Sumber: Lobo Shooter > Sejahtera Malaysiaku. Suatu Masa dahulu
Pada waktu dahulu di Tanah Melayu, terdapat seorang wanita yang boleh dianggap wira di mata rakyat sehingga kini.
Adruja Wijayamala Singa atau lebih dikenali dengan nama Cik Siti Wan Kembang merupakan seorang puteri Melayu Islam yang berani sehingga diberi gelaran sebagai dewi perang.
Riwayat sejarah di negeri Kelantan ada menyebut tentang kisah seorang puteri raja yang sangat masyhur namanya di bumi Semenanjung Tanah Melayu. Suatu ketika dahulu, puteri Melayu ini bukan sahaja telah mengangkat martabat bangsa Melayu di mata dunia, malah baginda juga turut berjaya membuktikan kemampuan kaum wanita ketika di medan perang mahupun dalam seni mempertahankan diri.
Demi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Semenanjung Tanah Melayu dari dijajah oleh pihak musuh, puteri Melayu ini telah bertindak memenggal kepala salah seorang raja Siam (Thai) yang zalim. Ini sekaligus menjadikan nama baginda begitu gah dalam sejarah bangsa Melayu.
Walau bagaimanapun, kebanyakan rakyat Malaysia hari ini TIDAK lagi mengenali puteri Melayu ini. Lebih memilukan, sejarah hidup dan pengorbanan besar puteri Melayu ini hampir dilupakan oleh bangsa Melayu itu sendiri. Ada yang mengatakan, terdapat pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu melenyapkan nama puteri Melayu ini dari catatan sejarah demi kepentingan mereka.
Pembawa Bendera Grahi ke medan perang
Adruja Wijayamala Singa berasal dari Grahi iaitu sebuah negara kota dan negara perseketuan Melayu yang terletak di utara Semananjung Tanah Melayu. Wanita ini merupakan puteri kesayangan Raja Sang Tawal atau Sultan Muhammad, Maharaja Grahi yang ketiga.
Adruja dilahirkan ketika zaman kerajaan Grahi sedang menghadapi ancaman perang dari kerajaan Siam Sukhothai yang diperintah oleh seorang raja zalim iaitu Raja Rama Khamhaeng. Apabila umurnya memasuki belasan tahun, baginda telah didedahkan dengan suasana perang. Adruja sering kali mengikuti ayahandanya ke medan perang dan diberi amanah membawa bendera kerajaan Grahi ketika peperangan melawan Sukhothai.
Pendedahan terhadap situasi perang ini telah membuka mata Adruja bahawa kerajaannya berada di ambang kehancuran. Hal ini telah menggerakkan hati puteri itu untuk membentuk sebuah pasukan khas yang terdiri daripada kaum wanita.
Penubuhan Pasukan Khas Wanita
Penubuhan pasukan khas ini bukan sahaja untuk membantu kaum lelaki dalam medan perang tetapi untuk membela nasib kaum wanita Melayu Grahi yang sering diperkosa oleh tentera Sukhothai apabila kampung-kampung Kota Grahi diserang. Adruja juga ingin menunjukkan bahawa kaum wanita juga mampu setanding kaum lelaki walaupun ketika peperangan.
Pasukan khas wanita ini terdiri daripada para janda muda yang kematian suami ketika berperang dengan kerajaan Sukhothai. Dengan 41 orang anggota, maka tertubuhlah sebuah pasukan khas wanita yang digelar Seri Wijayamala.
Perang Pertama Seri Wijayamala
Pada satu malam, tentera Siam Sukhothai telah menyerang sebuah kampung di sebelah utara Ghari. Adruja dengan semua anggota pasukan Seri Wijayamala mempersiap diri mereka dan menunggang kuda ke kampung tersebut.
Tiba sahaja di tempat kejadian, Adruja mendapati kampung itu telah dibakar oleh tentera Siam Sukhothai yang makin mengganas – kaum lelaki dibunuh dan kaum wanita diheret keluar dari kampung. Di bawah pimpinan Adruja, pasukan Seri Wijayamala berjaya menumpaskan tentera Siam Sukhothai dan tiada seorang pun yang terlepas.
Tumpasnya Raja Siam
Kemenangan Seri Wijayamala telah membawa bara kepada Raja Rama Khamhaeng apabila mengetahui tiada seorang pun tenteranya yang terselamat dan ditewaskan oleh kaum wanita. Dengan perasaan penuh dengan dendam, Raja Siam itu mengarahkan tenteranya untuk menyerang Ghari buat kali kedua, dengan baginda yang mengetuai angkatan tentera.
Mendengar khabar tersebut, tentera Ghari bersiap sedia untuk menempuh perang kali kedua. Adruja dan pasukannya ingin turut serta tetapi dihalang oleh ayahandanya. Pada awalnya Adruja akur tetapi tidak lama apabila mengetahui tentera Siam Sukhothai telah berjaya mencerobohi kota, Adruja dan pasukannya bersiap untuk menyelinap ke medan perang.
Ketibaan Adruja dan pasukannya ke medan perang memperlihat bahawa pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang merempuh dan meredah apa sahaja yang berada di hadapan mereka. Manusia dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki, atau dirodok dengan gading gajah.
Di kala huru-hara tersebut, Adruja menemui Raja Rama Khamhaeng yang berada di atas seekor gajah. Raja Siam yang bongkak itu akhirnya jatuh ke tanah apabila tombak milik pasukan Adruja terkena raja tersebut. Tanpa membuang masa, Adruja terus merodok pusat Raja Siam itu dengan kelewang miliknya dan ditusuk ke atas sehingga ke tenggorok, lalu memenggal kepalanya.
Kematian Raja Rama Khamhaeng mengejutkan tentera Siam Sukhothai dan akhirnya mereka menyerah kalah. Peristiwa
hebat
ini berlaku pada 1317 Masihi.
Negeri Cik Siti Wan Kembang
Jasa Adruja dalam mempertahan tanah air itu telah dianugerahkan sebuah negeri oleh ayahandanya. Negeri tersebut diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau Kisaran Payung, tetapi kini dikenali sebagai Kelantan.
Adruja merupakan pemerintah pertama negeri tersebut dan diberi gelaran Cik Siti Wan Kembang. Gelaran tersebut dijadikan gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri itu. Setelah 10 tahun memerintah, Adruja mangkat pada tahun 1345. Baginda juga dikatakan seorang ratu dara kerana tidak pernah berkahwin seumur hidup.
Keberanian dan kewibawaan Adruja ini amat mengagumkan. Baginda sanggup melakukan apa sahaja agar tanah airnya selamat dari ancaman. Ternyata Adruja Wijayamala Singa ini adalah antara srikandi yang wajar dikagumi.
No comments:
Post a Comment