Sunday 12 January 2020

FAKTA TULISAN JAWI YANG KITA PERLU TAHU

Kredit: Haziq Abd Rahim (ajar.c0m) (FB Belalang Post)

Sudah semakin ramai yang tidak mengenal apa itu tulisan Jawi.
Dahulu, tulisan Jawi merupakan tulisan keramat dan lambang peradaban Melayu, tapi kini semakin dilupakan.
Hakikatnya, banyak cerita menarik tentang tulisan tradisi kita ini. Berikut adalah beberapa fakta-fakta tulisan Jawi yang kita perlu tahu!
1. Tulisan Jawi Berkembang Kerana Islam
Sewaktu kedatangan Islam di Kepulauan Melayu, orang-orang Melayu sangat suka dengan agama yang baru datang ini.
Disebabkan cintanya orang Melayu dengan Islam, mereka tukar tulisan lama mereka iaitu Pallava kepada tulisan Jawi semata-mata untuk lebih faham al-Quran dan sunnah.
Malah, umat Melayu mengenali diri mereka sebagai orang Jawi, bangsa Jawi dari Tanah Jawi dengan berbahasa Jawi dan bertulisan Jawi.
Orang yang menggunakan tulisan Jawi pula dianggap beragama Islam. Maka dari itu, datanglah frasa ‘masuk Jawi’ atau bersunat untuk orang yang baru masuk Islam.
2. Tulisan Jawi Sudah Digunakan Selama Hampir 1000 Tahun
Tulisan Jawi yang paling tua dalam dunia boleh ditemui pada batu bersurat Terengganu iaitu pada tahun 1303 M.
Tulisan rumi pula baru digunakan secara rasmi selama 50 tahun.
3. Jawi Menjadi Tulisan Ilmu, Budaya dan Peradaban
Tulisan Jawi digunakan secara meluas di Nusantara dalam pentadbiran adat istiadat perdagangan dan pendidikan.
Tulisan perundangan seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Johor, Pahang dan Kedah semuanya adalah tulisan Jawi.
Tulisan Jawi juga adalah tulisan yang berkuasa. Surat sultan-sultan Melayu kepada raja Portugal, England dan Perancis semuanya tulisan Jawi.
Karya ulama-ulama seperti Daud Fatani, Abd al Samad al-Falimbani, Ali Abd Rahman al-Kelantani semuanya ditulis dalam Jawi.
Apabila mesin pencetak kerajaan Mekah telah ada buat kali pertama pada tahun 1884, dicetak kitab-kitab Jawi yang diberi nama "Kitab Kuning".
4. Orang Melayu Tambah 6 Huruf Jawi Baru
Huruf-huruf hijaiyah Arab asalnya ada 31, kemudian orang Melayu jadikan 37 dengan menambah huruf va, nya, ga, pa, nga dan ca.
Semua bunyi ini tidak wujud dalam sistem bunyi bahasa Arab sebab mereka tak boleh sebut.
5. Tulisan Jawi Berkembang dan Berevolusi
Dulu tulisan Jawi asal memang serupa dengan tulisan Arab.
Tapi kemudian berubah sedikit demi sedikit untuk membantu pembacaan. Sebabnya, Jawi merupakan satu tulisan yang rumit. Banyak boleh salah baca.
Kalau tak dibuat ejaan Jawi baru, pasti kekal kekeliruan guna Jawi.
Jadi untuk selesaikan masalah ini, tulisan Jawi berkembang dan diperbaik dari masa ke semasa.
Teori perkembangan tulisan Jawi ini sangat menarik sehingga dikaji oleh Prof Kang Kyoung Seok, seorang rakyat Korea.
6. Jawi Merosot Dengan Penjajahan Barat
Jati diri orang Melayu ini terhakis sedikit demi sedikit dengan kuasa penjajah Barat.
Pada tahun 1956, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu membuat keputusan,
“…sudah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa menentukannya...”
Sehinggalah tahun 1963, Akta Bahasa Kebangsaan mengisytiharkan tulisan rasmi bahasa Melayu ialah tulisan rumi.
Tulisan Jawi hanyalah boleh digunakan untuk Pendidikan Islam. Bermakna, tulisan Jawi tidak boleh lagi digunakan untuk nama jalan, pembangunan bandar dan lain-lain. Pengaruhnya semakin lama semakin pudar.
Malah menurut Prof Kang Kyoung Seok, tulisan Jawi mungkin akan pupus 10-20 tahun lagi.
KESIMPULAN
Itulah dia nasib tulisan Jawi...
Sebelum ini, usaha untuk memelihara tulisan Jawi cuba dibuat dengan menerbitkan Utusan Melayu seminggu sekali, malah diterap dalam silibus J-QAF.
*Program J-QAF (Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) merupakan satu pendekatan pembelajaran agama di sekolah di Malaysia. Idea pelaksanaan program J-QAF yang dilontarkan Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 2004 ini adalah untuk memperkasa sistem pengajaran Pendidikan Islam di sekolah.
Tapi sebenarnya, kitalah yang bertanggungjawab menyelamatkan tulisan Jawi sebab pupusnya ia apabila tiada siapa yang menggunakannya.
Kredit: Haziq Abd Rahim (ajar.c0m)
-Debu-
Copy and paste : 12 Januari 2020: 12.58 pm


No comments: