OLEH : USTAZAH ASMA' HARUN
Semua orang mengimpikan keluarga yang bahagia, namun hakikatnya ada yang diuji dengan suami, isteri, anak-anak, Ibu Bapa, mertua, jiran tetangga, kawan-kawan atau orang luar yang menjadi asbab ujian rumah tangga.
Setiap dugaan pasti ada jalan keluar, namun bila diri dikuasai nafsu, fikiran menjadi kabur. Kadang yang benar dilihat salah, kadang KERANA EGO kita gadaikan perdamaian lalu memilih untuk menangkan diri sendiri. Allahu Akbar.
Nafsu inilah yang perlu dikawal dan dipimpin mengikut syariat agar tidak tersasar jauh. Bahkan Rasulullah SAW menyebutkan ia sebagai jihad yang besar. Baginda bersabda:
الْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ
Maksudnya: "Mujahid adalah orang yang boleh melawan dirinya sendiri."
(HR Tirmidzi, hadis sahih)
Percayalah andai NAFSU dapat dikawal, pasti rumah tangga dilimpahi berkah. Maka wujudlah sebuah mahligai sakinah, dihuni oleh suami isteri dan anak-anak yang syukur dan qana’ah.
Sahabat semua, terdapat 4 jenis nafsu manusia yang disebutkan di dalam Al-Quran :
1) NAFSU LAWWAMAH
Nafsu Lawwamah merupakan nafsu yang mencela diri sendiri apabila melakukan kesilapan, maka nafsu ini ada baiknya dalam diri kita bagi mengimbangi diri apabila telah melakukan banyak dosa dan maksiat.
Firman Allah SWT:
وَلَاۤ اُقۡسِمُ بِالنَّفۡسِ اللَّوَّامَةِؕ
Maksudnya: “Dan aku bersumpah dengan nafsu Lawwamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati!)
(Surah Al-Qiyamah: 2)
Dalam rumah tangga, apabila suami atau isteri tidak amanah dengan tanggungjawab masing-masing, maka ia akan buatkan kita sedar akan kesalahan yang dilakukan.
2) NAFSU AMMARAH
Manusia tak mampu mengawal diri dan nafsu sehingga kadang tertunduk kepada syahwat dan godaan syaitan. Nafsu inilah yang membawa kepada tingkah laku buruk dan bakal menyakiti orang lain sekiranya tak dikawal dengan baik. Firman Allah SWT:-
وَمَآ اُبَرِّئُ نَفْسِيْۚ اِنَّ النَّفْسَ لَاَمَّارَةٌ ۢ بِالسُّوْۤءِ اِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّيْۗ اِنَّ رَبِّيْ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ
Maksudnya: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku, (maka terselamatlah ia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha mengasihani.”
(Surah Yusuf: 53)
Jika nafsu ini tidak dikawal dengan baik, maka jadilah seperti kes suami pukul isteri, Ibu Bapa mendera anak-anak, Ibu Bapa dipukul oleh anak sendiri, dll kejadian yang sangat memilukan.
3) NAFSU MUTMAINNAH
Mutmainnah ialah nafsu yang tenang. Kita akan rasa tenteram daripada ibadah yang dilakukan ikhlas kerana-Nya. Apabila suami isteri jelas dan sama-sama usaha untuk membina rumah tangga untuk mencapai matlamat Syurga, maka melihat wajah pasangan pun sudah menenangkan jiwa.
Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَئِنَّةُ ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرۡضِيَّةً فَٱدۡخُلِى فِى عِبَٰدِى وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى
Maksudnya: “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang diberikan lagi diredai di sisi Tuhanmu! ‘’
(Surah Al-Fajr: 27- 30)
4) NAFSU FUJUR DAN NAFSU TAKWA
Nafsu Fujur merupakan nafsu jahat pada diri manusia. Ia terhasil daripada didikan, bimbingan dan pengaruh persekitaran yang mempengaruhi seseorang, manakala Nafsu Takwa merupakan nafsu baik, dibentuk melalui faktor yang sama. Firman Allah SWT:-
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (7) فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ( 8 )
Maksudnya: “Demi diri manusia dan yag menyempurna kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). (7) Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketakwaan.”( 8 )
(Surah Asy-Syam: 7-8 )
Sebab itulah Ibu Bapa sangat penting dalam membentuk anak-anak menjadi manusia berguna di masa hadapan kelak. Kerana dari kecil hingga dewasa, Ibu Bapa akan menjadi contoh teladan sama ada melalui didikan atau pemerhatian anak.
Allahu Akbar, memang benar kehidupan manusia banyak dipengaruhi oleh akal. Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu ini adalah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT.
Semoga kita semua direzekikan rumah tangga yang barakah dan bahagia di samping keluarga tercinta, insyaAllah.
Asma’ binti Harun
-------------------------------------------------------------------
Buat yang berminat untuk dapatkan buku terbaharu; "Ensiklopedia Keluarga Bahagia" jemput tekan link di bawah
:
SHOPEE:
Copy and paste: 23 Julai 2022 : 23 Zulhijjah 1443H: 10.58 am
No comments:
Post a Comment