyak amalan yang perlu dikerjakan oleh umat Islam untuk melengkapkan dan menyempurnakan pahala-pahala yang diperolehinya dalam bulan Ramadhan sama ada amalan yang wajib atau yang sunat. Antara amalan khas dalam bulan Syawal ialah zakat fitrah dan puasa enam.

Zakat Fitrah 
Satu perkara yang tidak patut dilupakan sama sekali ialah zakat fitrah, zakat fitrah adalah zakat yang wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam untuk dirinya dan orang dibawah tanggungannya.

Al-Imam Muslim telah meriwayatkan dari Jabir radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Mulailah dengan diri engkau sendiri (lebih dahulu) maka berzakatlah untuk dirimu sendiri, maka jika ada lebihnya (berzakatlah) untuk keluargamu (anak isterimu) maka jika ada juga lebihnya (berzakatlah) untuk kaum kerabatmu”.

Puasa Enam
Selain daripada ibadat puasa yang diwajibkan dalam bulan Ramadhan, ibadat puasa juga sunat dikerjakan dalam bulan-bulan lain, diantaranya puasa enam hari di bulan Syawal. Sesiapa yang berpuasa sebulan di bulan Ramadhan kemudian disusuli puasa enam hari di bulan Syawal, maka puasanya itu menyerupai pahala setahun. Al-Imam Ibnu Majah telah meriwayatkan dari abu Ayyub bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang kira-kira bermaksud:

“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan diikuti puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyerupai puasanya itu puasa setahun”.

Puasa di bulan Syawal ini boleh dilakukan sama ada berturut-turut atau sebaliknya, jika ianya dilakukan selepas hari raya dengan berturut-turut adalah lebih afdhal kerana menyegerakan melakukan ibadat tersebut.

11. Zulkaedah
Zulkaedah adalah bulan kesebelas dalam taqwim Hijrah. Zulkaedah ertinya tempat duduk.

Peristiwa-peristiwa bersejarah yang berhubungkait dengan ibadat haji dan umrah berlaku dalam bulan ini, iaitu pada tahun ke 7 Hijriah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah memimpin umat Islam menuju ke Mekah untuk mengerjakan umrah yang pertama.

Amalan-amalan sunat di bulan Zulkaedah adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain. Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuk bulan Zulkaedah yang menjadi amalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh. Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim. Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun.

Yang penting adalah niat yang disertakan keikhlasan.


12. Zulhijjah

Hari Arafah

Zulhijjah adalah bulan kedua belas dalam kiraan taqwim Hijrah. Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan dan keistimewaan, dari itu umat Islam digalakkan melakukan beberapa amalan ibadat seperti berpuasa sunat dan ibadat korban.

Puasa sunat di bulan Zulhijjah ialah puasa pada hari kesembilan iaitu hari Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, tidak musafir dan tidak sakit.

Al-Imam Ubnu Majah telah meriwayatkan dari Abu Qatadah, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang kira-kira bermaksud:

“Puasa pada hari Arafah akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu menutup dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya”.

Maksud setahun yang terdahulu ialah dikira dari tahun yang mengandungi hari Arafah sebelumnya sehingga tahun yang ia berpuasa hari Arafah. Maksud setahun kemudian ialah dari akhir bulan haji yang ia berpuasa di dalamnya sehingga awal tahun hijriah iaitu awal Muharram.

Maksud menutup dosa ialah diampunkan semua dosa kecil yang telah dilakukannya kecuali dosanya terhadap sesama manusia, jika ia tidak mempunyai dosa kecil maka Allah akan meninggikan pangkatnya dan memeliharanya daripada melakukan dosa.

Hari Raya Aidil Adha
Hari raya umat Islam yang kedua ialah Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban iaitu pada 10 Zulhijjah. Amalan-amalan pada Hari Raya Aidil Adha sama sahaja dengan amalan pada Hari Raya Aidil Fitri iaitu menghidupkan malam hari raya dengan memperbanyakkan ibadat dan bertakbir.

Menyembelih Korban
Satu amalan lagi yang ada pada bulan Zulhijjah ialah menyembelih korban pada Hari Raya Aidil Adha. Oleh kerana itu, hari raya ini disebut juga Hari Raya Korban. Binatang korban itu ialah binatang yang disembelih daripada unta, lembu, kerbau atau kambing.

Amalan menyembelih korban itu juga adalah merupakan bukti keikhlasan dan ketakwaan kita dalam menghidupkan syiar agama Islam.

Berkorban itu hukumnya sunat, dan fadhilat yang diperolehi daripada berkorban itu amat besar, antaranya:
1. Menambah amal kebajikan.
2. Sebagai penebus dosa.
3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah subahanahu wa ta’ala.

Copy and paste:
7/6/2022 > 8 Zulkaedah 1443H: 10.24 pm



No comments: