Sunday, 11 July 2021

Ekzema sukar dikawal

SUMBER : BH ONLINE

SAYA berusia 43 tahun. Sejak beberapa tahun lalu saya mengalami ekzema, iaitu kegatalan yang teruk pada muka, tangan dan beberapa bahagian badan. Ini merunsingkan saya.

Apakah rawatan terbaik mengatasinya.

Lydia Suhaiza
Pasir Gudang, Johor

Kerap kali kita mendengar masalah ekzema berlaku dalam kalangan kanak-kanak dengan kulit menjadi ruam merah, bengkak dan gatal berpanjangan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Bagaimanapun, jangan fikir masalah ini hanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak saja, sebaliknya orang dewasa juga boleh mengalaminya.

Ekzema merangkumi kumpulan penyakit kulit yang menyebabkan kegatalan dan kemerahan pada kulit. Ia bukanlah penyakit yang berjangkit kepada orang lain dan tiada ubat penyembuh, tetapi ia boleh dikawal dengan pengambilan ubat-ubatan dan rawatan khusus jika bertambah teruk.

Jenis ekzema

Ada beberapa jenis ekzema seperti atopic eczema, seborrheic eczema, statis eczema, dyshidrotic eczema, allergic contact dermatitis dan juvenile plantar dermatosis. Setiap jenisnya mempunyai ciri-ciri tersendiri. Dianggarkan 1:20 orang dewasa menghidap atopic eczema.

Tanda-tanda ekzema

Kulit kering

Rasa kegatalan dan kemerahan pada bahagian yang tertentu. Kulit menjadi luka dan berair apabila digaru. Kadang-kadang menimbulkan gelembung kecil berisi cecair di bawah permukaan kulit. Kulit menjadi tebal (lichenified), bersisik dan warnanya menjadi lebih gelap apabila kerap digaru.

Siapa yang berisiko?

Kerap berlaku dalam kalangan ahli keluarga penghidap ekzema, asma dan allergic rhinitis (resdung). Ini menunjukkan pengaruh faktor genetik sebagai penyebab ekzema.

Punca ekzema?

Punca sebenarnya masih belum dikenal pasti tetapi dipercayai membabitkan reaksi sistem imun yang overactive terhadap sesuatu penyebab iritasi kulit di persekitaran.

Ada juga sesetengah individu mendapat ekzema apabila terdedah kepada elemen persekitaran tertentu seperti bahan pencuci, bahan kimia, tumbuhan, binatang dan sebagainya. Malah, ia boleh menjadi teruk apabila sesetengah individu mengalami stres fizikal atau psikologi yang keterlaluan.

Bahagian badan yang dialami

Atopic eczema

Bahagian lipatan badan seperti pada lipatan lengan, belakang lutut dan tengkuk.

Sebirrheic eczema

Kulit kepala yang berkelemumur dan tompokan merah atau berair pada muka terutama dalam kalangan bayi.

Allergic contact dermatitis

Terjadi pada bahagian yang bersentuhan dengan bahan penyebab alahan. Contohnya, pada pergelangan tangan sekiranya seseorang alah kepada jam tangan (alahan kepada nikel), ketiak (alahan kepada pewangi dalam serbuk pencuci) dan sebagainya.

Dyhidrotic eczema

Bercirikan gelembung gatal berisi cecair di bawah permukaan kulit yang timbul di tangan dan kaki pesakit.

Discoid eczema

Bahagian lengan dan kaki, bercirikan plak berbentuk bulat yang gatal, tebal, merah, berair dan bersisik.

Statis Eczema

Pada bahagian kaki individu yang mengalami varicose veins, iaitu mempunyai salur darah vena yang timbul di kaki.

Jvenille Plantar Dermatoses

Pesakit mengalami kulit kering, bersisik dan merekah di tapak kaki sejak kanak-kanak atau remaja dan ia boleh berterusan hingga ke peringkat dewasa.

Kesan dan risiko penghidap ekzema

Kegatalan adalah masalah utama penghidap ekzema sehingga pesakit menggaru kulit sampai terluka. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman, sekali gus menjadikan ekzema sukar dikawal walaupun pesakit meneruskan rawatan ubat sapuan seperti biasa. Rasa gatal yang berterusan juga menjadikan seseorang tidak selesa, mengganggu tidur pada waktu malam dan merasa tertekan kerana tidak dapat menumpukan perhatian dan menjalankan aktiviti atau pekerjaan harian.

Sekiranya pesakit atau ibu bapa pesakit tidak faham mengenai penyakit atopic eczema, mereka sering merasa kecewa kerana penyakit ini berulang walaupun selepas mendapat rawatan.

Kaedah rawatan

Ia bergantung kepada teruk mana penyakit itu. Sekiranya penyakit itu hanya membabitkan kawasan yang sedikit, ia hanya dikawal dengan ubat sapuan saja. Rawatan fototerapi dengan menggunakan narrow band UVB juga berkesan bagi sesetengah pesakit.

Jika ekzema terlalu teruk pada permukaan kulit atau keseluruhan badan, rawatan perlu diberi dalam bentuk ubat suntikan atau pil. Antibiotik juga kerap diberi untuk mengawal jangkitan kuman yang berlaku akibat luka pada kulit.

Merawat kekeringan kulit

Mengamalkan penggunaan sabun yang lembut dan tidak mengeringkan kulit. Penggunaan pelembab amat penting terutamanya sejurus selepas mandi kerana pelembap perlu disapu ke atas kulit yang masih lembap.

Rawatan inflamasi

Ubat sapuan boleh digunakan untuk merawat inflamasi akibat kemerahan dan kegatalan. Ubat sapuan mengandungi steroid biasa digunakan untuk merawat ekzema. Penggunaan krim steroid dengan cara betul boleh mengelakkan sebarang komplikasi yang tidak diingini seperti menjadi tipis, cerah dan sebagainya.

Rawatan alternatif

Contohnya ubat herba. Tetapi anda perlu berhati-hati kerana ubat begini tidak telus dalam menyenaraikan bahan aktif rawatan dan mungkin juga mengandungi steroid berlebihan.

Langkah pencegahan

Pastikan anda mandi sejurus selepas berenang di kolam renang atau laut untuk membilas klorin atau garam yang boleh menyebabkan kekeringan dan kegatalan kulit.

  • Gunakan pelembap selepas mandi.
  • Elakkan situasi yang panas atau peluh yang berlebihan.https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/08/76158/ekzema-sukar-dikawal
  • Terus mandi terutamanya selepas menjalani aktiviti sukan, bersenam dan sebagainya.
  • Elakkan mengambil makanan yang boleh memburukkan lagi penyakit ekzema (berdasarkan pengalaman lepas atau ujian alergi darah atau kulit)
  • Elakkan penggunaan bahan yang kuat termasuk sabun, pencuci pinggan, pakaian dan sebagainya.

Pantang larang atau alahan

Amalan pantang makanan tertentu sering dipraktikkan tetapi ia tiada faedahnya sekiranya ekzema bukan berpunca daripada alahan kepada makanan. Bukan semua penghidap ekzema mempunyai alahan kepada makanan. Setiap individu adalah berbeza dan bukan semua pesakit ekzema perlu berpantang.

INFO:

Untuk mencegah ekzema pada bayi, penyusuan ibu amat digalakkan secara eksklusif sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan pertama dalam kalangan bayi dalam keluarga yang cenderung mendapat asma, ekzema dan alergi kerana ia didapati boleh menurunkan kadar ekzema.

Kajian di Eropah menunjukkan probiotik tertentu diberi kepada ibu mengandung dan sedang menyusu dikatakan membantu mengurangkan alergi dan ekzema pada anak mereka.

C&P: 11 JULAI 2021 @ 1 ZULHIJJAH 1442H: 2.24 PM

No comments: