Saturday, 23 July 2022

BOLEH ATAU TIDAK MENGHANTAR MAKANAN TIDAK HALAL SEPERTI ARAK ATAU DAGING KHINZIR?

OLEH: USTAZAH ASMA' HARUN

SOALAN:
"Assalamualaikum. Ustazah, saya bekerja sebagai penghantar makanan (rider). Adakalanya, saya dapat pesanan makanan tidak halal seperti arak dan daging khinzir. Boleh ustazah jelaskan hukumnya?"
JAWAPAN:
Waalaikumussalam w.b.t. SubhanAllah, terima kasih di atas soalan yang diajukan, dan terima kasih juga diucapkan kepada semua penghantar makanan atas perkhidmatan yang sangat baik, walau pekerjaan tersebut berisiko.
Tidak dinafikan, penghantaran makanan secara atas talian hari ini amat popular kerana ia bukan saja dapat jimatkan masa bahkan memudahkan urusan.
Penghantar makanan ini juga dijadikan kerjaya sepenuh masa atau sampingan bagi menambah pendapatan keluarga. Namun, timbul persoalan, bolehkah sekiranya seseorang itu menghantar makanan yang jelas tidak halal seperti arak dan babi?

Pengharaman Arak
Pengharaman arak merupakan perkara yang qat’ie (jelas) dan wajib diambil berat dalam kehidupan seharian. Ini kerana terdapat dalil pengharaman yang khusus seperti firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Maidah: 90)
Selain itu, pengharaman arak juga termasuklah golongan yang terlibat seperti orang yang membuat, menghantar dan menjual arak. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a., beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
Seseorang yang bekerja sebagai penghantar barang dan sifat pekerjaannya itu adalah umum serta tidak bertujuan jahat, maka hasil pendapatan yang diperolehi itu adalah halal.
Namun, jumhur ulama seperti Imam al-Khatib al-Syarbini mengatakan bahawa haram bagi jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran sekiranya SEDAR/DIKETAHUI. Ia juga jatuh haram apabila terdapat sangkaan yang kuat akan tujuannya yang cenderung kepada perkara yang haram atau memang haram.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Janganlah kamu bertolongan dalam urusan dosa dan persengketaan.”
(Surah al-Maidah: 2)
Syeikh Zainuddin al-Malibari menukilkan dalam karyanya kitab Fathu al-Mu’in bi Syarhi Qurrati al-‘Ain. Beliau menyampaikan seperti berikut:
فَائِدَةٌ لَوْ أَخَذَ مِنْ غَيْرِهِ بِطَرِيقِ جَائِزٌ مَا ظَنَّ حَلُّهُ وَهُوَ حَرَامٌ بَاطِنًا فَإِنْ كَانَ ظَاهِرُ الْمَأْخُوْذُ مِنْهُ الْخَيْرِ لَمْ يُطَالِبُ فِي الْآخِرَةِ وَ إِلاَّ طُولَبَ قَالَهُ الْبَغَوِي
Maksudnya: "Sebuah faedah: Seandainya ada seseorang mengambil dari orang lain dengan cara yang baik, maka sesuatu yang disangkakan itu halal, walaupun ia adalah haram secara batin. Maka bila zahir barang tersebut adalah baik, maka ia tidak akan dituntut di akhirat. Namun, bila zahir barang tersebut tidak baik, maka sebagaimana pendapat al-Baghawi, maka ia kelak akan dituntut di akhirat."
Berdasarkan dalil-dalil di atas, sebarang jenis urusan jual beli yang melibatkan perkara yang diharamkan adalah haram kerana ia termasuk dalam larangan membantu perbuatan dosa dan persengketaan.
Walau bagaimanapun, jika masih belum berpeluang untuk bekerja dalam bidang atau perkhidmatan yang diyakini halal SETELAH MELAKUKAN PELBAGAI IKHTIAR , maka boleh mengamalkan pendapat mazhab Hanafi.
Mazhab tersebut menyatakan bahawa dibolehkan menghantar makanan yang tidak halal untuk mereka yang bukan Muslim dan petugas Muslim tersebut bukan secara langsung menghasilkan bahan-bahan tersebut, hanya sekadar menghantar sahaja.
Seterusnya, jika terdapat barangan sampingan ikutan (tabi’) yang haram, dan ia bukan tugas hakiki, maka hal itu dimaafkan. Contohnya; dia membawa penumpang teksi bukan Muslim yang membawa arak bersamanya. Maka, hal ini dimaafkan kerana tugasan asalnya adalah membawa penumpang, bukan membawa arak. Arak tersebut hanyalah sampingan ikutan atas yang asal (penumpang) sahaja.
Ini berdasarkan kaedah:
يُغْتَفَرُ فِي التَّوَابِعِ مَا لَا يُغْتَفَرُ فِي غَيْرِهَا
Maksudnya: “Dimaafkan pada perkara-perkara ikutan sampingan apa yang tidak maafkan pada selainnya.”
Ia sama seperti situasi bagi mereka yang menghantar makanan. Hukum asal bagi pekerjaan tersebut adalah harus. Akan tetapi, jika terdapat bahan atau kandungan sampingan yang haram, maka hukumnya adalah seperti hukum barangan sampingan ikutan (tabi’) tadi, ia dimaafkan.
Namun ada 3 keadaan yang perlu diambil perhatian jika pesanannya bercampur antara yang halal dan haram:
1. Jika jelas diketahui makanan/minuman yang halal melebihi yang haram, menurut Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan pendapatan itu halal kerana Nabi Muhammad SAW juga pernah berjual beli dengan orang musyrik dan ahli kitab dan harta mereka diketahui bercampur halal dan haram.
2. Jika diketahui makanan/minuman yang haram melebihi yang halal, menurut Imam Ahmad lebih baik dielakkan pendapatan yang diperoleh itu kecuali jika ianya sedikit atau sukar untuk diketahui.
3. Jika makanan/minuman yang halal dan haram tidak dapat dibezakan, pendapatannya tidak haram namun makruh mengambilnya. Imam Ibn Hajar al-Haithami menjelaskan bahawa Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menukilkan daripada Syeikh Abi Hamid dan beliau mengesahkannya bahawa makruh mengambil daripada orang yang ditangannya ada harta halal dan harta haram seperti pemimpin yang zalim dan berbeza tingkatan makruh sebagaimana kadar syubhah yang banyak.
Sebagai penutup, elakkan melakukan perkara syubhah dan berusaha untuk mencari pekerjaan yang diyakini halal, tidak bercampur perkara haram dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda:
فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ
Maksudnya: “Barang siapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”
(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Rumusan:
1. Harus bekerja sebagai penghantar makanan (rider) sekiranya barang dan sifat pekerjaannya umum dan tidak bertujuan jahat.
2. Haram jika dia mengetahui bahawa pekerjaannya jelas membawa kepada maksiat dan kemungkaran seperti arak, khinzir dan sebagainya walaupun ditujukan kepada orang bukan Muslim.
3. Haram baginya untuk menghantar sesuatu pesanan sekiranya dia mendapat sangkaan yang kuat (yakin) akan tujuan penggunaan pesanan tersebut membawa kepada perkara haram.
4. Dimaafkan jika terdapat barangan sampingan ikutan (tabi') yang haram sedangkan asal pekerjaannya adalah harus seperti menghantar pesanan makanan yang halal namun terdapat ramuan atau bahan haram yang digunakan dalam makanan tersebut.
5. Jika pesanan bercampur halal dan haram, perlu melihat kepada 3 perkara iaitu:
i. Jelas mengetahui makanan/minuman yang halal melebihi yang haram maka ia dianggap halal.
ii. Jelas mengetahui makanan/minuman yang haram melebihi yang halal maka ia perlu dielakkan menurut Imam Ahmad.
iii. Tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram maka hukumnya adalah makruh menurut Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.
Rujukan:
1. AL-KAFI #509: HUKUM BEKERJA DI KEDAI SERBANEKA YANG MENJUAL ARAK
2. AL-KAFI #1508: HUKUM BEKERJA DI SYARIKAT PENGEPOSAN YANG MELIBATKAN PENGHANTARAN ARAK
3. IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-170: PERSOALAN BERKENAAN UBER DAN UBEREATS
Asma’ binti Harun
Copy and paste> 23 Julai 2022 : 23 Zulhijjah 1443H: 10.41 am

No comments: