Credit : Irma Musliana (Soscili)
FB Belalang Post
Kuda Kepang juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Kuda Lumping, Jaran Kepang atau Jathilan.
Kuda Kepang adalah patung anyaman yang dibentukkan seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
Tarian Kuda Kepang memang terkenal sebagai tarian tradisi masyarakat Johor terutama sekali orang Melayu berketurunan Jawa dan ia juga merupakan salah satu permainan rakyat di Indonesia dan Singapura.
Persembahan Kuda Kepang sering diadakan di majlis keramaian dan ia menjadi acara kebudayaan.
Sebagai budaya dan warisan, kemahiran mempersembahkan Kuda Kepang ini telah diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
ASAL USUL KUDA KEPANG
Asal-usul sebenar Kuda Kepang masih lagi tidak dapat dipastikan. Namun terdapat beberapa pendapat dan teori mengenai asal-usul Kuda Kepang. Di antaranya ialah;
1. Dicipta oleh Sunan Kalijaga
Kuda Kepang mempunyai pengaruh latar belakang Jawa yang sangat kuat semasa penghijrahan masyarakat Jawa ke Tanah Melayu dan ia kekal hingga sekarang.
Tarian Kuda Kepang dikatakan dicipta oleh salah seorang Wali Songo iaitu Sunan Kalijaga sebagai tarikan dalam usaha menyebarkan Islam di pedalaman Tanah Jawa melalui seni hiburan dan budaya.
Waktu itu, Sunan Kalijaga menghadapi kesulitan untuk mendekati masyarakat di pedalaman.
Dari situlah beliau mendapat idea mencipta kuda daripada buluh dan telah menubuhkan sebuah kumpulan Kuda Kepang untuk membuat persembahan tarian yang menceritakan tentang angkatan tentera berkuda pada zaman Saidina Ali.
Orang-orang kampung di pedalaman yang sebelum ini tidak pernah terdedah dengan sebarang bentuk hiburan telah datang berduyun-duyun untuk melihat persembahan tersebut.
Selepas buat persembahan, Sunan Kalijaga tidak benarkan penonton terus bersurai. Dengan kesempatan itulah, beliau menerangkan mengenai Islam dan mengajar penduduk di pedalaman itu untuk mengucap kalimah Syahadah.
Susulan anyaman buluh yang berbentuk kuda itu, maka lahirlah Kuda Kepang. "Kepang" bermaksud buluh yang dianyam.
2. Cara menentang penjajah dengan kuda
Kuda Kepang berasal dari Ponorogo, Jawa Timur. Pada peringkat awal, tarian Kuda Kepang memberikan gambaran tentang peperangan menentang penjajah dengan cara menunggang kuda.
3. Kuda kayangan
Ada yang mengatakan asal usul Kuda Kepang ini berkaitan dengan alam kayangan.
Terdapat seekor kuda kayangan bernama Kuda Sembrani telah turun di Tanah Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah kedua-dua kuda itu berjumpa, mereka menari keseronokan.
4. Tentera Saidina Ali
Ada pendapat lain yang mengatakan ia sebenarnya meniru gerak langkah tentera Saidina Ali semasa peperangan.
Pada waktu itu ada seorang hamba Allah dari Tanah Jawa telah menyaksikan pertarungan antara tentera Saidina Ali dengan pihak musuh.
Dia berasa kagum melihat tentera Saidina Ali bertempur seperti dalam keadaan khayal/mabuk (mungkin maksudnya berlawan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling) sehingga berjaya mengalahkan pihak musuh.
Ekoran daripada itu, hamba Allah ini pulang ke Tanah Jawa dan melakukan pertapaan sehingga akhirnya dia pun ghaib.
Menurut cerita, sebelum ghaib dia sempat menubuhkan sebuah pasukan Kuda Kepang di Tanah Jawa.
5. Wali Songo berdakwah
Ada versi yang mengaitkan dengan usaha sembilan orang wali (Wali Songo) yang ingin menyebarkan agama Islam di pedalaman Tanah Jawa yang ketika itu masih tebal dengan pengaruh Hindu.
Wali-wali tersebut berdakwah dengan menunggang kuda supaya dapat menarik minat orang-orang kampung.
6. Semangat alam
Tarian Kuda Kepang berasal daripada ritual animisme pada zaman primitif iaitu "sembahyang semangat alam".
Terlalu banyak andaian asal-usul yang dibuat mengenai tarian Kuda Kepang.
CARA KUDA KEPANG DIPERSEMBAHKAN
Untuk membuat persembahan Kuda Kepang, ia melibatkan sekurang-kurangnya 25 orang iaitu;
- 9 orang penari
- 5 orang pemuzik
- 9 hingga 15 orang penjaga kawasan (Danyang) di sekitar tempat persembahan
- 2 orang yang bertindak sebagai Gambuh (Bomoh Pemulih)
Walau bagaimanapun, dalam sesuatu persatuan, jumlah ahlinya adalah seramai 40 orang.
“Danyang" adalah pemimpin/penjaga atau gembala Kuda Kepang yang menggunakan cemeti untuk mengawal gerak tari serta tingkahlaku penunggang kudanya.
Namun ada sumber lain mengatakan sebaliknya dimana "Danyang" adalah dewa (makhluk halus) yang mengiringi penari semasa mabuk/'naik syeikh'.
Selain Danyang, "Endang" juga adalah makhluk halus yang sering hadir merasuk penari Kuda Kepang.
Para penari akan menari menggunakan patung kuda seperti gerakan barisan tentera yang sedang menunggang kuda dalam peperangan.
Alatan muzik yang digunakan dalam tarian Kuda Kepang ialah angklung, gendang, gong, jidur, kenong, boning dan saron kecil.
Biasanya rentak tarian dalam Kuda Kepang dicipta sendiri oleh guru yang mengajar kumpulan tersebut.
Jenis tarian yang selalu dipersembahkan ialah Tarian Sola, Selendang, Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Setiap lenggang-lenggok dalam tarian dinamakan "Lenggang Kiprah".
Ada dua jenis tarian Kuda Kepang iaitu jenis yang biasa dan satu lagi jenis ekstrim yang dikenali sebagai tarian "Kuda Kepang Mabuk" dimana ia dipengaruhi oleh kuasa mistik.
KUDA KEPANG ADUNAN MISTIK
Persembahan Kuda Kepang mistik biasanya menggunakan patung kuda yang diperbuat daripada kulit haiwan. Ini kerana corak permainan jenis mistik ini lebih ganas berbanding yang biasa.
Sebelum persembahan dimulakan, patung kuda tersebut akan diperasapkan terlebih dahulu dengan kemenyan. Apabila ritual ini diamalkan, secara tidak langsung ia telah melibatkan kuasa mistik dan bantuan alam ghaib sehingga munculnya istilah "Kuda Kepang Mabuk”.
Selain itu, terdapat upacara khas (istiadat memuja roh) yang disebut "Buka Gelanggang" perlu dilakukan oleh Gambuh (ada versi lain menyebut "Bomoh/Pawang") sebelum persembahan Kuda Kepang dimulakan.
Jika upacara tersebut tidak dilakukan, kemungkinan sesuatu yang tidak baik akan menimpa kepada pemain dan penontonnya.
Dalam upacara ini, Gambuh akan menyediakan sajian untuk 'penunggu' seperti buah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai.
Kemudian Gambuh akan membakar kemenyan dan memperasap bahan sajian untuk menjemput roh Kuda Sembrani datang bersama bagi menjayakan permainan yang akan dipersembahkan.
Makhluk halus dan jin yang mendiami kawasan gelanggang tersebut juga diseru agar tidak marah dan melindungi mereka yang terlibat dalam permainan Kuda Kepang serta para penonton yang datang menyaksikan persembahan.
Selain itu, ia juga bertujuan agar makhluk halus dan jin tersebut meresap ke dalam tubuh para penari bagi membolehkan menari tarian Kuda Kepang.
Setiap kali persembahan tarian Kuda Kepang mistik ini dilakukan, pasti akan ada beberapa orang penari ‘naik syeikh’ (mabuk) dan berkelakuan aneh apabila terlalu asyik menari.
Keadaan tidak sedarkan diri atau 'naik syeikh' berlaku tidak lama setelah permainan dimulakan.
Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu.
Apabila muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Semasa penari dalam keadaan demikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak.
Kononnya jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.
Mereka menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka.
Ketika 'naik syeikh', mereka seakan bermimpi menunggang kuda sebenar sambil menari-nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu mereka cuba mengejar muzik tersebut.
Penari yang 'naik syeikh' akan terpisah daripada kumpulannya. Mata mereka yang berada dalam keadaan ini akan berkilauan, tidak boleh bercakap, manakala pergerakan dan kelakuan mereka menyerupai kuda.
Mereka menjadi lupa diri dan melakukan pelbagai perbuatan di luar jangkaan seperti mengupas kelapa menggunakan gigi, makan telur mentah, mengunyah kaca, melompat setinggi 6 atau 7 kaki, meniti di atas sebatang buluh/kayu licin/seutas tali dan sebagainya.
Semasa penari-penari tersebut sedang ‘naik syeikh’, alunan muzik harus terus dimainkan. Jika alunan muzik dihentikan, penari yang sedang ‘naik syeikh’ itu akan marah dan menerkam pemain muzik.
Penari yang sedang 'naik syeikh' mesti dipegang kuat oleh beberapa orang pengawal bergantung kepada kekuatan penari yang masih terus-menerus bergerak mengikut alunan muzik yang dimainkan.
Anggota badan yang mesti dipegang supaya tidak bergerak ialah kedua-dua belah kaki, tangan dan juga kuda. Penari akan rebah dan senyap sebentar, kemudian sedar semula sendiri.
Jika gerak langkah penari-penari tersebut semakin liar dan tidak dapat dikawal, mereka akan ditangkap dan direbahkan oleh pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang setelah diarahkan oleh Gambuh.
Kemudian Gambuh akan mendekati dan membaca mantera di ubun-ubun atau telinga mereka supaya 'semangat' itu keluar dari tubuh mereka. Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih lesu.
Namun ada juga sesetengah 'semangat' yang sukar dikeluarkan kerana katanya, "tidak puas lagi menari".
Mereka yang begitu asyik menghayati bunyi-bunyian muzik, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dengan tarian ini akan terasa ada satu tarikan menyeluruh pada diri dan minda apabila terdengar bunyi muzik tersebut terutama bunyi gong dan gendang.
Terdapat sebuah kisah dimana ada pemain Kuda Kepang yang masih berada di rumah, meninggalkan meja makannya dalam keadaan separuh sedar, mengayuh basikal menuju ke gelanggang dan terus menari setelah diberi patung Kuda Kepang, padahal ketika itu dia hanya berkain pelikat!
Tidak semua penari berada dalam keadaan tidak sedar atau 'naik syeikh'. Mereka yang masih dalam keadaan normal akan berhentikan tariannya lalu duduk berehat di tepi gelanggang atau membantu Gambuh menjaga penari yang 'naik syeikh' agar tidak merempuh keluar gelanggang atau melakukan aksi yang boleh memudaratkan orang lain atau diri sendiri.
Hakikatnya, situasi seseorang penari itu bergantung kepada kekuatan roh, niat atau azam diri.
Sebaik sahaja tarian selesai, Gambuh akan membaca mantera sekali lagi di sebuah bilik khas sebagai penutup dan kembalikan semula 'semangat' tempat tersebut.
Selain dari tujuan untuk berhibur, Kuda Kepang juga dijadikan sebagai medium rawatan jika ada kerasukan. Dalam proses rawatan ini, Kuda Kepang mabuk akan berunding dengan bomoh/pawang serta alam ghaib.
Persembahan Kuda Kepang tidak boleh melebihi jam 12 malam kerana jika tidak dihentikan khususnya pada mereka yang tengah 'naik syeikh', akibatnya mereka tidak boleh disedarkan lagi dan 'semangat' itu terus meresap ke dalam badan para penari.
PANTANG LARANG KUDA KEPANG
Di antara pantang larang dalam permainan Kuda Kepang ialah;
i. Pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang 'naik syeikh' kerana ditakuti akan melarat dan keadaan menjadi tidak terkawal.
ii. Tidak boleh melihat kain berwarna merah (pantang larang semulajadi)
iii. Tidak boleh melihat kaca atau serpihannya kerana ditakuti akan dimakan oleh pemain
KUDA KEPANG DIHARAMKAN
Pada 18 Februari 2009, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah bersidang dan membincangkan hukum permainan Kuda Kepang.
Hasil keputusannya, Jabatan Mufti Negeri Johor menyatakan ia haram kerana bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiyah. Semua umat Islam dilarang dan ditegah daripada melibatkan diri dengan permainan tersebut.
Antara ringkasan hujah dari Fatwa Negeri Johor mengenai pengharaman Kuda Kepang ialah;
i. Mempunyai unsur syirik iaitu melakukan jampi dengan pertolongan daripada jin dan syaitan.
ii. Mempunyai unsur khurafat kerana adat istiadat, pemujaan dan kepercayaannya menyimpang dari ajaran Islam.
iii. Demi menjaga syariah Islamiyah. Ini kerana tarian Kuda Kepang boleh memudaratkan diri sehingga meragut kewarasan akal (penari Kuda Kepang dimasuki jin).
SEMAKIN HILANG DITELAN ZAMAN
Setiap negeri pasti mempunyai tradisi dan budaya tersendiri. Jika ia dilupuskan, maka hilanglah keseniannya.
Mungkin ia masih boleh dipertahankan selari dengan ajaran Islam seperti yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Kelantan mengenai pertunjukkan wayang kulit yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat, pendidikan dan memberi kesedaran dengan tujuan dakwah.
Dari aspek keseniannya, ia wajar dipertahankan dan dilestarikan kerana ia satu bentuk seni yang tidak dipelajari secara formal.
Persembahan ini juga sudah sebati dalam masyarakat Jawa yang bukan hanya untuk hiburan, malah ia merupakan satu cara masyarakat Jawa mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.
Dalam jangka panjang, mungkin tarian Kuda Kepang boleh ditarikan sebagai satu bentuk hiburan sahaja tanpa upacara ritual.
Kredit:
Irma Musliana (Soscili)
Dunia Punya Cerita
Eepavlas
-Debu-
Copy and paste: 22 April 2020 : 28 Syaaban 1441H : 4.03 pm
No comments:
Post a Comment