Monday, 27 July 2020

Pesta Aidilfitri orang Melayu

EddiePutera Portraitist
Pesta Aidilfitri orang Melayu datang lagi.
Pesta ciptaan orang melayu yang amat gah. Hari yang amat keramat bagi orang melayu, dan hari yang menyebabkan gumpalan gumpalan wang orang melayu gugur sebanyak mana juga titisan air mata mereka pada pagi raya.
Hari yang sepatutnya mensucikan diri orang melayu dari sifat sifat buruk dan hanyir ini sudah ditradisikan oleh orang melayu kepada satu hari yang amat penuh dengan onar.

Mana mungkin mereka boleh rasa insaf apabila dalam satu bulan sebelum pesta raya ini, mereka sudah isi perut mereka dengan berbagai warna makanan yang tak pernah mereka mahu makan ketika lain masa. Mana mungkin juga mereka boleh mengaku hero di hari kemenangan kerana mereka sudah awal awal lagi tewas di tangan kedai perabut Ah Seng, kedai asesori kereta Ah Chong, Jakel, Mydin, Tesco dan Seng Hup. Mereka sudah tewas pada hari pertama apabila diumumkan oleh pemegang mohor raja raja bahawa esoknya hari perjuangan bermula untuk berpuasa.
Berpusu pusu mereka ke hotel hotel 5 bintang, ke restoren restoren mewah, ke gerai gerai yang tumbuh macam misai tidak dicukur. Mereka hulurkan tengkuk2 gemuk mereka untuk disembelih dengan tawaran tawaran yang tak masuk akal.Makanlah sepuas hati kamu kata mereka. Bayar sahaja RM65 satu kepala dan isilah perut kamu dengan apa sahaja kamu suka sampai perut kamu bulat macam ikan buntal. Maka diusunglah satu angkatan keluarga dari anak kecil hinggalah yang tua gayut bertongkat untuk beratur di meja meja buffet. Tersengih panjang tokey tokey kedai melihat nafsu mereka. Kata mereka, bila lagi mau mewarnakan bulan yang mulia ini.
Kemudian mereka yang amat sopan pada bulan bulan lain mula bertukar menjadi makhluk yang amat buas beberapa hari menjelang pesta mereka ini. Mereka berdondon dondon penuhi jalanraya. Mahu pulang ke kampung kata mereka. Hari Pesta begini tak mungkin kita mahu duduk di kota. Mereka mesti, wajib, perlu dan tidak boleh tidak untuk tidak pulang. Mereka mesti, wajib, perlu dan tidak boleh tidak untuk tidak mohon maaf pada kaum keluarga. Mati pun tidak apa asalkan musti mahu pulang. Kenapa pada hari pesta ini sahaja mereka rasa itu wajib ? Sedangkan pada 11 bulan yang lain, mereka penuh dengan alasan busy dan tidak ada masa. Mengapa tunggu hari pesta ini untuk mohon maaf pada pak ngah, mak ngah, pak teh, mak teh ? Mengapa pada hari pesta ini wajib untuk kunjungi mereka ? Mengapa 11 bulan yang lain, mereka hanya wajib pergi Mabul, Langkawi, Sunway Lagoon dan Genting Highlands sahaja, tetapi tidak wajib menjenguk Pak Ngah ? Mengapa 11 bulan yang lain mereka penuhi penerbangan Air Asia ker Koh Samui, Beijing dan Jakarta tetapi tidak ke rumah ayah bonda di kampung ? Busy kata mereka. Mengapa meratap menangis hiba dan hingus serta air mata meleleh leleh pada pagi pesta raya, ketika bersalaman mohon maaf, sedangkan 363 hari yang lain haram tidak mahu peduli.
Tidak cukup satu hari, orang melayu sekarang sudah sambung hari Pesta Raya ini kepada 30 hari. Berebut rebut mereka untuk bertanding rumah terbuka siapa lagi hebat. Umpat keji mereka diteruskan di meja meja gossip open house. Tidak boleh tidak jika tidak pergi open house si Ahmad. Walaupun perut sudah kenyang, kita musti pergi juga merempuh 3 benua dari Ampang ke Shah Alam. Nanti kalau Ahamd tidak balas kunjungan datang ke open house mereka, satu tahun dikejinya si Ahmad. Hari minggu selama 4 minggu berturut turut, mereka tidak ada agenda lain tapi balas membalas open house. Minyak kereta habis, jam, anak anak keletihan, mata mengantuk, perut boroi kekenyangan, hati panas di jalanan dan masam muka suami isteri, hanya kerana mahu dan wajib hadir pada jemputan open house.
Inilah Pesta Aidilfitri orang melayu. Hari yang sepatutnya menjadi hari kemenangan, yang pada asalnya dinamakan HARI RAYA AIDILFITRI , sudah dinaik tarafkan sebagai PESTA AIDILFITRI.
Hari yang sepatutnya, kita mandi, pakai baju bersih, ke masjid, dan kemudian pulang menjamu selera tanda kemenangan selepas Ramadhan, kini amat haru celaru serta penuh noda tradisi orang melayu. - Eddie Putera, July 2013
* NaDz
Copy and paste from FB : 27 Julai 2020 / 5 Zulhijjah 1441H : 7.45 am

No comments: