Wednesday, 29 July 2020

ZOMBIE: PENGASAS KERAJAAN ISLAM DI BRAZIL

1. Ganga Zombie atau lebih dikenali sebagai Zombie merupakan pemimpin Muslim Afrika yang mengasaskan negara Islam di Brazil. Beliau memainkan peranan yang besar dalam perjuangan membebaskan hamba di sana. Kisah Komander Zombie bermula dengan penjajahan Portugis di Brazil dan adanya keperluan tenaga kerja untuk membina koloni baru. Portugis mendarat di pantai benua Afrika seperti negara-negara Eropah yang lain untuk mencari para hamba dan memperkudakan mereka sebagai hamba abdi di negara koloni mereka.
SITUASI DUNIA SEBELUM KEBANGKITAN ZOMBIE
2. Afrika merupakan tempat di mana Barat mendapatkan bekalan hamba abdi untuk membina koloni mereka. Hal ini disebabkan Afrika merupakan tanah jajahan yang terbesar yang ditemukan oleh penjajah Eropah. Bilangan hamba abdi Afrika yang dibawa ke Eropah atau Amerika Latin mencapai jumlah beberapa juta orang. Di Brazil sahaja, jumlah hamba abdi dari Afrika yang dibawa semasa tempoh penjajahan Portugis telah mencapai setengah juta orang. Secara umumnya, jumlah mereka di Amerika Latin mencapai tiga belas juta orang. Sebahagian sejarawan pula menganggarkan jumlah mereka lebih daripada itu.
3. Perdagangan hamba berkembang di antara abad ke-16 dan ke-19. Perkara ini berpunca daripada penemuan benua Amerika yang menyebabkan keperluan tenaga buruh meningkat untuk bekerja di ladang kopi, kapas, koko, tebu, lombong emas dan perak, pembinaan bangunan, perkhidmatan domestik dan lain-lain. Tambahan pula, sesetengah hamba Afrika dapat mengajar tuan mereka yang terdiri daripada orang berkulit putih, beberapa kemahiran yang tidak diketahui oleh tuannya, terutamanya dalam bidang pertanian dan pembinaan.
4. Pada masa itu, perdagangan hamba menjadi salah satu elemen ekonomi yang paling penting di Eropah dan Amerika. Kempen memburu hamba tersebar luas di Afrika ditambah pula hubungan perniagaan telah termeterai di antara ejen-ejen Afrika dan para pedagang Eropah. Ejen-ejen Afrika menyerang kampung-kampung, memburu penduduknya dan membawa mereka ke pantai benua Afrika. Di sana, kapal-kapal bangsa Eropah sedang menunggu mereka untuk membuat transaksi pembelian hamba.
5. Mereka dibawa masuk ke dalam perut kapal dengan cara dibelenggu dengan besi. Banyak di antara mereka yang mati sebelum sampai ke destinasi mereka. Bagi yang hidup, mereka hidup dalam keadaan yang sangat tidak berperikemanusiaan, di mana mereka dihalang daripada mendapatkan pendidikan dan rawatan perubatan. Mereka hanya mampu berubat daripada rakan-rakan mereka yang menguasai kaedah rawatan Afrika. Selain itu, mereka dilarang daripada mengamalkan ritual keagamaan. Bahkan, sesetengah dari mereka dipaksa menganut agama Kristian.
6. Kebanyakan dokumen sejarah di muzium-muzium Brazil mengesahkan bahawa kebanyakan orang Afrika yang dibawa sebagai hamba adalah orang Islam dan membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab. Para ulama yang ada bersama mereka tetap berjihad mengajarkan ajaran Syariah Islamiah. Pelbagai seksaan ditimpakan ke atas para hamba atas alasan pemberontakan, bahkan kadang-kadang tanpa alasan yang jelas seperti disebat, dibakar, dicederakan sehingga cacat.
7. Disebabkan perlakuan kejam yang dialami oleh mereka, sesetengah hamba mula melarikan diri ke dalam hutan. Mereka berkerjasama untuk membina komuniti mereka sendiri yang dipanggil "Hutan Negro" untuk memberontak terhadap tuan berkulit putih. Banyak pertempuran meletus di antara kaum hamba dan Portugis, di mana seringkali dimenangi oleh tuan berkulit putih disebabkan keupayaan tentera mereka yang lebih besar. Di Palmares yang merupakan salah satu penempatan yang dibina oleh kaum hamba, Ganga Zombie dilahirkan dan dibesarkan yang kemudian mengubahnya sebagai sebuah kerajaan yang bersatu untuk menentang kolonialisme dan sistem perhambaan Portugis.
ZOMBIE PENGASAS NEGARA ISLAM BRAZIL
8. Zombie dilahirkan sebagai orang merdeka di Palmares pada tahun 1655 (terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli sejarah mengenai tahun kelahirannya). Bapa saudaranya, Zumba adalah pemimpin di penempatannya pada waktu itu. Dia berperang dengan penjajah Portugis dalam beberapa siri pertempuran yang mana Zombie turut ikut serta bersamanya. Pada akhirnya, Zumba membuat perjanjian dengan Portugis untuk menetapkan pembebasan hamba yang melarikan diri ke Palmares. Sebagai gantinya, Palmares harus tunduk terhadap kuasa Portugis. Zombie yang pada ketika itu masih muda, menolak perjanjian ini dan memimpin kudeta terhadap bapa saudaranya, yang dikatakan mati diracun oleh pengikutnya yang turut menentang perjanjian tersebut.
9. Palmares pada waktu itu mengamalkan ekonomi sistem barter dengan penempatan jiran, terutamanya produk pertanian. Mereka menanam tembakau, kacang, tebu, dan kentang. Mereka juga menternak ayam dan beberapa jenis ternakan, yang kemudiannya mereka menukarnya dengan barangan yang dibuat oleh tetangga mereka. Cukai dikenakan kepada para penduduk bagi mengumpulkan dana untuk tujuan kemasyarakatan. Sistem perundangan dan hukuman dalam kehidupan seharian juga digubal seperti hukuman mati untuk perzinaan dan hukuman mencuri. Mereka menubuhkan sistem ketenteraan yang kuat, terancang, serta mendirikan menara tinggi untuk mempertahankan negeri dari sebarang serangan luar.
10. Zombie memimpin Palmares dan bertempur dengan Portugis selama bertahun-tahun. Dia menyeru ke arah akidah yang benar iaitu agama Islam dan Palmares berada di puncak kegemilangan ketika berada di bawah pemerintahannya. Ajaran Islam berkembang pesat di Brazil kerana dia mendukung usaha menerangi negaranya dengan undang-undang Islam, menggalakkan para ulama untuk berdakwah dalam kalangan mereka dan mengingatkan mereka tentang asal-usul mereka bahawa mereka beragama Islam. Pada ketika ini, dia mengumumkan penubuhan "Negara Islam Brazil".
11. Sejak dari pengisytiharan tersebut, bermulalah pertempuran Zombie melawan Portugis, yang berpanjangan dalam masa yang cukup lama dari tahun 1678 sehingga 1694. Dia mencapai kemenangan yang berterusan dan dia menduduki lebih dari 20 daerah di wilayah Bahia, Brazil lalu menggabungkannya ke dalam negaranya. Serangan yang bertali arus dari tentera Portugis menyebabkan negaranya menjadi lemah, tetapi ia tidak menghalangnya daripada terus memberi penentangan.
12. Ibu kota Zombie itu dinamakan "Makakus" yang bermaksud monyet dalam Bahasa Portugis. Dipercayai bahawa Makakus dinamakan sedemikian kerana penjajah Portugis ingin mengejek Zombie dan para pengikutnya. Hal ini disebabkan sebahagian besar sejarah tentang Zombie dan negaranya, Palmares sampai kepada kita adalah melalui musuh mereka. Makakus sebenarnya dibentengi dengan dinding yang diperbuat daripada tanah lumpur yang dikeringkan yang tebal dan kuat. Setelah bertahan untuk tempoh yang lama, ibu kota pun jatuh setelah menerima serangan meriam yang bertalu-talu dari pihak kolonial.
13. Pada 20 November 1695, Zombie telah ditangkap kerana dikhianati oleh salah seorang pengikutnya yang diancam bunuh jika dia tidak membocorkan lokasi sang komander. Ganga Zombie dibunuh selepas ditangkap, dipenggal kepalanya dan alat kelaminnya dipotong. Tubuhnya yang telah cacat tersebut dilukis dan lukisan itu dipamer di bandar-bandar utama untuk menakut-nakutkan sesiapa yang ingin memberontak terhadap penjajah.
14. Penghapusan semua warga Palmares berlangsung lebih dari dua dekad. Ada yang dibunuh dan ada yang lain dijadikan hamba dan dijual sebagai langkah menghalang percubaan untuk menyatukan mereka lagi. Ini diikuti dengan kempen besar-besaran untuk membiarkan para hamba dalam kelaparan dan dipaksa murtad. Semua dokumen yang berkaitan dengan gerakan penentangan yang diketuai oleh Zombie di Brazil telah dimusnahkan atau hilang, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Justeru, semua angka yang sampai kepada kita adalah sekadar anggaran. Anda mungkin akan melihat nombor dan tarikh yang berbeza dari seorang penulis dengan penulis yang lain akibat kekurangan statistik yang tepat.
15. Revolusi Zombie bukan satu-satunya revolusi dalam sejarah Brazil melawan penjajah yang dilakukan oleh orang Islam. Walau bagaimanapun, nama Zombie menjadi sangat terkenal dek hebatnya penentangannya melawan penjajah dalam tempoh yang lama. Namanya diabadikan sebagai salah seorang tokoh sejarah yang hebat dalam sejarah Brazil, bahkan terdapat banyak filem dibuat mengenai perjuangannya yang ditayangkan di pawagam Brazil.
16. Akhirnya, satu undang-undang digubal untuk mengharamkan sistem perhambaan di Brazil pada tahun 1888 setelah banyak nyawa melayang dan keturunan pahlawan-pahlawan Afrika ini melupakan identiti Islam mereka. Pada 13 Mei setiap tahun, Brazil merayakan Hari Kesedaran Afro-Brazil. Tetapi rakyat Brazil dari keturunan Afrika mendesak untuk merayakannya pada 20 November sebagai memperingati Zombie dan perjuangannya menentang penjajahan dan perhambaan.
Rujukan:
)جهاد الترباني (مائة من عظماء أمة الإسلام غيروا مجرى التاريخ
)خالد رزق تقي الدين( المسلمون في البرازيل ، مدينة "سلفادور" ولاية باهيا، موقع شبكة الألوكة.
)دكتور تي بي إرفنج وإلم درايف إن إي( الملك زومبي وحركة الماليين (المسلمين) في البرازيل، موقع شبكة الألوكة.
)عبد الرحمن ناصر( القصة الحقيقية لـزُومبي: قائد ثورة تحرير العبيد ضد الاستعمار البرتغالي، موقع ساسة بوست.

Disediakan oleh:
Aser Fikar
Penyelidik
Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG)

Copy and paste: 29 Julai 2020 / 7 Zulhijjah 1441H : 7.26 am

No comments: