Tuesday, 3 December 2024

Ina, gadis HIV mangsa ayah sendiri

Oleh : Zainal Rashid Ahmad
The Malaysian Insight
4 September 2019

BAPANYA penjual ubat perangsang seks di kaki lima Belakang Mati, di Chow Kit, Kuala Lumpur. Pada 1980-an, ketika Lorong Haji Taib menjadi ibu bagi segala kejahatan maksiat, ubat perangsang seks sangat laris.

Puluhan meja kecil dengan puluhan jenama ubat kuat yang entah siapa pula pembikinnya, antara bisnes jalanan yang bersepah di kaki lima Belakang Mati.

Ina mengikuti ayahnya sejak berusia 11 tahun dan menjadi gadis penjual ubat perangsang seks. Tidak mudah bagi gadis sunti hidup mencari makan di tengah kegilaan manusia terhadap seks.

Akhirnya, dalam dunia gelap Belakang Mati, Ina menjadi mangsa rogol bapanya sendiri.

Ini realiti. Inilah fakta utama dalam dokumentari Ina Gadis HIV yang diterbitkan pada 2006. Fakta ini kemudiannya melalui detik sukar apabila dokumentari ini berdepan saman mahkamah.

Akhirnya, penat lelah selama sebulan menghasilkan dokumentari sempena Hari Aids sedunia 2006, berakhir dengan kegagalan. Ina Gadis HIV dilarang siarannya.

Ina lahir pada 1973 dan berada dalam belitan dunia gelap Belakang Mati pada 1984. Setelah berkali-kali dirogol dan dirogol bapanya sendiri, Ina melarikan diri.

“Dunia saya sama saja. Lari ikut teman lelaki pun malang juga. Saya dijadikan pelacur. Jual tubuh dan jadi hamba menyara boyfriend penagih dadah. Akhirnya saya juga menagih,” katanya.

Setelah 13 tahun menagih dan melacur, Ina menderita pneumonia dan penyusutan berat badan yang kritikal. Akhirnya, gadis ini rebah di kaki lima.

“Saya jumpa dia pengsan di tepi jalan dalam keadaan kesihatan yang teruk. Selain terlebih dos dadah, Ina disahkan HIV,” kata aktivis Afida Abdul Latif.

Afida bekas penagih yang tujuh kali keluar masuk penjara. Pada 1998, bekas ‘pailang besar’ Chow Kit ini menubuhkan rumah singgah pemulihan di Jalan Raja Bot. Antara pesakit awalnya ialah Ina.

“Dia selalu datang bila keadaan kesihatannya teruk. Ina mengambil tiga atau empat suntikan heroin sehari,” kata Afida.

Melalui Afida, versi betapa kroniknya tahap kesihatan Ina terbongkar.

“Dia tak mampu berhenti menagih heroin. Di rumah saya, dia kerap datang dan pergi. Dia terus menagih hingga tenat pada 2005, dia jatuh sakit teruk. Doktor sahkan tahap HIV Ina sudah parah. Dia hanya ada empat bulan untuk hidup,” kata Afida.

Melalui Afida, saya kenal Ina. Akhirnya, gadis kelahiran Sentul ini sumber utama subjek dokumentari. Kami mahu karakter Ina menjadi fokus cerita.

Motif utama dokumentari ini untuk menyedarkan masyarakat betapa ratusan pelacur dan penagih wanita di Belakang Mati memerlukan bantuan.

“Saya dirogol sejak kecil dan mula menjadi jalang pada usia 15 tahun. Saya penagih dadah ketika berumur 16 tahun,” cerita Ina.

Saya bertemu Ina pada 2006 ketika dia sudah berusia 33 tahun. Doktor meramalkan hayatnya hanya empat bulan saja. Jangkitan pneumonia menyebabkan 60% paru-parunya tidak berfungsi.

Tubuhnya kurus dan berat badannya hanya 38kg. Pertuturannya sukar difahami kerana masalah kelenjar air liur. Mulutnya dipenuhi air yang sentiasa meleleh tiap kali bercakap. Sebutannya tidak jelas dan sukar difahami. Namun, kami berusaha mendengar dengan teliti susunan perkataannya.

“Saya harap abang tolong saya kembali pada Islam. Saya murtad ketika mendapatkan rawatan HIV. Saya tukar agama sebab perlukan duit untuk rawatan hospital dan kos ubat,” katanya.

Itu intro kenyataan Ina dalam dokumentari sepanjang 48 minit itu. Kisah bermula dengan impian terakhir seorang gadis HIV yang ingin kembali Muslim.

“Ya… kami akan bantu Ina untuk syahadah semula,” kata pengarah dokumentari, Syirfan Indra Mitra Suria Hussien.

Belakang Mati dan lingkaran gelapnya

Sama ada lelaki hidung belang yang ingin melanggan pelacur atau pondan, ubat perangsang seks sentiasa laris. Ubat seks pasaran gelap ini ialah bekalan tambahan pelanggan. Ia menjadikan permainan nafsu di atas tilam murah dalam bilik berbau busuk terasa berbaloi.

Ini insight dunia Belakang Mati tahun lapan puluhan. Menyamai frasa dalam sajak Salleh Ben Joned: “Belakang Mati, mati belakang hari belakang kira”.

Ratusan pelacur memenuhi hotel cabuk yang ditandai mentol merah. Kod lampu khusus sebagai isyarat perkhidmatan pelacur disediakan bapa ayam.

“Bayar RM50 sekali masuk. Cuma 45 minit. Lebih waktu kena tambah wang,” kata bapa ayam.

Selain hotel-hotel cabuk yang memenuhi kawasan ini, kaki lima Lorong Haji Taib bertebaran dengan ratusan penagih dadah yang terkapar tidur. Pengambilan dadah dilakukan secara terbuka.

Ini pandangan biasa. Belakang Mati memang zon dadah paling daring di Kuala Lumpur. Ini realiti dekad lapan puluhan yang dahsyat itu. Di pintu masuk Lorong Haji Taib pula, puluhan pondan mengedik dengan pakaian seksi.

Manusia keluar masuk tanpa henti ke dunia gelap Belakang Mati. Pastinya, hanya ada tiga urusan besar – mendapatkan pelacur, melanggan pondan atau membeli dadah.

Ina gadis sunti mangsa rogol

Ina hidup di Belakang Mati sebagai budak penjual ubat seks pada usia 13 tahun. Dirogol bapa sendiri dan kemudian menjadi pelacur pada usia 15 tahun. Selain seks, dunianya musnah kerana dadah.

“Islamkan saya secepat mungkin,” katanya.

Kami menyegerakan scene syahadah Ina di sebuah surau Kampung Baru. Terima kasih pada Zainal Abidin Sakom yang sudi hadir dan mensyahadahkan semula Ina.

Sesi yang menyentuh perasaan. Dalam surau ketika kamera sedang merakam, semua kru menangis di belakang babak itu.

Walaupun dokumentari ini kalah dalam hak siaran kerana soal saman keluarga, ia kekal memori kerja dokumentari yang paling humanis. Soal seni dan komersil bukan lagi isu utama. Semangat produksi dipacu oleh stamina seorang Ina.

Selepas tamat penggambaran, Ina menghilang. Afida sendiri gagal menjejakinya. Tahun 2006 hingga 2010 saya tidak mendengar apa-apa berita mengenai Ina.

Satu hari pada 2011, saya terfikir berjalan-jalan di Belakang Mati. Melepak di warung Aceh atau Minang dan mendengar cerita.

Melepak di warung tepi jalan satu sumber mudah untuk mendapatkan maklumat jenayah. Apa saja aktiviti dunia gelap Lorong Haji Taib boleh diintip kalau telinga cekap mendengar ketika kita rancak berbual.

Ketika sedang makan sambil berbual, saya nampak kelibat seorang gadis di seberang jalan. Saya cam dan kenal benar susuk tubuhnya. Rambut panjang yang berkarat dan jeans pendeknya kekal seperti dulu. Saya yakin gadis itu kawan Ina.

“Nely!” Jerit saya.

Mendengarkan panggilan saya, gadis itu berpaling. Wajahnya nampak ceria sebaik saja melihat saya. Segera dia meluru melintas jalan.

“Lega nampak abang, aku gian sejak pagi tak dapat barang,” katanya.

Nely penagih tegar dan saya kenal ketika sering berkunjung ke rumah singgah Afida.

“Nampak Ina?,” tanya saya.

“Lorrr… dia dah matilah,” kata Nely.

“Bila?”

“Lupa dah… mungkin 2010. Orang jumpa mayatnya belakang Plaza GM,” kata Nely.

Belum sempat saya bertanya, Nely dengan wajah mendesak terus meminta-minta.

“Bang, bagi aku RM50. Aku gian sejak petang tadi.”

Saya menyeluk saku. Wang ke tangan Nely, tapi ingatan saya pada Ina.

13 tahun lalu ketika merakamkan dokumentari Ina, Belakang Mati masih dunia gelap tanpa cahaya. Sama seperti nasib gadis-gadis pelacur dan penghidap HIV diabaikan dan dianggap zombi yang menakutkan.

Kempen kesedaran belum meluas. Masyarakat masih melihat HIV sebagai karma kejahatan yang patuh ditanggung pesakitnya.

Sekarang, sekali pun kesedaran terhadap HIV sudah jauh meningkat dan sistem sokongan telah berkembang, ia tidak berdaya membuatkan jiwa berasa lega.

Ina kekal dalam ingatan. Bukan HIVnya, tetapi sejarah hidup seorang gadis sunti yang musnah oleh kerakusan bapanya sendiri. – 4 September, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Copy and paste:
3/12/2024: 4.03 a.m



No comments: