Saturday, 2 July 2022

Labbaikallah Humma Labbaik. Di Sebalik Lafaz Talbiah, Renungilah

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Talbiah yang dirindui ini sebenarnya adalah ucapan bagi menandakan kehadiran jemaah haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Namun, apakah maksud laungan talbiah?

Hukum Lafazan Talbiah

Lafazan ini hukumnya adalah sunat. Sunat dibaca para jemaah haji ketika berihram di tanah suci.

Maksud di sebalik laungan talbiah ini adalah menyahut seruan Allah SWT juga sebagai pembuka ucapan dan pengakuan, iltizam, komitmen perjanjian dengan Allah SWT.

Maksud Laungan Talbiah

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Lafaz talbiah ini adalah daripada hadis:

Hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Riwayat Muslim: 1184

Sunnah bertalbiah ini dimulakan dengan berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah sehingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengkiut amalan mana yang didahulukan bagi mengerjakan haji.

Hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلاَلِ وَالتَّلْبِيَةِ

Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah”

Riwayat al-Tirmizi (829)

Bagaimanakah Talbiah Dilaungkan?

Bagi jemaah haji lelaki mereka disunatkan untuk meninggikan suara. Tidak sunat bagi wanita untuk menyaringkan dan meninggikan suara.

Bacaan talbiah adalah berterusan, berulang-ulang sehingga bergema di seluruh tanah haram, tempat perkumpulan jemaah haji.

Firman Allah SWT:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Surah al-Hajj: 27

Adakah tidak membaca talbiah membatalkan haji?

Jawapannya tidak. Tetapi digalakkan oleh Nabi SAW dan dianggap sunat (mustahab).

Haji yang dilakukan tanpa talbiah tetap sah. Tetapi mereka tidak dapat pahala dan fadilat dari talbiah yang ditinggalkan berikut.

Daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A, bahawa Nabi SAW telah ditanya:

أَىُّ الْحَجِّ أَفْضَلُ قَالَ ‏ “‏ الْعَجُّ وَالثَّجُّ “‏

Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban”

Riwayat al-Tirmizi: 827

Sekian sahaja perkongsian kali ini. Harapnya para pembaca mendapat sedikit sebanyak info.

Sekiranya ada yang sedang membuat persiapan ke tanah suci bagi mengerjakan haji, kami doakan semoga haji anda mabrur.

Copy and paste: 2 Julai 2022 > 2 Zulhijjah 1443H: 7.50 am

No comments: