SUMBER: FB Legasi Pemikir - LEKIR
Gelaran Ustaz seringkali menjadi perbahasan dalam kalangan masyarakat tentang siapakah yang layak untuk dipanggil sebagai ustaz. Terkadang masyarakat terpinga-pinga apabila ada orang yang dipanggil ustaz tetapi bercakap merapu yang bukan-bukan tentang agama. Ada juga yang digelar ustaz tetapi terlibat dengan beberapa skandal di media massa dan tidak lupa juga beberapa kes jenayah hingga didakwa di mahkamah dan dipenjarakan.
Di dalam sejarah para ulama, penggunaan kalimah al-Ustaz adalah gelaran khusus kepada seseorang ulama di dalam beberapa mazhab tertentu. Dalam mazhab Hanafi, gelaran dengan nama al-Ustaz ini ialah Abdullah bin Muhammad bin Ya'qub al-Subazmuni (satu perkampungan di wilayah Bukhara), seorang yang banyak meriwayatkan hadis dan lebih dikenali dengan gelaran ustaz. Meninggal dunia pada tahun 340 Hijrah.
Dalam mazhab Maliki, dikehendaki dengan istilah ini ialah Syeikh Abu Bakar Muhammad bin al-Walid, yang lebih dikenali dengan al-Turtusyi. Begitu juga dengan gelaran Ibn Abi Randaqah, yang meninggal dunia pada tahun 520 Hijrah. Di dalam mazhab Syafie pula, diitlaqkan ustaz kepada Abu Ishaq al-Isfiraini, meninggal dunia pada tahun 418 Hijrah. Seorang ulama dalam bidang Aqidah, Hadis dan Fiqh.
Menurut Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan (2014 - 2020), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2020 - Kini) di dalam buku karangan beliau iaitu Gelaran Ulama: Ustaz (bagi Malaysia dan nusantara) ialah guru agama. Gelaran ini biasanya ditujukan kepada lelaki yang mempunyai ilmu pengetahuan di dalam agama. Ustazah pula adalah guru agama bagi perempuan.
Menurut laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), ustaz mempunyai dua maksud. Pertama ialah guru agama (lelaki), dan kedua ialah tuan.
Menurut laman web al-Ma'any: Kalimah ustaz bermaksud guru, iaitu sesiapa yang mengajarkan ilmu. Istilah Ustaz Musyarik/ أستاذ مشارك pula merujuk kepada Profesor Madya bagi universiti-universiti di negara-negara Arab.
Saya terjumpa satu definisi Ustaz oleh Ustaz Bakhtiar Fitri, yang merupakan seorang penceramah di TV al-Hijrah dalam rancangan Tanyalah Ustaz. Menurut beliau gelaran ustaz adalah gelaran yang diberikan oleh masyarakat terhadap seseorang yang memiliki ilmu agama dan mengajar agama kepada masyarakat. Dia hendaklah belajar agama secara formal, bertalaqi bersama guru, menguasai perkara asas dalam agama, memberi pendapat yang tidak janggal kepada umum dan lain-lain.
Saya mendapati satu definisi yang baik dari penulis blog Nikmatnya Islam, iaitu Ahmad Firdaus bin Aziz. Beliau menulis artikel pendek tentang "Adat Gelaran Ustaz". Artikel tersebut berbunyi:
Tentang adat panggilan ustaz dan perbezaan ustaz yang masyarakat kena faham, semua ini perlu kita ketahui supaya tidak silap dalam membuat penilaian dan bertanya kepada yang selayaknya. (bukan untuk merendahkan).
*Ada yang dipanggil ustaz disudut boleh mengajar iqra, membaca al quran. Ada yang dipanggil ustaz disudut boleh jadi imam, bilal, tukang mandi mayat, mutawwif. Ada yang dipanggil ustaz disudut pekerjaan sebagai guru kafa, guru jawi, guru khat, taranum.
*Ada yang sebab banyak hafal ayat quran, hadis, pernah hafiz quran. Ada yang sebab rajin baca buku agama. Ada yang sebab penulis buku nasihat tentang agama. Ada yang sebab selalu tulis, kongsi nasihat agama. Ada yang sebab pernah belajar sekolah agama. Ada yang sebab perwatakan jubah, serban, rida', kopiah, tasbih, berjanggut, berjambang. Ada yang sebab boleh baca tahlil, yasin, talqin, berqasidah, jadi tok kadi.
*Ada yang sebab kerja jual buku agama, mengaji bahasa/sastera arab, jadi artis nasyid islami. Ada yang sebab bekerja sebagai warden, kerani sekolah agama/tahfiz, pernah duduk negara arab.
DAN, ada yang dipanggil ustaz memang kerana kepakarannya menyeluruh tentang agama. Ada pula yang lebih kepada bidang masing² seperti quran, fiqh, hadis, tasauf, kewangan islam, faraid, dan sebagainya lagi dan dalam masa yang sama bab lain hanya perkara asas sahaja diketahui. Ada juga yang pakar kesemuanya namun dilihat kedepan pada sudut lain. Ada yang tidak menunjukkan perwatakannya namun alim dan faqih.
Dan pelbagai lagilah senarai yang tidak dimasukkan diatas. Semuanya perlu kita tahu agar dapat dibezakan tingkatan panggilan ustaz dan tidak disalah fahami dan bersangka buruk apabila terjadi sesuatu isu, dan kita dapat fahami apabila disebut panggilan 'USTAZ' itu, ia merangkumi maksud yang pelbagai seperti diterangkan diatas. Juga ustazah.
Dan penting untuk masyarakat faham bila mana seseorang itu dipanggil ustaz. Bukanlah bermaksud dia dapat mengetahui seluruh hal Agama, memahaminya dengan baik serta tiada halangan untuk mengamalkannya. Bahkan menganggap seolah-olah maksum. Sedangkan mereka juga sama seperti kita semua di bidang yang lain. Cuma yang terbaik dan dituntut hatta kepada diri kita sendiri dan kepada semua orang adalah menjadi golongan yang mempelajari ilmu agama serta mengamalkan dan menyampaikannya. والله اعلم.
Sumber:
1) Gelaran Ulama, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, terbitan Pustaka cahaya Kasturi, cetakan pertama 2016.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
C&P: 18/2/2021: 6 REJAB 1442h: 6.06 PM
No comments:
Post a Comment