Monday, 11 October 2021

Sungai Batu : Tamadun Melayu Di bongkar

SUMBER: FB SUNGAI BATU TAMADUN TERAWAL ASIA TENGGARA

Penerangan Kedah Tua di Sg Batu oleh YBhg Prof. Dr. Mokhtar Saidin
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia

13hb Januari 2014
Penerangan daripada Prof. Dr. Mokhtar adalah pembuka kepada tujuan pertemuan dengan Seketariat ini iaitu mencari semula Tamadun Melayu yang selama ini tidak diketahui oleh sebahagian besar rakyat negara dan dunia. Prof telah dengan berbesar hati mengalu-alukan kedatangan kami dan meluangkan masa memberi penerangan yang terperinci berkenaan pencapaian setakat ini di Tapak Arkeologi di Sg Batu.
Kami menyedari pada waktu itu, Kedah selama ini menyembunyikan sebuah khazanah sejarah yang tak ternilai harganya. Kerajaan Kedah Tua yang sudahpun wujud sejak kurun kelima sebelum Masihi hanya kini dibongkar. Melayu selama ini adalah sebuah bangsa yang pernah mempunyai satu ketamadunan yang sama tinggi dengan ketamadunan bangsa-bangsa lain setanding tamadun Mohenjodaro, Aztec, Maya dan Babylon.
Ikuti penerangan daripada Prof. Dr. Mokhtar Saidin:-
Berita pemusnahan candi baru-baru ini (Disember Tahun 2013) bukanlah satu perkara yang membawa hanya unsur negatif sahaja. Sebaliknya, Alhamdulillah, melalui gembar gembur dan pertikaian dari orang-orang politik sehingga menarik perhatian satu negara, maka Lembah Bujang kembali disebut. Mungkin inilah masanya untuk kita lebih tahu apakah yang ada di Lembah Bujang terutamanya penemuan-penemuan di Sungai Batu yang telah berjaya ditemui tetapi sangat kurang diberi perhatian waima diberi liputan oleh mana-mana pihak.
Segala-galanya bermula atas permintaan Mantan Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memohon Jabatan Warisan Negara (JWN) membantu melengkapkan data Lembah Bujang. Maka, pada 2007 JWN telah meminta Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), USM memulakan kajian untuk melengkapkan data tersebut.
Isu utama yang didapati oleh PPAG ialah mengapa yang ditemui sebelum ini oleh pengkaji sebelum 2007 hanya mewakili yang lebih muda daripada penghujung kurun ke-4 Masihi dan kebanyakannya candi Hindu-Budha, padahal semua mengetahui Selat Melaka telah digunakan jauh lebih awal. Oleh itu PPAG mengambil pendekatan untuk membina semula sekitaran kuno Lembah Bujang untuk mengetahui kedudukan aras laut sekurang-kurangnya pada kurun pertama Masihi. Berdasarkan gambar udara, penginderaan jauh dan bukti penggerudian tanah mendapati pada kurun pertama Masihi laut lebih tinggi daripada aras sekarang yang menyebabkan tapak Sungai Batu lebih hampir dengan laut manakala tapak lain yang ditemui oleh pengkaji awal seperti di Sungai Mas dan Pengkalan Bujang masih berada di bawah air pada ketika itu.
Maka, Prof. Dr, Mokhtar terus ke kawasan Sungai Batu dan menemui banyak bata timbul di permukaan di dalam ladang kelapa sawit dan dipercayai bata-bata ini mewakili budaya pada kurun yang lebih awal daripada kurun ke-4 Masihi. PPAG terus melakukan pemetaan dan berjaya memetakan 97 tapak dalam keluasan sekitar 4km persegi. Perkara ini kemudiannya dimaklumkan kepada JWN.
Pada tahun 2009, Jabatan Warisan Negara membenarkan Universiti Sains Malaysia memulakan kajian dengan geran penyelidikan daripada JWN dan USM.

HASIL PENEMUAN PENTING

Setelah 5 tahun sehingga ke tarikh ini, sebanyak 46 tapak telah dibuka. Sehingga kini, 46 tapak tersebut telah mendedahkan 4 fungsi, iaitu:
a) ‘ritual’ atau keagamaan
Ditemui satu monumen yang dasarnya berbentuk bulat (diameter 10.1m), di atasnya dibina senibina empat segi tepat (5.5 X 5.5m) dan di atas sekali ada senibina bulatan kecil (diameter 1.5m). Ianya dibina sepenuhnya daripada bata yang ditarikhkan dengan kaedah OSL tahun 110 Masihi.
Monumen ini jelas menunjukkan ciri digunakan untuk kepercayaan animisma- iaitu penyembahan alam semulajadi dan dikenali sebagai monumen Sungai Batu. Yang menariknya, tiada satu pun yang sama senibinanya di dunia ini. Ini jelas menunjukkan ianya senibina tempatan dan daripada bandingan senibina yang ada ia jelas menggambarkan senibina Melayu.
Menurut Prof. Dr. Mokhtar, berdasarkan tangga naik ke atas bangunan yang berada di selatan tapak maka dijangkakan monumen ini digunakan untuk penyembahan Gunung Jerai yang berada di utaranya.
Adalah dijangkakan agama Hindu-Budha di Lembah Bujang hanya bermula paling awal pada penghujung kurun ke-4 Masihi. Ini menunjukkan masyarakat Melayu di Lembah Bujang bermula dengan kepercayaan animism kemudiannya Hindu-Budha dan akhirnya Islam.
Pembinaan candi-candi Hindu-Budha di Lembah Bujang adalah bersaiz sangat kecil berbanding yang terdapat di tempat lain seperti di Indonesia, Kemboja malah di Selatan India sendiri. Ini menunjukkan candi tersebut mungkin lebih digunakan hanya oleh pedagang India dan China yang beragama tersebut bersama segelintir masyarakat Melayu asal.
b) Pelabuhan
Setakat ini 8 tapak mendedahkan bukti jeti tepi sungai yang berlokasi bertentangan antara sama lain di antara sungai selebar 100 meter. Bukti jeti ditunjukkan oleh lokasi kesemuanya di tepi Sungai Batu kuno, mencerun ke arah sungai tersebut dan juga kehadiran senibina lantai jeti, laluan keluar-masuk, dan tangga.
Sungai ini menjadi kecil dan hampir dilihat seakan saliran parit. Di satu lokasi telah ditemui sebahagian kayu kemungkinan daripada sebuah kapal di dalam kolam yang bertakung di antara tengah-tengah lokasi yang ditandai sebagai Sungai Kuno.
c) Pusat peleburan besi (perusahaan industri berat)
Wujud tapak industri peleburan besi yang telah beroperasi sejak lebih 300 tahun Sebelum Masehi. Bukti peleburan besi ditunjukkan oleh kehadiran bijih besi, sisa besi, tuyere (peniup angin), sisa relau, arang dan abu pembakaran serta jongkong-jongkong besi.
Lokasi yang ditunjukkan mempunyai jutaan jongkong-jongkong besi. Ada yang tertanam dan ada yang timbul dipermukaan tanah.
d) Pusat pentadbiran
Di bahagian paling ke barat tapak Sungai Batu ditemui 12 tinggalan bangunan yang menunjukkan telah digunakan sebagai bangunan sokongan kepada aktiviti jeti yang juga ianya mungkin sebagai bangunan pentadbiran. Tiga daripada 12 tinggalan senibina tersebut memberikan tarikh kurun ke-5 Sebelum Masihi.
Setakat ini masih banyak lagi yang sedang dikaji. Sebagai contoh, kumpulan arkeologi masih belum menjumpai kawasan utama pentadbiran perumahan dan juga perkuburan. Prof. Dr. Mokhtar menjangkakan potensinya berada di antara tapak Sungai Batu sekarang sehingga ke puncak Gunung Jerai. Survei dan pemetaan telah, sedang dan akan dijalankan di kawasan tersebut. Dengan berjalan kaki, Prof. Dr. Mokhtar dan kumpulan penyelidik telah menemui lebih 20 tapak baru di kawasan tersebut antaranya kemungkinan sebuah istana lama.
Buat masa ini, Prof. Dr. Mokhtar menumpukan kepada 97 tapak yang telah dikenalpasti ini dahulu sebelum membuat penyelidikan yang lebih lanjut di kawasan tersebut.

PENGESAHAN USIA BUKTI KETAMADUNAN SUNGAI BATU

Usia ditentukan dengan kaedah
a) Radiokarbon- menggunakan sampel organik seperti arang, cengkerang dan sedimen terbakar. Sampel dihantar ke makmal Radiocarbon Beta, di Florida, Amerika Syarikat
b) OSL- menggunakan sampel bata, tuyere. Sampel dihantar ke makmal OSL Korea, Jepun dan Amerika Syarikat. Kos untuk ujikaji sesuatu pentarikhan usia sangat mahal dan perlu dilakukan oleh badan-badan yang bertauliah dunia bagi menjamin kesahihan analisis untuk tujuan pengikhtirafan di peringkat antarabangsa.

PENANDAAN KAWASAN EKSKAVASI

Bagi yang melawat kawasan kajian ini terdapat 2 bentuk khemah yang menggambarkan status ekskavasi.
Jika didirikan khemah kekal besi yang boleh dilaraskan ketinggian khemah menandakan tapak yang dikaji itu adalah telah siap dan disahkan penemuan, direkodkan serta dkenalpasti tapak penting tamadun.
Jika masih berkhemah plastik bermakna tapak itu masih dalam proses kajian.

PERSOALAN TENTANG KETAMADUNAN YANG MULA MENUNJUKKAN DIRI.

• Tamadun apakah ini?
Kumpulan Prof. Dr. Mokhtar telah menaiki bot di Sungai Merbok, Sungai Muda hingga ke Jeniang. Hasilnya sangat menarik perhatian seterusnya menimbulkan keinginan yang berkobar dalam diri beliau. Beberapa penemuan yang membuktikan bahawa satu tamadun besar telah ditemui. Dengan sejauh perjalanan, dengan keluasan daripada Merbok sehingga ke Jeniang wujud penemuan-penemuan bahawa satu aktiviti industri berat yang sangat besar dalam tamadun ini meliputi lebih 1000 km persegi.
Di beberapa kampung di Jeniang seperti di Kampung Gading, ditemui beberapa struktur membulat yang di bahagian tengahnya telah ditanam dengan tanaman seperti serai oleh penduduk kampong.
Setelah mendapat izin dari tuan rumah, struktur membulat tersebut telah diekskavasi dan didapati terdapat 7 relau yang masih elok tertanam di bawahnya. Orang kampong mengenalinya sebagi gok. Dua daripada relau di Jeniang ini telah dipindahkan ke Sungai Batu untuk dipulihara.
Relau-relau di Kampung Gading didapati digunakan bermula pada kurun ke-4 Masihi.
• Di manakah produk siap daripada besi-besi yang telah dilebur?
Kajian tidak menemui banyak produk siap dari besi-besi yang telah dilebur . Ini mencadangkan mereka menghasilkan besi lebur untuk digunakan kemudiannya. Bermakna jutaan jongkong-jongkong besi yang telah dilebur yang terdapat di Sungai Batu mungkin telah dieksport ke luar dari kawasan ini.
• Bagaimana aktiviti pengeksportan ini dilakukan tanpa sebarang telekomunikasi yang canggih?
Hanya tamadun yang benar-benar besar dan teguh boleh menjalankan aktiviti industri berat termasuk penghantaran ke negara-negara luar.
Rekod India Selatan seperti di Kerajaan Cangkam yang memerintah daripada 200 Sebelum Masihi hingga 200 Masihi telah menyatakan mereka mengimpot besi hitam daripada Kataram iaitu satu nama bagi Kedah pada waktu tersebut. Besi yang dibeli ini adalah untuk pembuatan pedang India.
Juga disebut di dalam rekod Arab, Kalah adalah adalah salah satu negara yang menghasilkan besi yang terbaik pada zaman tersebut untuk dibuat pedang Arab.
• Siapakah yang memerintah Sungai Batu?
Setakat ini belum ada petunjuk yang jelas kerajaan apakah yang ada di Sungai Batu ini? Adalah diharapkan kajian masa depan akan menemukan bukti-bukti siapa mereka.

KESIMPULAN – KEDAH TUA PADA GAMBARAN PROF. DR. MOKHTAR SAIDIN

Berdasarkan kepada 4 fungsi jelas yang telah dibincangkan sebelum ini, tamadun yang ditemui ini mendedahkan :
a) Pusat peleburan besi
Wujud aktiviti industri berat dan hebat di mana besi-besi dileburkan dengan menggunakan kepakaran yang tinggi. Kemahiran, ketelitian pembinaan tempat peleburan yang hampir seragam dan berupaya beroperasi selama hampir 2000 tahun bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan. Besi-besi yang dileburkan pula diperdagangkan sehingga ke arab, China dan India.
b) Struktur masyarakat
Bukti senibina, jeti pelabuhan, bengkel peleburan besi dan berlakunya pengeksportan besi di Sungai Batu menunjukkan betapa tingginya susunan masyarakat yang terdapat di sini. Mesti ada sistem pentadbiran, pengurusan dan pemerintahan untuk membolehkan tamadun ini berlangsung. Antaranya, mereka memerlukan buruh yang ramai, ahli senibina, ahli geologi, pengurus dan pedagang.
c) Pemerintahan yang besar dan gagah
Bermakna masyarakat yang wujud pada waktu itu adalah masyarakat yang mahir, pandai berdagang dan berkemahiran tinggi. Jika ada masyarakat seperti ini , secara automatik, kita akan tertanya, siapakah yang mentadbir tamadun ini sehingga mampu menjadi pusat peleburan besi selama 2000 tahun secara berterusan.

PUNCA KEJATUHAN TAMADUN SUNGAI BATU

Sehingga ke tarikh ini, ada beberapa faktor yang mungkin menjadi punca kepada kemerosotan tamadun di Sungai Batu, antaranya ialah:
a) Perubahan struktur muka bumi dan alam semulajadi. Sungai yang dahulunya selebar 100 meter semakin cetek setelah ribuan tahun menyebabkan kapal-kapal besar sudah tidak dapat berlabuh di jeti-jeti yang didirikan oleh pemerintah.
Apabila tidak boleh lalu maka aktiviti perdagangan akan terus terjejas akibat kesukaran mengeluarkan bahan dagangan daripada pusat peleburan. Mungkin timbul masalah untuk membawa muatan yang berat dan banyak melalui jalan darat.
b) Tsunami
Kerajaan Srivijaya musnah akibat bencana Tsunami. Mungkin juga bencana ini adalah salah satu faktor penyebab lenyapnya Tamadun Kedah Tua.
c) Serangan / Politik
Mungkin juga kejatuhan Tamadun Kedah Tua ini disebabkan peperangan yang berlaku atas dasar perluasan empayar bagi tujuan politik, ekonomi dan sosial.

KESIMPULAN – SIAPAKAH SEBENARNYA BANGSA MELAYU?

Bangsa Melayu benar-benar misteri. Tinggalan kehebatan Tamadun Kedah Tua di Sungai Batu semakin lama semakin mengamit hati kita untuk mencari bangsa kita sendiri.
Bangsa Melayu sudah tentu bukan satu bangsa yang lemah dengan adanya penunjuk-penunjuk kecil tetapi sangat bermakna.
Beberapa kali kejutan-kejutan dari penemuan-penemuan kecil ini yang sedikit demi sedikit menyingkap rahsia kehebatan Melayu yang selama ini ramai yang di kalangan Melayu itu sendiri telah hilang.
Kita satu ketika dahulu berdagang dan berinteraksi dengan pedagang dari India dan China. Kita membekalkan besi-besi hitam yang cukup tinggi kualitinya.
2000 tahun kita berupaya menjaga industri peleburan besi dan pengeksportan hasil peleburan ini ke negara luar.
Selama itu tiada tanda-tanda serangan dari pihak lain. Bermakna kita adalah satu bangsa yang kuat.
Sejarah awal dikesan bermula sejak 400 tahun sebelum masehi.
Demografi agama dapat dilihat iaitu bermula dengan Animisme iaitu penyembahan alam sekitar
Pada lewat kurun ke-4 Masihi, agama Hindu-Budhha mula berkembang di sini dan akhirnya Islam mula diterima dan berkembang sehingga ke hari ini adalah dengan Islamnya Raja Derbar Syah atau Sultan Muzaffar Syah. Semoga Allah merahmati roh seorang manusia yang menjadi kepala rakyat di negeri ini sehingga mampu menggalakan satu negeri menerima Islam sebagai agama rasmi Kedah.
Cuma yang masih belum ditemui adalah perkuburan. Sungai Batu adalah pencetus awal. Siapakah bangsa Melayu. Satu bangsa yang sudah tentu hebat.
Kajian selama 5 tahun sejak 2009 di kawasan berkeluasan 4 kilometer persegi, 4 fungsi utama yang boleh diperumpamaan sebagai 4 kekuatan bangsa Melayu telah mula memberi tindakbalas pada warisan yang menjejakinya.
4 fungsi pembuka jalan kepada kegemilangan bangsa yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Tertanam di perut bumi. Diam di situ seperti satu sumpahan atau satu harta yang sangat bernilai tetapi tidak terusik.
Selamat datang kepada kisah kegemilangan bangsamu, wahai Bangsa Melayu. Bangsa Melayu. Bangsa satu Nusantara. Kamu tidak hilang kerana kami ada sebagai penyambung warisan kehebatanmu.

C&P: 11 OKTOBER 2021 / 5 RABIULAWAL 1443H: 9.01 PM

No comments: