BY: AL SEMANTANI JONES
SUMBER: THE PATRIOTS
17 JUNE 2017
Buku-buku sejarah dunia selalu mengagung-agungkan Columbus, Magellan, Captain Cook dan lain-lain pelayar serta penjelajah barat sebagai The First atau The Greatest dari kalangan penjelajah dalam sejarah.
Tetapi tahukah anda, ternyata piawaian mereka ini adalah jauh ketinggalan dari para pelaut Nusantara. Mungkin bagi anda yang kurang mentelaah mengenai kehebatan dunia maritim nenek moyang kita akan berasa ragu-ragu dengan apa yang saya ingin sampaikan. Tetapi tidak mengapa, kerana walau anak bangsa kita sendiri tidak tahu betapa hebat dan luasnya tamadun maritim bangsa kita, ada banyak lagi para penyelidik dari luar yang tahu dan yakin mengenainya. Apa yang mahu saya paparkan ini sebenarnya telah ramai yang tahu, namun pada pendapat saya ada moleknya saya mengulang semula untuk yang belum tahu.
Kehebatan ilmu pelayaran bangsa Nusantara sebenarnya tidak boleh dipersoalkan lagi. Dan keberadaan bangsa Austronesia di seluruh pelusuk dunia adalah bukti yang tak tertulis.
Menurut James Hornell dalam penulisannya, terdapat bukti kewujudan suku Austronesia di selatan India pada zaman kuno . Georgio Bucallati pula dalam kajiannya terhadap Cengkih di Syria mendapati bahawa rempah tersebut telah digunakan sejak tahun 3,700 SM, dan Julian Reade pula telah menjumpai rangka kambing atau Bebiri yang berasal dari Timur Tengah yang berusia sangat langka di Nusantara. Segala penemuan ini membuktikan bahawa sememangnya bangsa Melayu telah terlibat dalam aktiviti perdagangan laut jarak jauh yang menjangkau sehingga ke Timur Tengah malah Afrika. Jumpaan Cengkih di Syria yang berusia beribu tahun mengukuhkan lagi hal ini kerana Cengkih adalah rempah yang hanya dapat diperolehi di pulau Maluku sahaja.
Saya pernah menyentuh mengenai pengaruh Melayu Nusantara di Madagaskar dalam artikel saya terdahulu. Tetapi tak terfikirkah anda, jika bangsa kita mampu berlayar hingga ke Madagaskar adakah terdapat sebarang halangan untuk mereka terus berlayar hingga ke pantai-pantai di sepanjang benua Afrika? Sudah tentu tiada sebarang halangan bukan?
Malah sudah tentu tiada halangan untuk mereka bermain-main di lautan sekitar semenanjung Tanah Arab dan berdagang di pelabuhan-pelabuhan di sepanjang Yaman malah hingga ke pelabuhan milik para Firaun Mesir di Lautan Merah. Adalah mustahil satu bangsa pelaut hebat yang menguasai lautan seluas lautan Hindi tidak mampu untuk mengharungi laut Merah.
Saya yakin para wakil dagang Raja Perehu pernah berkunjung ke pelabuhan-pelabuhan yang dikuasai Ratu Hatshepsut. Lautan adalah tempat mainan mereka, jika bangsa lain mengaggap lautan adalah pemisah dan halangan namun bagi bangsa Melayu Nusantara lautan adalah penghubung atau jalan raya yang boleh membawa mereka kemana sahaja yang mereka mahu.
Sebenarnya pelaut-pelaut Nusantara sudah menjejakkan kaki di benua Afrika sejak abad ke-5 M lagi atau mungkin juga lebih awal. Jauh sebelum bangsa Eropah mengenal Afrika dan jauh sebelum bangsa Arab berani berlayar dengan Dhow mereka ke Zanzibar. Malah lebih jauh daripada zaman kegemilangan pelayaran China yang hanya bermula pada kurun ke 13 iaitu semasa zaman Laksamana Cheng Ho. Teknologi perkapalan Melayu juga banyak ditiru oleh para pelaut China, India, Arab dan kemudiannya Barat. Namun tak ramai yang sedar akan hal ini. Malah menurut Anthony Reid, bangsa Nusantara adalah perintis kepada peradaban maritim dan perdagangan laut. Tanpa pengenalan teknologi daripada bangsa Melayu Nusantara kepada dunia mungkin teknologi perkapalan dan perdangangan maritim masa kini akan terbantut atau lambat berkembang.
Menurut Al Idrisi orang-orang Zabag mendatangi wilayah Zanj iaitu Afrika timur dengan kapal-kapal besar dan kecil, dan mereka berhubungan dengan orang-orang Zanj dalam urusan perdagangan kerana mereka mengerti bahasa satu sama lain. Kenyataan daripada Al Idrisi ini membuat kita terfikir mungkinkah terdapatnya satu bangsa yang memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu di Afrika timur pada suatu masa dahulu.
Dan mungkinkah koloni mereka ini lah yang menjadi pusat pengumpulan bahan logam seperti besi dan emas yang kemudiannya dibawa ke Kedah-Srivijaya. Saya berpendapat tentu ianya wujud! Sejak dari awal lagi para penulis Arab dan Parsi mengkhabarkan bahawa orang-orang Melayu Nusantara sudah biasa menjalankan perdagangan hamba dari Afrika dan dibawa ke seluruh dunia timur. Malah catatan China pernah menyebut bahawa Maharaja Srivijaya pernah menghadiahkannya dengan hamba-hamba kulit hitam.
Terdapat para pengkaji sejarah Afrika yang berpendapat teknologi perlombongan emas di Arfika timur dan selatan adalah berasal dari luar. Dikatakan bahawa perlombongan amas di Afrika timur bermula kira-kira pada 600 Masihi. Jika dilihat sekitar tahun 600 M adalah tahun dimana kerajaan Srivijaya mula muncul.
Selain itu menurut pengkaji barat seperti Robert Dick Read, beliau yakin bahawa bangsa Zanj yang sering disebut oleh pengembara Arab dalam catatan mereka di Afrika timur adalah bangsa Nusantara yang telah bersemenda dengan masyarakat tempatan dan membuka koloni serta pusat perdagangan dan perlombongan di Afrika. Sisa-sisa bangsa tersebut pada hari ini yang masih tinggal hanyalah di Madagaskar yang kita tahu memang mempunyai hubungan genetik, bahasa dan kebudayaan dengan Nusantara.
Seorang ahli Arkeologi Rhodesia, Roger Summers mengatakan bahawa sebahagian besar emas yang dilombong di Afrika Timur sekitar abad ke 9M hingga 12M adalah sebanyak kira-kira 20.000.000 hingga 25.000.000 auns, iaitu satu jumlah yang sangat besar dan tak mungkin dilakukan oleh masyarakat tempatan yang hanya melombong dengan menggunakan teknologi primitif dan tidak sistematik. Selain itu dalam sebuah lombong kuno suatu ketika dahulu ditemui sejenis penggali tanah yang menggemparkan para ahli arkeologi Afrika kerana mereka tahu teknologi penggali tanah atau cangkul seperti itu tidak wujud di Afrika sebelum kedatangan barat dan hanya wujud di India dan Nusantara sahaja. Berkemungkinan lombong kuno tersebut pernah dilombong nenek moyang orang Nusantara.
Tetapi siapakan para pelaut ini?
Para pengkaji bahasa yang mengkaji bahasa Malagasy dan Swahili mendapati bahawa bahasa yang digunakan oleh mereka sebenarnya lebih banyak mendekati bahasa Melayu , Dayak Maayan serta bahasa Bajau dan Bugis dengan sedikit pengaruh bahasa Jawa.
Jadi andaian saya adalah para pelaut yang pergi berdagang atau membuka koloni di Afrika timur dan Madagaskar ini adalah dari suku ‘Orang Laut’. Kita memang tahu bahawa kekuatan kerajaan Srivijaya adalah dengan adanya Orang Laut dan antara suku Orang Laut yang terkenal adalah Bajau dan Bugis.
Menurut pengkaji sejarah Bajau, sebelum orang-orang Bajau berhijrah ke kawasan perairan Sabah, Sarawak dan kepulauan Filipina mereka adalah berasal dari kawasan perairan selat Melaka terutama sekitar Johor. Mereka mempunyai kaitan dengan suku Seletar yang masih ada di Johor hingga sekarang. Sudah pasti mereka inilah yang telah dihantar oleh Maharaja-maharaja Srivijaya untuk membuka koloni di Madagaskar dan Afrika Timur.
Antara bukti kaitan suku Bajau dan Bugis dengan Afrika adalah terdapatnya persamaan diantara perahu orang Swahili dengan perahu bercandik Bajau dan Bugis. perkataan Kiswahili untuk candik pada perahu adalah tengo, tengotengo, atau rengo. Dalam bahasa bugis ianya dipanggil baratang dan dalam bahasa Makassar penyambung candik tersebut dipanggil tenko. Manakala dalam bahasa Bajau ia disebut tetenkona. Di timur Indonesia perahu bercandik dua biasanya dipanggil tango. Semua perkaitan ini memberikan petunjuk bahawa berkemungkinan orang Bajau/Bugis/Makasar lah atau ‘Orang Laut’ yang membuka koloni di Afrika timur.
Selain itu ada pengkaji yang membuat andaian bahawa suku Bajun yang terdapat di sekitar perairan Somalia mempunyai kaitan dengan orang Bajau. Dari segi Linguistik pula Dahl dan Alexander Adelaar telah membuat kesimpulan bahawa masyarakat proto-Malagasy pernah tinggal atau berasal sekitar Pulau Bangka yang terletak di selat Melaka dan berdekatan dengan pantai timur Sumatera dimana pernah wujudnya salah satu pusat kerajaan Srivijaya. Mereka berpendapat Masyarakat orang laut inilah yang mula-mula membuka koloni di Madagaskar dan Afrika Timur. Kenyataan mereka ini sesuai dengan pendapat saya tadi iaitu para pelaut tersebut sudah pasti adalah dari golongan ‘Orang Laut’ yang menjadi tunggak penting kerajaan-kerajaan maritim di sekitar selat Melaka.
Para pedagang dan pelaut Nusantara ini juga meninggalkan banyak jejak kebudayaan mereka yang masih boleh dilihat hingga kini di seluruh Afrika. Diantara kesan-kesan yang ditinggalkan oleh mereka adalah dari segi kebudayaan muzik iaitu alat-alat muzik mereka.
Salah satu daripada alat muzik yang dibawa oleh pelaut Melayu Nusantara adalah Xylophone. Selain itu sejenis alat muzik yang dinamakan sebagai penpipes dari suku kaum Ngungwe dari Zambezi juga dikatakan diperkenalkan oleh pelaut Nusantara. Distribusi alat muzik penpipes ini adalah sangat spesifik.
Alat muzik ini dari segi morphologi dan musikologinya mempunyai persamaan yang sangat rapat dengan alat yang dimainkan di Borneo dan Pulau Jawa. Oleh sebab itu terdapat dikalangan para pengkaji budaya Afrika berandaian bahawa ia dibawa masuk oleh para pelaut Nusantara.
Dalam bukunya, Hugh Tracey telah menulis bahawa sekitar 1500 Masihi, suku kaum Chopi iaitu pemain alat muzik Xylophone terbaik di Afrika telah berpecah dari kaum Karanga, iaitu satu pecahan daripada suku kuno yang dipercayai penghuni The Great Zimbabwe. Kaitan diantara suku Chopi dengan The Great Zimbabwe ini dipercayai menguatkan lagi kaitan atau bukti bahawa alat muzik tersebut adalah datang dari Nusantara. Hal ini kerana The Great Zimbabwe dipercayai adalah salah sebuah tapak peradaban kuno yang telah lenyap yang diasaskan oleh bangsa Zanj atau Nusantara yang bersemenda dengan masyarakat setempat.
Apa yang menyebabkan sebahagian dariapda pengkaji beranggapan bahawa binaan batu yang terdapat di great Zimbabwe adalah binaan dari orang luar ialah kerana teknologi binaan batuan sebegitu adalah asing bagi masyarakat Afrika Timur pada zaman tersebut.
Malah terdapat pengkaji yang mengaitkan binaan tersebut dengan binaan rumah ibadat agama kuno kaum Malagasy di Madagaskar. Selain di Afrika timur orang Nusantara juga mempengaruhi alatan muzik bagi masyarakat Afrika barat. Antara alat muziknya adalah seperti Ekere Mba dari puak Igbo yang mempunyai persamaan dengan alat muzik Melayu segenting kra atau Mon dan Thai iaitu Kong Tok.
Kenyataan daripada Raymond Kent mengukuhkan lagi pendapat bahawa berkemungkinan besar memang wujud bangsa Zanj yang merupakan percampuran darah diantara suku-suku tempatan Afrika dengan orang-orang Nusantara.
Menurut beliau, sudah tentu pada abad-abad pertama masihi terdapatnya satu bangsa Afro-Malagasy yang mendiami kedua-dua belah pantai yang menghadap ke selat Mozambiq yang pada zaman itu adalah sebuah laluan perhubungan diantara dua daratan tersebut.
Selain itu terdapatnya perkaitan diantara kepercayaan tradisional di sekitar great Zimbabwe dengan kepercayaan tradisional masyarakat Malagasy yang mengukuhkan lagi dakwaan bahawa pada zaman kuno orang Malagasylah yang menguasai pantai timur Afrika. Antara buktinya adalah dengan terdapatnya banyak menara-menara berbentuk silinder di sekitar great Zimbabwe serta ukiran-ukiran batuan kecil yang berbentuk phallic iaitu bentuk kemaluan lelaki.
Dalam masyarakat Malagasy sememangnya terdapat pemujaan terhadap kemaluan lelaki yang dilakukan oleh puak Betsileo. Batuan yang diukir membentuk kemaluan lelaki ini biasanya dipanggil sebagai Vatolahy (Batu Laki). Malahan G.W.B Huntingford seorang ahli etnografi berpendapat bahawa simbol-simbol pelir atau kemaluan lelaki itu adalah berasal dari Asia Tenggara atau Nusantara. Beliau juga mengemukakan pendapatnya bahawa pengaruh Nusantara juga meluas hingga ke selatan semenanjung tanah Arab malah hingga ke Abbysinia kerana hagiolit yang terdapat di sana mempunyai persamaan dengan yang ada di Asia Tenggara.
Tambahan lagi, ada juga peresamaan pada seni ukiran patung yang dimiliki suku kaum Ife di Nigeria dengan patung dan relief perahu yang terpahat di Nusantara atau di candi Borobudur. Beberapa tanaman yang diketahui berasal dari Nusantara juga didapati telah dibawa bersama para penghijrah Nusantara ke sana, seperti pisang raja, ubi jalar, keladi, Kelapa, Padi sawah dan jagung.
Menurut penelitian George Murdock, seorang profesor dari Amerika pada 1959, tanaman-tanaman tersebut telah dibawa orang-orang Nusantara ketika melakukan pelayaran dan membuka koloni ke Madagaskar. Sebagai contohnya di Yorubaland telah ditemui sebuah jubin lantai yang mempunyai terapan atau ukiran puntung Jagung. Seperti yang kita sedia maklum Jagung bukanlah tanaman asli Afrika, ia berasal daripada benua Amerika. Oleh itu terdapat kemungkinan besar bahawa ia telah diperkenalkan oleh para pelaut Nusantara melalui hubungan mereka dengan benua Amerika.
Sebenarnya ada banyak lagi kesan atau jejak yang ditinggalkan oleh masyarakat Nusantara dalam budaya dan kehidupan masyarakat di Madagaskar, Afrika Timur dan Afrika Barat. Bangsa yang layak digelar sebagai Viking Timur ini telah membawa bersama mereka ke Benua Afrika yang kaya dengan emas pelbagai jenis tumbuhan, muzik dan alatannya, kesenian, teknologi, barangan perhiasan, tembikar,manik, penyakit, kepercayaan dan agama malah amalan dan cara menilik. Kesemua unsur-unsur kebudayaan yang dibawa mereka ini akhirnya diserap oleh masyarakat tempatan. Adalah tidak keterlalauan sekiranya saya mengatakan jika tiadanya pengaruh kebudayaan Nusantara yang datang melalui para pedagang dan pelaut Melayu Nusantara ini sudah pasti keadaan Afrika pada masa kini adalah sangat-sangat berbeza.
Bacaan Lanjut:
- D. Sopher. The Sea Nomads, A study of the Maritime Boat People of Southeast Asia. 1965 Nat. Mus. Of Singapore. 1977.
- A.M. Jones Africa and Indonesia. Leiden. 1970
- The phantom voyagers: evidence of Indonesian settlement in Africa in ancient times. Robert Dick-Read.2005.
Copy and paste:
4/12/2024 - 1.57 p.m
No comments:
Post a Comment