SUMBER > DEMI MALAIU
Manusia dicipta untuk mentaati perintah Allah SWT dan untuk menjadi manusia yang beriman, al-Quran dan hadis perlu jadi pegangan.
Dalam al-Quran dan hadis misalnya, banyak diceritakan kisah teladan yang boleh diambil pengajarannya daripada umat terdahulu.
Gara-gara ingkar kepada Allah SWT, seluruh kaum dibinasakan dan kesan sejarah kehancuran mereka boleh dilihat sehingga kini.
Menerusi artikel ini, berikut adalah 12 kisah kehancuran sesebuah kaum mengikut garis masa zaman nabi:
Api Dari Langit – Kaum Nabi Nuh
Nabi Nuh menyebarkan dakwahnya selama 950 tahun namun hanya 80 orang yang beriman dengan ajarannya.
Mereka sering berperang kerana berebutkan sumber air disebabkan tempat tinggal mereka di kawasan gurun yang sangat gersang.
Nabi Nuh menyebarkan dakwah kepada mereka untuk beriman kepada Allah SWT dan nescaya Allah SWT akan menjadikan sungai mengalir ke perkampungan mereka.
Jika mentaati perintah Allah SWT, suburlah ladang serta kebun mereka namun menyedihkan, mereka tetap tidak beriman dengan benar.
Akhirnya, Allah SWT turunkan bala bencana berupa api dari langit, hujan batu, angin taufan dan gempa bumi yang menghancurkan semuanya.
Sembah Berhala, Ditimbus Pasir – Kaum Nabi Hud
Nabi Hud merupakan keturunan Sam bin Nuh (cucu Nabi Nuh) daripada kaum ‘Ad yang menyembah berhala.
Mereka membuat patung-patung berhala yang diberi nama Shamud dan Alhattar, kemudian disembah sebagai tuhan mereka.
Nabi Hud menyebarkan ajaran tentang kewujudan Allah SWT melalui alam sekitar namun Kaum ‘Ad merasakan dakwah Nabi Nuh adalah sesuatu yang mereka tidak pernah dengar di samping cuba mengubah cara hidup mereka.
Allah SWT melaknat mereka dengan mendatangkan angin serta guruh yang sangat kuat hingga mereka tertimbun pasir dan akhirnya binasa.
Mati Di Laut Merah – Firaun Dan Tenteranya
Firaun sering menindas kaum Bani Israel dan Allah SWT mengutuskan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk memberi peringatan kepada Firaun akan azab Allah SWT.
Namun Nabi Musa dan pengikutnya dihalau. Dengan kuasa Allah SWT, Nabi Musa membelah Laut Merah dan menyeberanginya dengan selamat namun Firaun dan tenteranya mati lemas ketika cuba mengejar Nabi Musa.
Hukuman yang maha dahsyat itu dikenakan kepada Firaun kerana Firaun tidak mempercayai wujudnya Allah SWT malah turut mengakui yang dirinya sebagai tuhan.
Unta Dibunuh, Azab Sengsara – Kaum Nabi Saleh
Nabi Saleh diutuskan oleh Allah SWT kepada Kaum Tsamud dan mempunyai mukjizat iaitu seekor unta betina yang keluar daripada celah batu.
Namun, kerana tidak percaya dan menganggap baginda sebagai manusia biasa, unta betina itu dibunuh dan mereka ditimba oleh azab yang besar daripada Allah SWT.
Amalkan LGBT, Mati Tertimbus – Kaum Nabi Luth
Kaum Nabi Luth dikenali dengan perbuatan yang menyimpang daripada fitrah manusia iaitu menjalani hubungan sejenis.
Mereka tetap tidak mahu kembali ke pangkal jalan walaupun sudah diberi peringatan dan akhirnya Allah menurunkan azab seperti gempa bumi yang sangat dahsyat.
Diturunkan juga angin kencang disertai hujan batu sehingga menghancurkan rumah-rumah mereka dan akhirnya mereka tertimbus di bawah runtuhan rumah mereka sendiri.
(Surah Al-syu’raa: 160, surah Annaml: 54, surah Al-hijr: 67, surah Al-furqan: 38, dan surah Qaf: 12).
Tipu Dalam Perniagaan – Kaum Nabi Syuaib
Nabi Syuaib diutuskan kepada Kaum Madyan yang suka melakukan penipuan dalam perniagaan.
Mereka suka melebihkan dalam membeli dan mengurangkan sukatan dan timbangan dalam menjual.
Mereka diazab dengan udara panas yang melampau dan akhirnya binasa (Surah At-taubah: 70, surah Al-hijr: 78, surah Taha: 40, dan surah Al-hajj: 44).
Empangan Ma’arib Musnah, Banjir Besar – Kaum Saba
Nikmat yang dikurniakan kepada mereka berupa kebun dan pohon rendang yang tumbuh di kawasan mereka.
Mereka enggan menyembah Allah SWT walaupun diberi peringatan daripada Nabi Sulaiman dan mereka dibinasakan apabila empangan Ma’arib dibinasakan oleh banjir besar (Surah Saba’: 15-19).
Peradaban Maju Tetapi Ingkar – Kaum Tubba’
Tubba’ merupakan nama seorang raja daripada bangsa Himyar yang beriman namun kaumnya ingkar pada perintah Allah SWT dan kelakuan mereka yang sangat melampaui batas.
Meski pun, mereka mempunyai empagan air yang besar dan canggih kerana peradaban mereka yang maju (surah Ad-dukhan ayat 37), namun Allah menimpa mereka dengan azab sehingga dibinasakan.
Akibat Dustakan Rasul – Ashab Al-Qaryah
Menurut sebahagian ahli tafsir, Ashab Al-Qaryah merujuk kepada suatu negeri dengan penduduk Antakiyah.
Mereka mendustakan rasul yang diutuskan kepada mereka dan dibinasakan oleh Allah SWT dengan suara yang amat keras (Surah Yaasiin ayat 13).
Yang Beriman Mereka Bakar – Ashab Al-Ukhdud
Mereka adalah satu kaum yang menggali parit serta menolak untuk beriman kepada Allah SWT termasuk rajanya yang enggan beriman.
Mereka mencampakkan golongan yang beriman ke dalam parit yang dibakar panas termasuklah seorang wanita yang mendukung bayinya.
Kaum ini dikutuk sekeras-kerasnya oleh Allah SWT dalam surah Al-Buruj ayat 4-9.
Semoga kisah-kisah ini dapat memberikan pengajaran berguna kepada kita semua untuk terus melakukan amar makruf dan mencegah nahi mungkar.
Diuji Dengan Rezeki, Maka Jadi Kera – Ashab Al-Sabt
Golongan ini tinggal di Kota Eliah, Palestin dan kemunafikan mereka terserlah selain melanggar perintah Allah SWT dengan tidak beribadah pada hari Sabtu.
Mereka diuji dengan ikan yang sangat banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya malah turut menyuruh Rasul mereka untuk mengalihkan waktu ibadah mereka ke hari lain selain hari Sabtu.
Mereka dilaknat menjadi kera yang hina (Surah Al-A’raaf: 163).
Dicampak Dalam Telaga – Ashab Al-Rass
Rass ialah nama telaga yang kering airnya dan nama Al-Rass ditujukan untuk suatu kaum.
Kononnya, nabi yang diutuskan kepada mereka ialah Nabi Saleh namun ada juga yang mengatakan nabi itu ialah Nabi Syuaib.
Dalam pada itu, ada yang menyebut utusan mereka bernama Handzalah bin Shinwan.
Kaum ini mensyirikkan Allah SWT dengan menyembah berhala dan ada yang mengatakan mereka mencampakkan utusan Allah SWT ke dalam telaga menyebabkan mereka dibinasakan oleh Allah SWT .
(Surah Al-furqan: 38 dan surah Qaf: 12).
C&P: 2/11/2021 > 26 RABIULAWAL 1443H: 5.53 AM
No comments:
Post a Comment