OLEH: IZZUDDIN AL JITRAWIY
PADA 10 Disember 2007, akhbar New Straits Times melaporkan penemuan tujuh bukit yang berkemungkinan berasal daripada piramid yang dibina di Tasik Chini, Pahang hampir 1,000 tahun lalu.
Laporan berkenaan dengan pantas mencetuskan rasa terkejut di kalangan rakyat Malaysia yang tidak menyangka binaan misteri piramid turut wujud dalam alam Melayu pada zaman dulu kala.
Mengikut laporan akhbar berkenaan, piramid itu berkemungkinan dibina Kerajaan Khmer kuno yang berpusat di Kemboja serta memerintah dari tahun 802 hingga 1432 serta meluaskan jajahan takluknya sehingga Tasik Chini sepanjang tempoh itu. Mengikut teori, ratusan tahun selepas empayar itu berakhir, piramid itu ditinggalkan sehingga ditimbus tanah dan ditumbuhi pohon menyebabkan ia berubah menjadi bukit yang dipenuhi belantara. Tapak kota sekitar piramid pula dipercayai tenggelam dalam Tasik Chini.
Sejak laporan akhbar itu diterbitkan, dipercayai tiada kajian lanjutan dilakukan tetapi pendedahan itu sememangnya mencambahkan lagi enigma dan teka-teki mengenai misteri binaan piramid yang sudah ribuan tahun membingungkan minda penyelidik di seluruh dunia. Sebelum ini, bangunan berbentuk piramid dijumpai dalam banyak tamadun purba seluruh dunia sejak ribuan tahun lalu antaranya di Mesir, Mexico, Peru, Iraq dan China sehingga menimbulkan persoalan mengenai fungsinya yang merentasi benua dan budaya tamadun berbeza. Malah, proses pembinaannya juga amat misteri.
Dengan tanggapan kemampuan sains dan teknologi di dunia baru berkembang beberapa ratus tahun kebelakangan ini, pasti sukar mengandaikan bagaimana bangunan amat besar itu mampu dibina pada ribuan tahun lalu. Bayangkan, untuk membina bangunan raksasa pada masa kini, manusia memerlukan pakar kaji bumi, jurutera, arkitek dan pelbagai jentera yang dibina berasaskan teknologi bagi mengangkat bahan berat dan menyudahkan binaan.
Justeru, adakah terdapat pakar dalam bidang fizik, kejuruteraan, binaan dan jentera hebat pada ribuan tahun lalu yang digunakan untuk membina piramid? Pembinaan piramid ternyata amat rumit dan piramid di Mesir misalnya dibangun menggunakan anggaran kira-kira dua juta batu dengan berat setiap satu antara dua tan hingga 15 tan. Walaupun proses pembinaan piramid amat sukar, suatu yang aneh ialah bangunan itu dibina dengan banyaknya iaitu terdapat 138 piramid di Mesir, sekali gus membayangkan pentingnya piramid dibina dalam kepercayaan Mesir kuno, kira-kira 3,000 tahun lalu.
Lebih aneh ialah piramid turut ditemui dalam banyak kota tamadun besar di seluruh dunia menyebabkan fungsi dan kepentingan pembinaannya menjadi satu enigma yang amat membingungkan. Misteri yang terdapat pada piramid tidak saja mengenai proses binaannya tetapi juga 'kuasa' yang didakwa terdapat di dalamnya. Piramid kononnya menghasilkan kuasa hebat sehinggakan sampah dan bangkai dalam bangunan itu tidak busuk sebaliknya hanya mengering selain mampu meningkatkan tahap kesihatan manusia.
Menerusi surah Saba, ayat ke-13, Allah SWT berfirman: "Golongan jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku." Kekuatan pengikut Nabi Sulaiman pula tertera dalam surah an-Naml, ayat ke-38 hingga ke-40 seperti kisah baginda memerintahkan supaya pengikutnya membawa istana Ratu Balqis ke tempatnya. "Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku! Siapakah antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsana (milik Ratu Balqis) sebelum mereka datang menghadap aku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam? "Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakan kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat lagi gagah serta amanah.
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah: "Aku akan membawakan kepadamu dalam sekelip mata." Justeru mungkinkah penerangan dari al-Quran itu turut memiliki hubung kait dengan proses pembinaan piramid? Berikutan kita tidak dapat bergerak ke masa lampau, maka proses pembinaan piramid itu akan kekal menjadi misteri.
SHOW LESS
C&P: 30/10/2021 > 24 RABIULAWAL 1443H: 10.43 PM
No comments:
Post a Comment