SUMBER: TAMADUN MELAYU SUNGAI BATU 788 SM
(Edisi Kemas kini)
Nama bangsa Melayu terhasil daripada kerjaya bangsa ini berkaitan dengan pelayaran sama ada membawa barangan atau manusia sejak sebelum kelahiran Nabi Isa lagi berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, Sulalatus Salatin dan lain-lain. Oleh sebab itulah akar kata Melayu berasal daripada kata "layar".
Perkataan Melayu jika dikaji dalam bahasa-bahasa Austronesia, kita dapat menemui beberapa perkataan yang ejaan dan bunyinya serupa dengan perkataan Melayu yang membentuk nama bangsa ini.
Misalnya perkataan dalam bahasa Acheh iaitu "Meu-layeuë" dan bahasa Nias iaitu "Mo-loyo" menepati kata dari segi ejaan dan sebutan dengan perkataan Melayu.
Maknanya dalam bahasa Acheh ialah pergi untuk satu perjalanan atau pergi belayar atau berada dalam pelayaran atau berada di laut. Manakala dalam bahasa Nias pula bermaksud pergi belayar atau perantauan melalui laut. Jelaslah bahawa kata Melayu mengandung makna berkaitan pelayaran di laut.
Makna Melayu sebagai pelayar kelautan ini disokong dengan bukti penemuan jeti pelabuhan yang berusia 788 Sebelum Masihi di Sungai Batu. Jeti ialah tempat untuk kapal-kapal berlabuh. Pada masa itu, layar digunakan untuk mengeksploitasi tenaga angin bagi menggerakkan kapal.
Selain itu, di paya Sungai Batu ditemui kapal purba yang masih berada di dalam sungai purba yang sudah menjadi paya. Ada lebih kurang 11 kapal purba di dalamnya.
Tambahan pula, ilmu pelayaran memang diakui oleh para sarjana dikuasai bangsa Melayu seperti menentukan arah melalui ilmu bintang, menentukan jarak daratan melalui warna air dan hidupan di dalam laut dan mengetahui musim angin untuk tujuan pelayaran.
Contohnya Panglima Awang atau Hendry the Black atau Enrique yang diiktiraf sebagai orang pertama mengelilingi dunia dengan jalan laut adalah berbangsa Melayu. Dia memiliki ilmu pelayaran yang tinggi dan diambil oleh Ferdinand Magellan bagi membantunya belayar balik ke Eropah dan menyambung pelayaran hingga ke Filipina.
Tidak memadai dengan sandaran itu, jenis kerajaan Melayu yang dibentuk semuanya ialah kerajaan maritim atau kelautan. Misalnya kerajaan teragung bangsa Melayu ialah Srivijaya, Langkasuka, Gangga Negara, Kedah Tua, Pan Pan, dan banyak lagi.
Undang-undang laut yang ada seperti Undang-undang Laut Melaka dan sebagainya juga menjadi elemen penting mengukuhkan kaitan bangsa Melayu sebagai bangsa pelayar. Kewujudan undang-undang merupakan satu penanda aras dalam bidang miritim.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa definisi Melayu iaitu bangsa pelayar memang tepat dan bersandarkan dalil-dalil yang kuat. Sekurang-kurangnya kata Melayu ini sudah berusia 3000 tahun berasaskan penemuan pelabuhan di Sungai Batu pada 788 Sebelum Masihi.
Semoga pendedahan ini akan menjadi salah satu pengisian dalam jati diri anak-anak muda bangsa Melayu dan menjadi kekuatan dalaman untuk survival Dalam kehidupan di dunia ini.
No comments:
Post a Comment