1. Islam menolak perkauman. Ini kerana Islam bukan agama yang khusus untuk sesuatu kaum seperti mana terdapat agama dalam dunia ini yang jelas bersifat kaum tertentu. Tuhan dalam ajaran Islam merupakan Tuhan untuk segala sekelian alam. Merangkumi segala yang wujud termasuk semua manusia tanpa kecuali. Dalam solat (sembahyang), muslim wajib mengulangi ungkapan ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ yang bermaksud “segala pujian untuk Allah yang merupakan Tuhan bagi seluruh alam”. Ungkapan ini dibaca oleh seorang muslim dalam solat sekurang-kurangnya 17 kali sehari. Maka, orang muslim yang memahami agamanya tidak pernah menyatakan agama Islam hanya khusus untuk kaum tertentu. Bahkan pada masa ini, bangsa Arab yang merupakan kaum Nabi Muhammad s.a.w bukanlah bangsa majoriti dalam kalangan Umat Islam. Bangsa Arab hanya sekitar satu perempat dari jumlah Umat Islam hari ini.
2. Ketuhanan dalam Islam sangat jelas dan tegas. Tuhan sama sekali tidak menyamai makhluk. Tuhan itu esa (tiada yang menyamainya) pada zat dan sifatNYA. Perbuatan menyamakan Tuhan dengan makhluk menjadikan seseorang muslim terkeluar dari Islam. Maka, dalam Islam tiada bayangan Tuhan menyerupai lelaki atau wanita kaum tertentu. Jika jelmaan Tuhan menyerupai kaum tertentu seperti yang dipercayai oleh sesetengah kepercayaan, sudah pasti itu menunjukkan diri Tuhan yang tidak adil terhadap kaum yang lain. Apakah logik Tuhan yang adil menciptakan hanya satu kaum yang menyerupai dirinya? Sudah pastilah kaum yang menyerupai Tuhan itu lebih utama dari kaum yang lain. Bagaimanakah mungkin kaum lain diminta menyembah berhala Tuhan yang dizahirkan dalam rupa satu kaum tertentu. Tidakkah itu satu diskriminasi kaum yang jelas. Maka, tidak hairan jika unsur perkauman yang melampau muncul dalam ajaran yang seperti itu. Maka, akidah Islam bebas dari unsur perkauman yang sedemikian rupa.
3. Menghukum seseorang yang tidak bersalah hanya disebabkan keturunannya adalah satu kezaliman. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris, atau cina atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka kita tidak boleh menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa ibubapa tidak ditanggung oleh anak cucu. Islam menolak kepercayaan dosa warisan seperti mempercayai dosa Adam ditanggung oleh manusia. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan ke atas orang lain sekalipun sebangsa dengannya jika dia yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا
(maksudnya) “dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
4. Al-Quran menjelaskan bahawa Tuhan menciptakan manusia berbagai kaum, bangsa dan kabilah untuk mereka mengenali antara satu sama lain. Mempelajari antara satu sama lain. Kemudian mereka hendaklah tahu bahawa kemuliaan itu bukan berdasarkan keturunan tetapi berasaskan taqwa iaitu kepatuhan kepada ajaran Allah. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
(maksudnya) Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Nabi s.a.w Muhammad menegaskan hal yang sama:
يا أيّها الناس ، إنَّ ربَّكم واحِدٌ ، وإنَّ أباكُم واحِد ، ألاّ لا فَضْلَ لِعربِيٍّ على عَجَمِيّ ، ولا لِعَجَمِيّ على عَرَبي ، ولا لِأحْمَر على أسْوَدٍ ، ولا أسود على أحْمَرٍ ، إلاّ بالتَّقوَى
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan)
Maka, dalam sejarah Nabi Muhammad s.a.w , Bilal bin Rabah yang merupakan orang kulit hitam telah menjadi muazzin Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa dikenang setiap kali azan. Demikian juga sahabat Nabi Muhammad Salman al-Farisi dari Parsi yang diangkat kedudukannya.
5. Sejarah mencatatkan semua bangsa telah berkongsi ketamadunan Islam yang cemerlang bahawa tanpa diskriminasi. Akidah Islam telah menyatukan bangsa-bangsa tanpa perkauman. Ini terbukti dengan lahirnya tokoh-tokoh besar Umat Islam yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. Umpamanya, dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammmad bin Ismail (meninggal 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Uzbekistan. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmidzi (meninggal 297H) iaitu pengarang Sunan al-Tirmidzi juga bukan seorang `arab. Beliau berasal dari Tirmidz yang sekarang dalam Negara Uzbekistan. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy`ath al-Sajistan (meninggal 275H) juga bukan seorang Arab. Dia berasal dari Sajastan atau dikenali juga dengan Sistan yang sekarang berada di wilayah Iran. Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin `Ali bin Syu`aib al-Nasai (meninggal 303H) juga bukan Arab. Beliau berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan yang sekarang dalam Turkmenistan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (meninggal 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain yang sekarang dalam wilayah Iran. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (meninggal 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat samada beliau seorang arab atau tidak. Ramai pengkaji yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam telah menjadikan mereka ini tokoh-tokoh hadis rujukan Umat Islam. Nama mereka sentiasa disebut. Satu kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik pula, Salahuddin al-Ayubi (meninggal 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia telah berjaya menjadi sultan yang disayangi oleh Arab dan bukan Arab. Dia telah mentadbir kerajaan Islam pada zamannya dengan gemilang sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.
6. Di zaman ini, sekalipun amalan Umat Islam lemah, namun sikap keterbukaan Umat Islam yang tidak menghukum manusia hanya kerana perbezaan bangsa dan agama itu diamalkan. Lihatlah kaum India yang beragama Hindu di Malaysia yang bebas mengamalkan agama mereka. Bandingkan keadaan ini dengan nasib yang menimpa Umat Islam di India. Lihatlah kaum Cina di Malaysia yang bebas berekonomi. Bandingkan nasib yang diterima oleh masyarakat muslim Uighur di China. Bandingkan kedudukan minoriti bukan muslim dalam masyarakat muslim di seluruh dunia dan bandingkan pula keadaan derita moniriti muslim di negara-negara bukan muslim.
7. Maka di Malaysia, yang menjadi isu bukanlah bangsa tetapi sikap anti-Islam yang dizahirkan oleh sesetengah pihak tertentu. Kebetulan pihak tersebut dari bangsa-bangsa tertentu. Maka apabila hal itu berlaku, kelihatan seperti pertembungan antara kaum, padahal ia merupakan pertembungan antara kumpulan yang anti-Islam dengan Umat Islam yang terdiri dari pelbagai kaum. Sementara kaum Melayu pula majoriti muslim. Sedangkan di sana ramai bukan muslim dalam negara ini yang tidak memusuhi Islam.
8. Ajaran al-Quran terhadap penganut agama lain sangat jelas. Tindakan seseorang itu sendiri menentukan bagaimanakah mereka dilayani. Hal ini Allah tegaskan dalam al-Quran:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
(maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).
- Maka, isu sebenar ialah terdapat golongan cuba menggunakan nama kaum mereka untuk melancar permusuhan terhadap Umat Islam di negara ini. Lalu apabila apabila mereka dijawab atau dibantah, mereka menjadikan itu sebagai isu perkauman. Hal ini menjadi lebih ditonjolkan apabila hampir keseluruhan Bangsa Melayu di negara ini beragama Islam. Maka, pertikaian dalam pelbagai isu yang bercampur antara eleman kaum dan agama menjadikan keadaan kelihatan lebih tegang. Krisis disebabkan kaum menjadi krisis disebabkan agama. Demikian juga krisis disebabkan agama menjadi krisis disebabkan kaum. Di samping kita tidak dapat menafikan juga terdapat golongan politik yang menjadikan agama sebagai alat berpolitik. Demikian juga ada golongan politik yang menjadikan kaum sebagai alat dalam berpolitik.
Copy and paste :
27 January 2020: 9.41 pm
No comments:
Post a Comment