Monday 20 January 2020

Putera Sultan Trengganu Orang Melayu Pertama Berkhidmat dalam RAF - 1941 - 1945

Credit to FB Kesultanan Terengganu Islamiah Melaywiah

Personaliti & Sejarah : Dari Dalam Kota ke England & Bertugas di Royal Air Force (RAF) – 1929 - 1946
Deskripsi :
21 Mei 1918 Tengku Mahmud putera bongsu kepada Sultan Zainal Abidin III bersama surinya Tengku Mandak di lahirkan di Dalam Kota Istana Maziah, Kuala Trengganu. Selang 6 bulan kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat di Istana Kecil pada 25 November 1918.
1929 ketika berusia 11 tahun beliau mengiringi serta menjadi peneman kepada Tengku Ali @ Chantek Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920-1942) menyambung pelajaran di Saint Edward dan Universiti Oxford sebagaimana saranan Sir Hugh Clifford (5 Mac 1866 – 18 Dis 1941) kepada Sultan Trengganu.
1 Jun 1939 beliau memecahkan tradisi kerabat Kesultanan Trengganu apabila melangsungkan perkahwinan dengan Joyce Mabel Blencowe (1917 -9 Jun 1996) bertempat di pejabat pendaftar St. Giles. Joyce Blencowe merupakan anak gadis kepada seorang pemilik kedai jahit bernama C.H.Blencowe di Oxford, England.
Pada peringkat awalnya, hubungan di antara Tengku Mahmud dengan Joyce Mabel Blencowe mendapat tentangan Sultan Trengganu kerana perbezaan dari sudut agama dan budaya. Kisah ‘Cinta Antara Dua Benua' ini menjadi topik berita hangat yang secara tidak langsung memperkenalkan negeri Trengganu di mata dunia. Babak percintaan mereka ini seringkali di nanti-nantikan oleh para pembaca yang mana ianya terpapar di pelbagai akhbar antarabangsa sama di England, Scotland , Perancis, Belanda, Amerika Syarikat, Kanada, Tanah Melayu ataupun Singapura.
1945 jodoh mereka berdua tidak berpanjangan dan berpisah dengan dikurniakan 4 orang cahayamata :
1. Anak Perempuan - Dilahir & Meninggal - 22 November 1939
2.Tengku Andrew Clive Cyrus - 13 Oktober 1940 – 25 November 2007
3.Tengku Afzan Joy Elizabeth - 1942
4.Tengku Angela Meriam - 12 April 1944 - 26 Disember 2003

Selepas becerai,Joyce Blencowe berkahwin semula dengan Eric Thomas John Manning. 9 Jun 1996 beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Taunton Cemetery, Somerset.
Kisah hidup Tengku Mahmud ini terakam dan di siar dalam tulisan jawi di Warta Malaya pada 18 Mei 1940 :
Teks Transliterasi Jawi Lama kepada Roman Melayu
“Anak Raja Melayu Hendak Jadi Askar Udara”
“Yang Mulia Tengku Mahmud Trengganu dan isterinya yang dahulunya bernama Miss Joyce Blencowe sedang berada di sini kerana berkira hendak beredar ke London dengan kapal terbang pada penghujung bulan ini atau terlebih segera lagi manakala pelajarannya boleh diaturkan.
Ada dua sebab bagi pemergian mereka itu. Pertama ialah kerana Yang Mulia Tengku Mahmud berkehendak supaya isterinya akan bersalin di rumah kaum keluarganya dan yang kedua ialah Yang Mulia sangat berhajat hendak berkhidmat di dalam angkatan udara diraja.
Hampir setahun lamanya Yang Mulia ini telah membawa isterinya ke Terengganu dengan persetujuan saudaranya Duli Yang Maha Mulia Sultan Trengganu (Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah).
Selama Yang Mulia ini kembali ke tanah airnya ia telah diberi suatu jawatan kerajaan yang mustahak di Trengganu tetapi ia telah meletakkan jawatan itu kerana rasanya hendak berkhidmat di dalam perang di England dan kerana dikahwinnya yang isterinya sangat berhajat hendak bersama-sama kaum keluarganya di dalam masa hendak bersalin.
“Saya telah menghabiskan separuh umur saya di England dan hampir-hampir merasai England itu negeri bagi saya. Saya mempunyai dua negeri iaitu Trengganu dan England dan sukarlah bagi saya hendak memilh yang mana satunya. Pada sebenarnya saya kasihkan negeri saya sendiri tetapi kaum keluarga isteri saya dan sahabat handainya ada di England dan itulah saya sangat ingin hendak ke sana sebagaimana juga isteri saya.
“Saya sangat berhajat hendak berkhidmat angkatan udara diraja saya harap dapatlah saya berkhidmat.”
Isteri Tengku Mahmud itu sangat berkehendak kembali ke England kerana didapati kedudukannya di Trengganu tidak sesuai dengannya.
Tengku Mahmud begitu sangat ingin hendak ke England sehingga katanya mereka akan berangkat dengan kapal sekiranya perjalanan udara susah diadakan di antara masa ini dan masa bertolaknya kelak.
Halangan yang mengendalakan sekarang ialah berkenaan dengan tukang masak Melayu Tengku itu lagi isteri yang hendak dibawanya bersama-sama belum sempurna perkiraannya. Harus mereka akan berangkat dengan tidak membawa tukang masaknya itu.
Tengku Mahmud tidak mengetahui bilakan kembalinya ke Trengganu. Ia telah tinggal di England selama sebelas tahun menuntut di Oxford oleh yang demikian ia rasa bersetuju di England meskipun manakala waktu kembalinya ia telah berkata bahwa harus pemergiannya ke England kelak hanya kerana bertemasya sahaja dan katanya ia akan kehilangan negerinya kalau ia pergi daripadanya. “
1941 sekembali ke England Tengku Mahmud menjadi orang melayu pertama menyertai British Royal Air Force (RAF) dengan bertugas sebagai salah seorang “ air crew”. 1942 beliau di pindahkan ke bahagian pengeluaran kilang Moris di bawah kendalian “Ministry Aircraft Production”. Di samping itu beliau juga terlibat sama dalam mengumpul rekod-rekod “topographic information” di Tanah Melayu bagi tentera British dengan berpangkat staff kapten ketika perang dunia ke-2. Pada bulan September 1945 beliau pulang ke Tanah Melayu.
Rekod Perkhidmatan di British Royal Air Force (RAF):
-24 November 1941 – (350266- nombor anggota) Mulakan latihan Juruterbang.
-23 Julai 1945 – (350266) di tauliahkan sebagai 2nd Lieutenant.
-24 November 1946 – (350266) di naikkan pangkat sebagai Kapten.

Tengku Mahmud kemudian melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan Puan Zainun Mariam Haji Su Mahmud yang merupakan cucu kepada Dato Seri Amar Diraja, Haji Ngah Mohamad bekas Menteri Besar Trengganu. Sultan Trengganu menganugerahkan gelaran Tengku Seri Utama Raja kepada Tengku Mahmud. Beliau meninggal dunia di hospital Kuala Lumpur dan di maqamkan di Maqam Diraja, masjid Sultan Zainal Abidin, Kuala Trengganu pada 4 Disember 1989.
Rujukan :
1.Kompilasi foto-foto Tengku Besar Mahmud Sultan Zainal Abidin III bersama Joyce Mabel Blencowe di England dari keratan akhbar di seluruh dunia – 1938 - 1945.
2. Daughter Born To Tungku Wife – The Singapore Free Press & Mercantile Advertise – 22 11 1939,p2 - Arkib Akhbar Singapura.
3. Malay Prince as RAF Pilot – Gloucester Citizen – 25 November 1941 - National Library of Australia.
4.Supplement to the London Gazette, 5 Oct 1945, p4894.
5.Supplement to the London Gazette, 31 Jan 1947, p551.


Copy and paste from FB : 20 January 2020 : 8.53 am

No comments: