Friday, 20 December 2024

Kek Secret Recipe Bermula Daripada Seorang Pendandan Rambut?


SUMBER: THE PATRIOTS

Oleh: Farahi Kamaruddin
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini tidak pernah menjangka bahawa idea asalnya untuk membuka sebuah kedai kek yang boleh dinikmati semua bangsa telah membawanya sehingga mencecah ratusan cawangan di seluruh Malaysia dan luar negara.
Segalanya bermula pada tahun 1997, apabila Dato’ Steven Sim, yang pada awalnya seorang pendandan rambut, melihat satu jurang dalam industri kafe dan kedai makan. Beliau memperoleh idea untuk membuka sebuah kafe moden dengan citarasa tempatan.
Secret Recipe menjadi perintis kepada cita-cita Dato’ Steven yang mahukan konsep hidangan pesona (fine dining) yang kebiasaannya wujud di hotel, untuk dilaksanakan di kedai makan biasa. Beliau berpendapat kedai makan atau kafe seperti ini perlu agar semua orang boleh menikmati hidangan sambil bersantai dengan harga makanan yang tidak terlalu mahal.
Maka, dari situlah bermulanya premis pertama Secret Recipe di SS2 Petaling Jaya. Sebagaimana lazimnya perniagaan yang baharu bermula, tiada sesiapa yang mengenali jenama Secret Recipe ini.
Disebabkan beliau tidak mempunyai modal yang cukup untuk mengiklankan outlet pertama, Dato’ Steven melakukan pemasaran sendiri dengan menawarkan kopi percuma. Promosi ini ternyata agak berjaya, kerana ia berjaya menarik orang ramai untuk minum kopi percuma, dan sekaligus mencuba kek yang dijual di kedainya.
Dalam satu insiden menarik pada awal dia membuka premis ini, beliau mengenang tentang seorang wartawan dari majalah KL Vision yang mencuba kek kejunya dan mencadangkan supaya dia menyertai pertandingan kek keju tahunan. Apabila tiba hari pertandingan Dato’ Steven langsung tidak membuat persiapan kerana terlupa tarikh yang dimaklumkan kepadanya.
Beliau cuma menghantar kek keju biasa dan tidak menyimpan harapan untuk menang. Pada hematnya, Secret Recipe hanya sebuah kedai biasa, dan para hakim juga tidak kenal dengan kedai mereka. Namun, tanpa disangka, kek keju Secret Recipe berjaya memenangi Grand Champion.
Selepas kejayaan pertama, nama Secret Recipe terus mekar. Ramai yang semakin percaya dengan jenama ini, dan jumlah outlet mereka semakin bertambah.
Ditanya tentang resipi rahsia kejayaannya, Dato’ Steven berkata, dia sememangnya seorang yang suka bekerja. Otaknya juga tidak berhenti bekerja walaupun ketika tidur. Lebih menarik lagi, di sisi katilnya sentiasa ada kertas dan pen.
Namun, prinsip utama yang diamalkannya adalah jangan terlalu tamak dalam mengejar apa yang diingini. Teruskan usaha seperti biasa dan nikmati proses itu sedikit demi sedikit.
___
Nak tahu bagaimana prinsip kecil boleh mencipta kejayaan besar?
THE DIARY OF A CEO yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ini ialah buku yang mendedahkan strategi dan falsafah hidup usahawan berjaya.
Pra-tempah sekarang dan ketahui rahsia di sebalik menjadi usahawan empayar berjaya.

Copy and paste:
20/12/2024: 11.54 p.m

No comments: