SUMBER: SUNGAI BATU TAMADUN TERAWAL ASIA TENGGARA
Artikel terbaru untuk wartawan. Part 1
Suhu negara dalam iklim pengetahuan di kalangan rakyat hingga kepada pemimpin akan keberadaan Sungai Batu adalah di tahap sejuk beku yang cukup payah untuk diketuk, dipecah dan dicairkan. Itu yang saya nampak dan alami sepanjang penglibatan saya sebagai aktivis di Tapak Arkeologi Sungai Batu. Sejak 2014 menulis, saya sendiri berasa hairan mengapa negara seolah tak mengetahui langsung akan tempat yang bersejarah ini.
Untuk rekod, Tapak Arkeologi Sungai Batu dikesan buat kali pertamanya di tangan Prof Mokhtar yang pada ketika itu menjawat sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) pada tahun 2007 setelah USM dilantik oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk mengumpulkan data Lembah Bujang bagi menjadikan kawasan ini sebagai satu lokasi pelancongan dalam dan luar negara.
Perlantikan tersebut berlaku atas arahan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ingin melihat agensi NCER yang diwujudkannya memangku peranan penting menaikkan ekonomi luar bandar melalui pelancongan. Lembah Bujang adalah salah satu lokasi bersejarah yang berpotensi untuk dimajukan.
Bertitik tolak dari arahan tersebutlah, melalui data-data yang dikumpulkan yang bersandarkan pada kewujudan candi-candi yang terdapat berselerakan di Lembah Bujang yang paling tua adalah dalam kurun ke 4 Masehi mencetuskan tandatanya kumpulan penyelidikan PPAG iaitu di manakah tempat persinggahan selain Melaka kerana Selat Melaka sudah menjadi laluan air paling sibuk di dunia pada kurun pertama Masehi.
Selari kerja yang dipertanggungjawabkan, penyelidikan arkeologi diteruskan apabila pengesanan bentuk muka bumi melalui GIS atau Sistem Maklumat Geografi menunjukkan satu lokasi baru yang menjadi daratan terdekat dengan lautan pada abad pertama Masehi. Dan tempat itulah yang sekarang ini dikenali sebagai Tapak Arkeologi Sungai Batu.
Dari tahun 2009 sehingga kini, daripada 97 tapak yang ditandai mempunyai kesan tinggalan lama, 52 tapak telah diekskavasi. Hari ini tercatat sejarah baru yang cukup segar di mana 4 fungsi yang diisi oleh 52 tapak ini menunjukkan Kedah Tua adalah pengeluar besi secara besar-besaran dan dieksport ke seluruh dunia bermula seawal tahun 788 Sebelum Masehi.
Tahun 2016, Tapak Arkeologi Sungai Batu ini telah dinobatkan sebagai Tapak Tamadun Terawal Asia Tenggara oleh pakar-pakar yang mewakili 6 tamadun dunia yang lain seperti Mesopotamia, Mesir, China, Indus, Rom dan Mesoamerika.
Tetapi yang menjadi tandatanya kepada saya sebagai aktivis dan Admin Akmal serta seluruh pembaca halaman adalah, kenapa sejarah ini tidak diangkat secara serius oleh Kerajaan? Lagi mengejutkan, Negara seolah tidak langsung tercuit, tersentak dan bangga apabila ditemui pelbagai penemuan berstatus dunia sehingga Tamadun Terawal Asia Tenggara ini yang sangat lebih tepat, Tamadun Kedah Tua adalah tamadun ke 6 tertua dunia sebelum Tamadun Rom lagi.
Ini bersandarkan kepada pentarikhan ke atas salah satu tapak yang diekskavasi di mana tapak peleburan besi dunia mencatat usia berjalannya perusahaan besi pada tahun 788 Sebelum Masehi. Lebih menakjubkan, bersebelahan dengan jeti yang bertarikh 582 Sebelum Masehi.
Kita bercakap pada hari ini, iaitu di manakah kepedulian Kerajaan di atas penemuan yang cukup hebat ini? Dengan masalah perumahan haram yang semakin bertambah dengan jarak yang paling dekat dengan tapak tinggalan dalam 10 hingga 20 langkah sahaja sehingga ke dalam. Seperti tidak terkawal, tidak dipedulikan malah terpinggir begitu sahaja.
Persaraan Prof Mokhtar dilihat lagi membawa seribu tanda Tanya apakah yang bakal terjadi pada Sungai Batu? Melalui semakan kami, sudah tidak sebarang maklumat tentang Sungai Batu di dalam website milik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global sendiri dan jawapan yang diberikan maklum balas oleh Jabatan Warisan Negara bahawa mereka baru sahaja bertemu dan berbincang dengan Pengarah Baru PPAG akan halatuju Sungai Batu.
Adakah ini hasil yang Kerajaan mampu beri setelah sekian lama ditunggu oleh kami selama ini dalam harapan dan pelbagai usaha penyebaran secara sukarela dan berterusan bermula 2014 sehingga kini agar Sungai Batu diwar-warkan dan dinaikkan?
Saya selaku rakyat dan aktivis yang cukup sayangkan Sungai Batu ini kerana ia menunjukkan sejarah Melayu yang cukup hebat dan gemilang ingin tahu apakah nasib Sungai Batu ini di masa hadapan? Apakah kajian akan diteruskan atau bagaimana?
Selama 7 tahun ini halaman ini menulis, hanya rakyat yang berbangga dan menghargai penemuan Tapak Arkeologi Sungai Batu. Pihak pemerintah bagaimana? Baik negeri biarpun pusat? Manakah hala tuju Sungai Batu pada hari ini?
Saya yakin bukan hanya saya, Admin Akmal sahaja yang malah ratusan ribu pembaca halaman dan pencinta sejarah yang lain ingin tahu tentang halatuju dan perancangan Kerajaan ke atas Sungai Batu ini. Tidak banggakah Malaysia dengan apa yang telah ditemui sejak 2011 ini?
Copy and paste:
5 November 2021 > 29 Rabiulawal 1443H : 12.22 pm
No comments:
Post a Comment