Tuesday, 15 April 2025

TINGGAL KENANGAN (BHG 1)

AMPANG PARK
Ampang Park, pusat membeli belah yang pertama di Kuala Lumpur mula beroperasi sejak 1973. Ampang Park banyak meninggalkan kenangan manis bagi diri saya yang membesar di Kuala Lumpur. Sekitar akhir 70 an dulu, Komplek ini menjadi tempat lepak saya dan kawan-kawan sekolah ketika hari cuti dan hari minggu. 




Ketika bekerja di Yayasan Jantung Malaysia di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, setiap kali pulang dari membuat Pemeriksaan Kesihatan yang dijalankan di seluruh negeri di Malaysia, saya dan rakan pasti akan ke Ampang Park untuk mencuci foto-foto yang diambil semasa event disebuah kedai foto di Ampang Park yang terletak disebelah Maybank Ampang Park. 

Sekali sekala saya dan keluarga akan lepak-lepak di Ampang Park diwaktu cuti atau hujung minggu. 





Kenangan paling sayu ialah pada 1 Januari 2018, saya dan isteri berkunjung ke Ampang Park buat kali terakhir sebelum ianya dirobohkan. Komplek ini telah ditutup sepenuhnya pada 31 Disember 2017. Itulah kenangan terakhir kami di Ampang Park. 




Disini dulu saya selalu menikmati Nasi Lemak dan roti bakar


MIMALAND
Taman Rekreasi yang pernah popular tahun 70'an dahulu dibina dalam tahun 1971. Nama MIMALAND berasal dari singkatan "Malaysia in Miniature Land" dibina di Ulu Gombak.
Namun satu tragedi yang meragut nyawa berlaka Januari 1993 menyebabkan kematian warga Singapura telah memaksa Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat. Namun akhirnya ianya terpaksa ditutup terus pada Mei 1994 selepas berlaku kejadian tanah runtuh. 



PASARAYA CARREFOUR


PASARAYA CAREFFOUR WANGSA MAJU SEKSYEN 5, KUALA LUMPUR (2011).

Carrefour SA (Malaysia) Sdn Bhd adalah rangkaian pasaraya ditubuhkan di Perancis, diasaskan oleh Marcel Fourmier dan Denis Deffoey manakala saham terbesar sehingga kini adalah milik Jose Louis Duran. 
Hypermarket Carrefour yang pertama dibuka pada 15 Jun 1963 di Sainte-Genevieve-des-Bois berdekatan Paris, Perancis. 
Di Malaysia, Carrefour pertama dibuka pada 1994 di Subang Jaya, Selangor berhampiran stesen Komuter dan Subang Parade. 
Pada 1 November 2012, AEON Co. Ltd dari Jepun telah mengambilalih Carrefour dan dijenamakan sebagai "AEON BIG". 

Pasaraya AEON Big, Wangsa Maju, Seksyen 5, K.L

Pasaraya Carrefour Wanga Maju kelihatan dari Stesen Minyak Shell

HANKYU JAYA
Sebuah Gedung Membeli-belah Jepun yang dimiliki oleh Hankyu Hanshin Department Store Incorporated, dibuka di Malaysia pada 1980-an sebagai Hankyu Jaya, ditubuhkan pada Mac 1984 sebagai Hanky ​​Jaya Holdings Berhad.
Dulu saya selalu juga pergi ke Hankyu Jaya seberang Ampang Park untuk renew Road Tax. Tak ingat bila ianya ditutup.


PASARAYA MAKRO CASH & CARRY
Pasaraya Makro pertama dibuka di Shah Alam Selangor pada tahun 1993. Setelah beroperasi selama 13 tahun Makro akhirnya diambil alih oleh Tesco Malaysia pada 6 Disember 2006.


TESCO STORES (MALAYSIA) SDN BHD
Tesco adalah merupakan rangkaian perniagaan runcit berasal dari England. Berdasarkan rekod sejarah, pemilik pertama TESCO ialah Jack Cohen. 
TESCO pertama dibuka pada tahun 1929 di Burnt Oak, Edgware, London. Manakala di Malaysia, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd ditubuhkan pda 29 November 2001, atas perkongsian antara Tesco Pic (UK) dan Sime Darby Berhad. Pasaraya pertama Tesco dibuka di Puchong, Selangor pada Februari 2002.
Pada Disember 2006, Tesco telah membeli kesemua saham Makro Cash & Carry di Malaysia dan seterusnya menukar nama kepada Tesco Extra. 


Pada Mac 2020, Tesco telah bersetuju untuk menjual operasi Asia Tenggara syarikat itu kepada konglomerat Thailand iaitu Charoen Pokphang (CP Group).
Tesco Malaysia dijenamakan semula kepada Lotus's Malaysia. 


ESSO MALAYSIA BERHAD
Esso ialah nama dagangan untuk ExxonMobil. Standard Oil of New Jersey mula memasarkan produknya di bawah jenama Esso pada tahun 1926.
Pada Januari 2013, Esso Malaysia Berhad secara rasmi ditukar nama kepada Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd.



STESEN MINYAK PROJET
Dimiliki oleh ConocoPhillips dan Sime Darby, rangkaian itu, dibentuk pada tahun 1999.
Pada tahun 2005, Projet menyewa kedai serbanekanya kepada 7-Eleven untuk mengendalikan kedai 24 jam.
Pada tahun 2007, semua Stesen ProJET telah diubah suai menjadi Stesen Shell. Saya sering mengisi kereta saya di stesen Projet di Wangsa Maju, Seksyen 5 dan adakalanya bersarapan pagi di Stesen Projet di Gombak menuju ke Lebuhraya Karak. 



KEDAI RAKYAT 1 MALAYSIA
Masih ingat lagi tak Kedai Rakyat 1 Malaysia?
Kedai yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Tun Razak pada tahun 2011.Kedai ini menjadi medium untuk mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli barang keperluan yang telah lama didominasikan oleh pengilang-pengilang multinasional. Sepanjang beroperasi saya hanya pernah sekali saja beli barang di kedai 1 Malaysia di Wangsa Maju, KL. Saya agak kecewa kerana kualitinya tidak berapa baik, selepas itu saya tidak pernah lagi beli barang keperluan di kedai ini. 
Kedai ini akhirnya mula ditutup secara berperingkat pada tahun 2017. 


ZAITUN BERHAD
Masih ingatkah produk Zaitun yang pernah popular sekitar 80 an dan 90 an dahulu?
Zaitun Industri diasaskan oleh Dato Seri Hj Mohammad Eusuff Teh, seorang doktor perubatan Homeopathi,  dengan mengambil sempena nama anak perempuan beliau pada tahun 1978. Produk Zaitun menjadi perintis produk halal muslim dengan slogan halal "Gunakan tanpa was-was". 
Dato Seri Hj Mohammad Eusuff Teh kembali ke Rahmahullah pada tahun 2003. Zaitun Industri telah dinyahsenarai dari KLSE pada 16 Jun 2003 dan berakhirlah industri Zaitun selepas itu..


PORTABLE WATER HEATER
Siapa pernah guna Portable Water Heater ini?
Ketika zaman bujang dahulu sekitar 80 an dan 90 an, Portable Water heater ini pasti dimiliki oleh orang-orang bujang. Gunanya untuk memasak air buat minuman dan juga memasak Maggi Segera. 
Cukup mudah nak guna, isi air dalam Jug kemudian masukan Portable Water Heater dan on kan suisnya... tunggu hingga air menggelegak.... baru boleh buat kopi atau masak Mee Segera Maggi. 


PENJARA PUDU
Penjara Pudu dibina pada tahun 1891 di bekas tanah Perkuburan Cina. Gabenor pertama Penjara Pudu ialah Lt.Col. J.A.B. Ellen.
Banyak sejarah mengenai Penjara Pudu ini, antara yang pernah digantung di sini ialah Botak Chin seorang penjenayah terkenal di Kuala Lumpur akhir 70 an dulu. Beliau digantung pada 11 Jun 1981.
Pada 1986 Kevin Barlow dan Brian Chambers 2 warganegara Australia telah dihukum gantung di Penjara Pudu kerana mengedar heroin. Pada 1989, Derrick Gregory, seorang warga Britain juga dihukum gantung kerana mengedar heroin.
Penjara Pudu ditutup dengan rasminya pada 1996 setelah beroperasi selama 101 tahun. Pernah dibuka kepada orang awam pada 1997 sebelum ianya dirobohkan pada tahun 2012.
Saya sempat mengambil foto kenangan Penjara Pudu sebelum dirobohkan dari bilik hotel saya iaitu bilik 38-04 di Berjaya Times Square Hotel pada 21 Mei 2006 ketika mengendalikan  Seminar 11th Asian Congress of Fluid Mechanics dari 22-25 Mei 2006. 




Rujukan

MALACCA PARADISE VILLAGE
Resort ini yang popular sekitar 90 an dulu dikatakan telah ditinggalkan terbiar hampir 20 tahun. Seperti biasa setiap tempat yang ditinggalkan terbiar pasti ada sejarah dan misteri yang terungkap. 
Saya bersama keluarga pernah menginap di resort ini pada tahun 1998 sewaktu kami bercuti dan berlibur di sekitar bandar Melaka. Kini yang tinggal hanyalah sebuah kenangan yang bermain di ingatan.







HIGHLAND TOWERS
Blok Menara 1 Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang, Selangor runtuh pada 11 Disember 1993. 48 nyawa terkorban akibat dari runtuhan itu. 
Kompleks Kondominium dibina pada tahun 1974 dan 1982 di dasar barat bukit bercerun curam. 
Antara mangsa yang terkorban ialah anak kepada Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam iaitu Carlos Abdul Rashid dan isterinya Rosina Datuk Abu Bakar. 



FLAT PEKELILING
Flat Jalan Pekeliling (Kini Jalan Tun Razak) antara yang terawal dibina di Kuala Lumpur pada sekitar tahun 1967.
Antara kenangan saya ialah ketika bekerja di Coopers & Lybrand di Jalan Kampar yang tidak jauh dari Flat ini pada tahun 1996-97, saya sering lalu di hadapan flat ini untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid berdekatan flat ini.... masjid ini pun telah dirobohkan...bersama dengan Flat Pekeliling sekitar tahun 2015....
Flat ini juga pernah jadi quarters Pasukan Polis Hutan Markas Briged Tengah sekitar tahun 70 an..dan pernah berlaku tragedi menyayat hati ketika flat ini yang menjadi kuarters Pasukan Polis Hutan dimana pada 3 September 1975 (saya di tingkatan 2) 2 orang lelaki menaiki motosikal meleparkan 4 butir bom tangan (dipercayai komunis) menyebabkan 2 anggota Polis terkorban iaitu Konst. Yusof Abdul Rahman dan Konst. Abdul Hamid Mahmud....
Namun, penyerang yang melarikan diri itu akhirnya berjaya diberkas selepas Ops Kesan dilancarkan oleh Pasukan Polis Hutan (PPH) secara besar-besaran di kampung itu.
Kini yang tinggal hanyalah kenangan.....



BANGUNAN LEE RUBBER, GOMBAK
Inilah dia Kilang Lee Rubber yang sekarangnya tapak Ong Tai Kim Medan Idaman. Agak-agaknya gambar tahun bila ni?
Dengar cerita otai-otai yang hidup zaman tuh, sampai ke hari ni masih teringat bau harum semerbak dia macamana. Saya antara yang pasti ingat tentang bau itu kerana sekolah saya terletak beberapa meter saja dari sini iaitu SRJK (Inggeris) Gombak 2, Kuala Lumpur. Saya bersekolah dari tahun 1968 sehingga 1973.
Sekarang bangunan ini sudah tiada lagi, yang tinggal hanyalah kenangan semata-mata.


STESEN KERETAPI GEMAS
Stesen Keretapi Gemas adalah penting kerana ia menghubungkan laluan utara, Barat, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Stesen keretapi Lama Gemas banyak meninggalkan kenangan buat saya. Ketika bertugas di Woodlands, Singapura tahun 80 an, pernah menaiki keretapi dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Keretapi akan berhenti lama di Stesen Gemas, sampai boleh keluar jalan jalan sekejap berhampiran stesen.
Antara kenangan yang paling saya tak boleh lupa ialah budak-budak yang menjaja Teh Tarik Panas dalam Tin Susu dan Nasi Lemak bungkus. Teh tarik dalam tin susu itulah paling diingati, panas-panas lagi teh dia.... masih terngiang-ngian dalam ingat saya laungan budak penjaja itu ..."teh tarik....nasi lemak...karip panas"...
Kini semua itu tinggal kenangan .... stesen keretapi Gemas sudah berwajah baru, kali terakhir saya singgah di Stesen Keretapi Gemas ini ialah pada tahun 2017 menaiki tren laju ETS dari KL ke Gemas. Dari Gemas tukar tren lama ke Johor Bahru. Saya ketika itu hendak ke Singapura bersama 2 orang kakak saya untuk menziarahi bapai saudara saya di Clementi Avenue, Singapura..
Semasa Program Kesihatan di FELDA Palong di Gemas, saya dan rakan sekerja pernah singgah makan di Kantin Stesen Keretapi Gemas Lama yang masih lagi beroperasi ketika itu tahun 2017 / 2018... tak tahulah sekarang....








LAIN-LAIN BACAAN/ RUJUKAN:

Latest Update:
10/4/2025: 7.51 p.m

Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, K.L















No comments: