SUNGGUH tidak terasa masa berjalan dengan begitu cepat, kini kita telah meninggalkan bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir bagi tahun 1443Hijrah dan telah memasuki bulan Muharram bagi tahun 1444 Hijrah. Bulan Muharram ialah bulan pertama dalam kalender Islam atau Taqwim Hijrah. Allah Subhanahu Wata’ala telah menjadikan bulan Muharram sebagai salah satu dari empat bulan haram atau bulan yang dimuliakan dan diagungkan oleh Allah. Pada bulan ini, manusia dilarang keras melakukan pembunuhan, kemungkaran dan maksiat. Allah Subhanahu Wata’ala telah perintahkan supaya menghormati bulan-bulan haram tersebut dan meninggalkan segala perbuatan maksiat dan larangan-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At-Taubah ayat 36 yang tafsir-Nya :
”Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan (qamariah) dalam kitab (ketetapan) Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Yang demikian itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).”
Empat bulan yang dihormati (bulan Haram) itu ialah Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah sebagaimana dihuraikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abu Bakrah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
”Sesungguhnya zaman itu berputar semenjak mula-mula Allah menciptakan langit dan bumi, setahun mengandungi dua belas bulan, daripadanya empat bulan haram, tiga daripadanya bulan itu berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan, iaitu Rejab di antara Jamadilakhir dan Syaa’ban.”
Muharram ertinya diharamkan. Pada bulan ini, umat Islam digalakkan untuk melakukan berbagai macam ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya ganjaran pahala bagi mereka yang beramal ibadat di bulan ini adalah sangat besar sebaliknya jika melakukan maksiat di bulan ini akan mendatangkan dosa yang besar.
Dalam bulan Muharram ini umat Islam juga sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan berpuasa. Puasa paling utama di bulan ini ialah puasa pada hari ‘Asyura, iaitu puasa pada hari kesepuluh Muharram. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri berpuasa pada hari tersebut sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau telah berkata :
”Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi melakukan puasa Asyura. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepada mereka : ”Mengapa kamu melakukan puasa pada hari itu?” Mereka menjawab : Ini adalah hari baik, yang mana pada hari ini Allah Subhanahu Wata’ala menyelamatkan Nabi Musa ‘alaihissalam dan Bani Israil daripada musuh mereka, oleh kerana itu Nabi Musa ‘alaihissalam melakukan puasa pada hari ini.” Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ”Sesungguhnya kami lebih berhak terhadap Nabi Musa ‘alaihissalam dibandingkan kalian.” Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan kaum Muslimin untuk berpuasa pada hari itu.
Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini juga berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau telah berkata :
”Aku tidak melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan.”
Dalam hadis lain diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ia berkata :
”Kaum Quraish pada masa Jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura dan Rasulullah Sallallahu AlaihiWasallam juga berpuasa pada hari itu. Maka ketika Baginda telah tiba di Madinah maka Baginda tetap mengerjakannya dan memerintahkan umatnya untuk berpuasa. Apabila puasa Ramadan telah diwajibkan Baginda pun meninggalkan (kewajiban) puasa ‘Asyura, lalu bersabda, ”Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya.”
Hal ini juga disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma ia berkata :
”Bahawa kaum Jahiliyah dulu berpuasa ‘Asyura dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum Muslimin juga berpuasa sebelum diwajibkan puasa Ramadan, Baginda bersabda : ”Sesungguhnya hari ‘Asyura termasuk hari-hari Allah, barangsiapa ingin maka berpuasalah dan siapa yang ingin meninggalkan maka boleh.”
Daripada hadis-hadis di atas dapat difahami bahawa hukum berpuasa pada hari ‘Asyura adalah disunatkan bukannya satu kewajipan. Ini kerana puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan. Apabila difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun puasa pada hari ‘Asyura tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.
Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan pahala yang besar sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Qatadah berkata yang maksudnya :
”Berpuasa pada hari ‘Asyura akan termasuk dalam hitungan Allah bahawa puasa itu akan menutup dosa setahun sebelumnya.”
Amatlah rugi kepada sesiapa yang tidak mengambil peluang berpuasa pada hari tersebut kerana kelebihannya sangat besar. Maka itu manfaatkanlah kelebihan yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini. Jangan jadikan pelbagai alasan untuk mengabaikannya.
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya, iaitu pada 9 Muharram atau sehari selepasnya, iaitu pada 11 Muharram bagi membezakan antara puasa kaum Muslimin dengan kaum Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Asyura tersebut. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma ia berkata :
”Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan untuk puasa pada hari ‘Asyura para sahabat berkata : ”Itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, lalu RasulullahSallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ”Jika datang tahun depan insyaaAllah kita akan berpuasa hari kesembilan akan tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meninggal pada tahun tersebut.”
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
”Puasalah pada hari ‘Asyura, dan berbezalah dengan Yahudi dalam masalah ini, berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.”
Secara umum, berpuasa pada bulan Muharram dapat dilakukan dengan beberapa pilihan. Pertama, berpuasa tiga hari, pada hari ‘Asyura diikuti sehari sebelum dan sesudahnya, iaitu puasa pada 9, 10 dan 11 Muharram. Kedua, berpuasa pada hari ‘Asyura dan sehari sesudah atau sebelumnya, iaitu puasa pada 9 dan 10, atau 10 dan 11. Ketiga, puasa pada 10 atau pada hari ‘Asyura sahaja.
Berpuasa di bulan Muharram tidak hanya disunatkan berpuasa pada 10 Muharram sahaja tetapi berpuasa penuh di sepanjang bulan Muharram adalah juga sangat digalakkan kerana ianya adalah sebaik-baik ibadah puasa setelah puasa bulan Ramadan sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
”Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah puasa di bulan Allah, iaitu bulan Muharram. Dan sembahyang yang paling utama setelah sembahyang wajib adalah sembahyang malam.”
Oleh itu, marilah kita merebut peluang kelebihan yang ada di bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat khususnya pada pada hari ke-10 Muharram agar segala dosa-dosa kita akan dihapuskan. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Muharram ini khususnya pada hari Asyura’ maka dia telah menyempurnakan satu sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu berpuasa pada bulan haram.
Bulan Muharram merupakan bulan kebaikan, maka isilah bulan ini dengan amalan-amalan soleh dengan melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala supaya kita menjadi hamba-hamba-Nya yang mendapatkan keredaan-Nya. Semoga Allah merahmati dan memberi petunjuk kepada kita agar dapat berpuasa pada hari ‘Asyura serta membimbing kita ke jalan yang diredai-Nya.
Copy and paste: 29/7/2022 > 29 Zulhijjah 1443H: 5.27 pm
No comments:
Post a Comment