Oleh Syahril A. Kadir
OTAK KAPTEN CHANDRAN BERKECAI DEMI MEMPERTAHANKAN MARUAH NEGARA
Deepavali disambut bagi memperingati kejayaan memerangi kejahatan. Pesta Cahaya Deepavali menandakan kejayaan cahaya mengatasi kegelapan.
Selepas kisah Inspektor Gunasekaran daripada Pasukan Senoi Praaq semalam, hari ini saya bawakan sebuah lagi kisah menyayat hati seorang anak muda berketurunan India. Kali ini seorang pegawai tentera.
KISAH KAPTEN MOHANA CHANDRAN A/L VELAYUTHAN.
Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Beliau adalah graduan dari Boy’s Wing, Maktab Tentera Persekutuan (kini Maktab Tentera Diraja 1963/65) dan Sekolah Pegawai Kadet Tentera, Port Sea, Australia dan ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda di dalam Batalion Ke-4 Rejimen Renjer Diraja.
Dalam satu operasi khas menentang komunis pada 13 Jun 1971, Kapten Chandran yang ketika itu baru berusia 24 tahun telah ditugaskan masuk ke kawasan Hutan Simpan Ulu Kinta, Perak.
Semasa sedang mendaki sebuah bukit, mereka berjaya mengesan tiga orang pengganas berhampiran sebuah perkhemahan pengganas yang besar di kawasan hutan tersebut.
Kapt Chandran bersama anggotanya, Renjer Abang Bolhi bin Abang Doladi melepaskan tembakan. Pihak komunis kemudian membalas tembakan dan peluru terkena pada Renjer Abang Bolhi.
Melihat anggotanya cedera, Kapten Chandran dengan tanpa menghiraukan risiko dan demi menyelamatkan anggotanya yang cedera itu, telah meluru ke hadapan sambil menjerit 'SERANG! SERANG! SERANG! serta pada masa yang sama melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah musuh hingga menyebabkan komunis panik dan bertempiaran lari.
Disebabkan terlalu bersemangat untuk berjuang melawan musuh, Kapten Chandran TIDAK SEDAR yang beberapa butir peluru dari senjata musuh sebenarnya telah kena tepat ke kepalanya!
Tidak lama selepas itu Kapten Chandran jatuh tertiarap dan tidak lagi bernyawa. Anggotanya yang lain pada mulanya tidak menyangka yang pegawai mereka terbunuh kerana tidak ada langsung kesan luka pada tubuh mendiang.
Namun sebaik saja mayatnya diterbalikkan, mereka akhirnya mendapati terdapat dua lubang di kiri dan kanan kepala mangsa.
Kapten Chandran menghembuskan nafas terakhir di hutan belantara itu dengan darah mengalir laju dari otaknya yang hancur.
Atas keberaniannya yang LUAR BIASA, Yang Dipertuan Agong telah menganugerahkan mendiang dengan pingat keberanian tertinggi negara - SERI PAHLAWAN GAGAH PERKASA.
Sesungguhnya falsafah dan semangat Deepavali iaitu peperangan memerangi kejahatan dibawa dengan penuh bersemangat oleh mendiang.
Kita mungkin lupa jasa beliau tetapi negara tak mungkin lupa pengorbanannya.
The one and only. Mendiang Kapten Mohana Chandran Velayuthan.
No comments:
Post a Comment