Monday 13 January 2020

Panglima Awang' Melayu pertama keliling dunia

Credit to Berita Harian

TIDAK ramai pihak termasuk rakyat Malaysia mengetahui ratusan tahun lalu, seorang pemuda Melayu dari Melaka pernah mencatatkan pencapaian dan penemuan terbesar dalam sejarah dunia.
Pemuda itu memecahkan antara misteri terbesar menyelubungi masyarakat dunia ketika itu tetapi selama ratusan tahun, peranan dan sumbangan tokoh terbabit dipercayai `disembunyikan' sejarawan Barat.
Sebelum ini, masyarakat silam cenderung menganggap bumi berbentuk leper dan pelayaran berterusan merentasi lautan menyebabkan manusia jatuh ke ruang misteri `di bawah' Bumi.
Bagaimanapun, misteri itu berjaya disanggah pemuda Melayu bersama rakan pelayarannya dalam ekspedisi merentas lautan diketuai pelayar terkemuka Ferdinand de Magellan pada tahun 1519.
Ekspedisi bersejarah itu akhirnya membuktikan Bumi berbentuk bulat yang mampu menghubungkan dunia Timur dengan Barat.
Selama ratusan tahun, pelayar Barat seperti Magellan dan Sebastian Elcano dijulang dan dikenang sebagai tokoh membongkar hakikat rahsia itu dan pencapaian pemuda Melayu itu selaku `manusia pertama mengelilingi dunia' seolah-olah cuba disembunyikan.
Ikuti ekspedisi Magellan
Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, segelintir pengkaji mula menilai semula jurnal ekspedisi Magellan yang direkodkan pencatat pelayaran, Antonio Pigafetta dan sejak itulah mereka mula menyedari kewujudan pemuda Melayu terbabit.
Ketika itulah, terlintas di fikiran mereka hakikat pemuda terbabit sebagai manusia pertama mengelilingi dunia lantaran beliau 'mengembara' dari Melaka ke dunia Timur seterusnya merentasi laut Barat sehingga kembali semula ke tempat asalnya di Asia Tenggara.
Siapakah sebenarnya pemuda Melayu itu? Nama, asal usul dan latar belakangnya tidak diketahui tetapi dalam kalangan pengkaji Barat, beliau dikenali 'Henry the Black' atau 'Enrique de Malacca'.
Pengembaraan beliau mengelilingi dunia bermula apabila Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511 yang menyebabkan ratusan pemuda Melayu ditangkap dan dibawa menggunakan kapal ke Lisbon sebagai tawanan perang atau dijual sebagai hamba.
Sebaik tiba di wilayah asing itu, lelaki terbabit 'berkhidmat' dengan Magellan dan namanya ditukar kepada 'Henry the Black' atau 'Enrique de Malacca'.
Magellan kemudian berhijrah ke Sepanyol bersama Enrique dan ketua negara itu, Raja Charles I, kemudian mengarahkan pelayar Portugis itu belayar mencari tanah dan harta untuk Kerajaan Sepanyol.
Pemimpin tertinggi Kristian, iaitu Pope, bagaimanapun mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi ke Timur yang diperuntukkan kepada Portugis, sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.
Arahan itu menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai dan amat misteri.
Akibatnya, tanpa kelasi, Magellan terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal. Selain Enrique, orang kanan Magellan adalah Elcano dan Pigafetta.
Penemuan dunia baharu
Pada tahun 1519, kumpulan kapal ekspedisi meninggalkan pelabuhan Seville menuju horizon Barat.
Pelayaran menempuh pelbagai kepayahan sehingga ramai kelasi sakit dan mati, malah memberontak meminta Magellan berpatah balik.
Bagaimanapun, penentangan sedikit reda apabila benua baharu ditemui di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Magellan.
Tidak puas dengan penemuan dunia baharu itu, Magellan ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus dalam kalangan kelasi.
Walaupun ditentang, Magellan meneruskan pelayaran memasuki Lautan Pasifik. Pelbagai masalah timbul antaranya ada kapal hilang, selain krisis bekalan makanan meruncing menyebabkan kelasi kebuluran.
Penderitaan dikelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada tahun 1521, satu lagi daratan ditemui apabila ekspedisi itu tiba di Pulau Cebu, Filipina.
Berlabuh di situ, Enrique menyedari pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai bahasa Melayu.
Jurnal Pigafetta mencatatkan Enrique bertindak sebagai jurubahasa antara pelayar dengan penduduk asli tetapi tidak lama kemudian, mereka terbabit dalam konflik peperangan dengan penduduk tempatan.
Pigafetta mencatatkan ramai pelayar, termasuk Magellan terbunuh dan hanya 18 pelayar termasuk dirinya dan Elcano berjaya melarikan diri dan pulang ke Sepanyol pada tahun 1522.
Enrique bagaimanapun diriwayatkan tidak dibunuh tetapi ditinggalkan di pulau itu dan ramai pengkaji sejarah meyakini pemuda itu kembali ke kampung halaman asalnya yang ditinggalkan lama dulu.
Ia sekali gus menjadikan beliau manusia pertama menyelesaikan pengembaraan mengelilingi dunia, iaitu lebih awal berbanding Pigafetta, Elcano serta 16 pelayar yang selamat kembali ke Sepanyol.
Tercatat dalam sejarah luar
Bagaimanapun, selama ratusan tahun, pencapaian pemuda Melaka itu tidak disedari ramai pihak termasuklah masyarakat negara ini. Hal ini disebabkan kewujudan pemuda terbabit tidak direkod dalam kitab Melayu lama yang menjadi asas rujukan sejarah negara sejak ratusan tahun lalu.
Walaupun peranan pemuda itu tidak tercatat dalam kitab Sejarah Melayu, kewujudan beliau tidak dinafikan kerana tertera dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing, terutama catatan Pigafetta.
Sejarah dilakarkan pemuda Melaka itu sememangnya satu pencapaian besar buat bangsa Melayu tetapi sayangnya peristiwa agung itu kini bagai sudah hilang daripada lembaran sejarah negara.
Berbanding tokoh lain seperti Hang Tuah, Tok Janggut, Parameswara mahupun Pak Pandir, tidak ramai masyarakat, terutama generasi baharu mengetahui atau mengenali jasa pemuda terbabit.
Kisah pencapaian pemuda Melaka itu, bagaimanapun berjaya dikesan penulis fiksyen sejarah, iaitu Harun Aminurrashid yang menghasilkan novel tokoh itu pada tahun 1958. Berikutan nama Melayu pemuda itu tidak diketahui, maka Harun menggelarkan beliau sebagai 'Panglima Awang'.
Copy and paste: 13 January 2020 : 9,21 pm

No comments: